Home » Langit Terbuka » Cadangan Tutup Pusat Tahfiz Radikal – YADIM

Cadangan Tutup Pusat Tahfiz Radikal – YADIM

Yang Dipertua YADIM, Dr Yusri Mohamad, berkata pihaknya menolak cadangan itu berikutan institusi tahfiz berkemampuan melahirkan pelajar berkualiti bukan saja dalam agama malah bidang lain.

KOTA BHARU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyifatkan cadangan untuk memansuhkan institusi tahfiz di negara ini sebagai radikal.

Yang Dipertuanya, Dr Yusri Mohamad, berkata pihaknya menolak cadangan itu berikutan institusi tahfiz berkemampuan melahirkan pelajar berkualiti bukan saja dalam agama malah bidang lain.

“Kita tidak setujulah (cadangan mansuhkan tahfiz), cadangan itu bunyinya terlalu radikal.

“Institusi tahfiz ini sudah lama bertapak dalam masyarakat dan membabitkan rangkaian yang besar.

“Jadi kalau ada-apa kekurangan, kita perlu tangani dan baikinya, tidak semestinya mengambil pendekatan menutupnya,” katanya dalam sidang media dalam Majlis Hari Terbuka Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan Majlis Sambutan Aidilfitri 2018 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin baru-baru ini menyarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada “amalan agama jumud.”

Zainuddin dalam blognya berkata, langkah itu mesti diambil kerana semua sekolah tahfiz di negara ini dilihat tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baharu Islam.

Mengulas lanjut Dr Yusri berkata, institusi tahfiz kini berbeza kerana ada dalam kalangan pelajarnyaberkerja dalam pelbagai bidang.

“Institusi tahfiz bukan hanya melahirkan pelajar mempunyai kemahiran menghafal al-Quran malah ada dalam kalangan mereka yang masuk ke pelbagai bidang.

“Saya rasa tidak boleh dibuat kenyataan umum begitu, kalau ada graduan tahfiz ini jumud, ia tidak semestinya mewakili semua, kita tidak boleh menghukum keseluruhan institusi itu hanya kerana seorang dua bermasalah,” katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan perkara itu dirujuk dan dibincangkan oleh pihak berkaitan sebelum kenyataan terbabit dibuat.

“Hal macam ini kita kena rujuk kepada yang ahli kerana tokoh yang bagi pandangan ini bukan dari bidangnya. Kita rujuklah kepada kementerian, jabatan, lembaga, pakar akademik yang menumpukan kepada bidang ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain YADIM bersetuju tindakan perlu diambil terhadap lelaki yang berperwatakan wanita yang dilihat sebagai berleluasa di negara ini.

“Kalau apa yang mereka lakukan ini sehingga tahap langgar undang-undang, hukum atau fatwa, perkara ini memang tidak patut dibiarkan.

“Teguran dan nasihat perlu diutamakan, kalau sampai tahap mereka berdegil, kita perlu gunakan undang-undang,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *