Home » Persuasif » Cara berhutang yang betul

Cara berhutang yang betul

Oleh MOHD SHUKRI HANAPI

Dr. Mohd Shukri Hanapi adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, hutang dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya generasi Y telah menjadi satu gejala yang sangat membimbangkan. Presiden Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM), Darshan Singh Dhillion menyatakan situasi muflis dalam kalangan belia telah meningkat daripada 4,100 pada 2012 kepada 5,420 pada 2014, iaitu kenaikan sebanyak 34 peratus dalam masa tiga tahun sahaja. Malah jelasnya, Jabatan Insolvensi menunjukkan kadar 85 peratus kebankrapan adalah ekoran kegagalan golongan belia menguruskan kewangan mereka dengan betul.

Menurut Mantan Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Ahmad Maslan pula, sejak 2010 hingga April 2015, statistik menunjukkan seramai 107,000 individu diisytihar muflis. Daripada jumlah itu, seramai 23,484 adalah golongan belia yang berusia antara 25 hingga 34 tahun. Tambah beliau lagi, seramai 1,469 belia di bawah umur 25 tahun turut muflis, manakala individu yang berumur antara 35 hingga 44 tahun pula merupakan golongan tertinggi yang diisytiharkan muflis iaitu seramai 37,888 orang (Utusan Malaysia, 26 Jun 2015).

Lebih mendukacitakan lagi apabila My Nation News melaporkan kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar yang diisytihar muflis bagi tempoh 2007 hingga 2013 iaitu mencatatkan 45.10 peratus (52,535 orang) berbanding kaum Cina 32.97 peratus (38,407 orang), India 12.63 peratus (14,710) dan lain-lain sebanyak 9.30 peratus (10,836). Secara keseluruhannya, Utusan Malaysia, 4 Mac 2016 melaporkan hasil kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI) mendapati 68 peratus daripada rakyat Malaysia dibebani dengan hutang. Ia merupakan kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia dan lebih dua kali ganda purata serantau seba­nyak 33 peratus.

Berdasarkan semua laporan dan statistik di atas, jelas mempamerkan bahawa golongan belia pada masa kini terjebak dengan salah satu daripada masalah sosioekonomi yang amat besar iaitu kegagalan mengurus kewangan dengan baik sehingga membawa kepada muflis. Sekiranya permasalahan ini dibiarkan berterusan, ia akan memberi kesan kepada diri mereka, keluarga dan juga negara.

Faktor penyebab

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut. Menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, peratusan kes kebangkrapan atau muflis yang paling tinggi dalam kalangan belia adalah melibatkan pinjaman kenderaan iaitu 25.21 peratus, diikuti pinjaman persendirian 13.15 peratus, pinjaman perumahan 12.31 peratus, pinjaman perniagaan 11.26 peratus, dan kad kredit, 4.9 peratus.

Antara faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini adalah kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan kewangan. Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat pengurusan kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok itu mengakui berbelanja melebihi gaji bulanan. Apabila berlakunya perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang dalam kalangan belia ini, ia boleh menjurus kepada permasalahan hutang. Hal ini sekali gus membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan.

Selain faktor-faktor di atas, kajian Faktor-Faktor Muflis dalam Kalangan Belia yang dilakukan oleh pasukan penyelidik dari Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) iaitu kajian yang diketuai oleh Nurauliani Jamlus Rafdi mendapati terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya masalah muflis dalam kalangan belia ini. Antaranya, sikap belia yang berhutang semata-mata untuk kemewahan bukannya keperluan sebagai akibat daripada gaya hidup yang sentiasa meningkat dalam kalangan isi rumah; membeli kereta tanpa deposit (full loan); membeli rumah di luar kemampuan dengan pinjaman maksima; memohon pinjaman peribadi untuk majlis kahwin ala-ala artis; dan menggunakan kad kredit dengan bayaran minima setiap bulan.

Persoalannya, apakah perspektif Islam tentang masalah hutang ini? Apakah hukum membayar hutang-hutang yang dibuat? dan bagaimanakah kaedah menguruskan hutang yang dianjurkan oleh Islam?

Pengurusan hutang cara Islam

Dalam Islam, tidak ada nas yang menggalakkan supaya berhutang. Walau bagaimanapun, terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang menyatakan tidak salah jika seseorang itu hendak berhutang. Malah Islam menerusi ayat 282 daripada Surah al-Baqarah awal-awal lagi telah meletakkan beberapa garis panduan terutama tentang keperluan mencatat dan merekodkan segala hutang yang dilakukan. Hal ini bagi mengelak si penghutang terlupa atau lari daripada tanggungjawab membayarnya.

Meskipun ayat 282 daripada Surah al-Baqarah tersebut menekankan keperluan mencatat dan merekodkan urusan hutang-piutang, namun ia jelas menunjukkan tidak salah jika seseorang itu ingin membuat transaksi atau berjual beli secara berhutang.

Selain al-Quran, terdapat hadis-hadis yang membincangkan hal ehwal hutang. Antara perkara yang sangat ditekankan dalam hadis Rasulullah SAW adalah berkaitan kewajipan membayar segala hutang yang dibuat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meminjam harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan menunaikan niatnya itu. Namun, sesiapa meminjam dengan niat akan merugikannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan merugikannya.” (HR al-Bukhari).

Orang yang mati dalam keadaan berhutang tidak akan dapat memasuki syurga sehingga hutangnya selesai dibayar. Diriwayatkan daripada Muhammad bin Jahsy bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya, jika seseorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula, kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh lagi dalam keadaan dia menanggung hutang, ia tetap tidak akan dapat masuk syurga selagi hutangnya belum dibayar.” (HR al-Nasa’i).

Sekiranya seseorang itu tiada pilihan lain dan terpaksa berhutang, maka ikutilah garis panduan berhutang yang dianjurkan oleh Islam. Pastikan hutang yang dibuat mengikut kemampuan dan keperluan utama. Elakkan daripada berhutang mengikut nafsu dan kemahuan yang tidak terhad.

Hutang yang dibuat tanpa menghiraukan kemampuan dan keutamaan akan mengundang masalah kewangan iaitu dibelenggu dengan bebanan hutang sama ada kepada individu, keluarga ataupun negara. Kesan daripada masalah kewangan membawa kepada peningkatan kes muflis dan mengundang pelbagai masalah sosial lain seperti kes penceraian, ugutan, pergaduhan dan pembunuhan. Oleh itu, pengurusan kewangan secara Islam khususnya dalam pengurusan hutang menjadi suatu perkara yang mustahak masa kini. Dalam pengurusan hutang, Islam telah meletakkan garis panduan asas berdasarkan prinsip maqasid syariah dalam membuat pilihan mengenai hutang agar termasuk dalam hutang baik dan bukannya hutang buruk.

Keharusan berhutang

Persoalan hutang ini sebenarnya ada kaitan rapat dengan dua persoalan utama iaitu taraf ekonomi dan corak perbelanjaannya. Bagi yang kurang bernasib baik dan tiada pilihan yang boleh diambil, mungkin mereka terpaksa menggunakan pendekatan hutang untuk memenuhi keperluan hidup mereka. Dalam hal ini, mungkin seseorang itu terpaksa berhutang melalui jenis pembiayaan tertentu demi untuk membeli barangan keperluan asas harian seperti makanan, perubatan, rumah, kenderaan, pendidikan dan sebagainya. Di sini ada keharusan untuk berbuat demikian.

Keharusan berhutang bagi memenuhi keperluan asas ini boleh dikaitkan dengan tujuan maqasid syariah itu sendiri iaitu untuk menjaga maslahah atau kepentingan ummah. Sekiranya aspek-aspek dalam maqasid syariah seperti daruriyyah (keperluan asas), hajiyyah (keperluan biasa) dan tahsiniyyah (keperluan keselesaan) dapat diaplikasikan dalam membuat sesuatu hutang, maka ia dapat menghindari si penghutang agar tidak terpesong dari landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Malah tidak akan timbul masalah-masalah seperti tanggungan hutang yang serius, enggan membayar hutang dan muflis.

Kebanyakan ulama seperti Imam al-Haramayn, al-Ghazali, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan Imam Abu Ishak al-Shatibi membahagikan maqasid syariah kepada tiga bahagian iaitu daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Walau bagaimanapun, secara lebih khusus lagi terdapat pengkaji yang membahagikannya kepada empat bahagian iaitu barang keperluan asas (daruriyyah), barang keperluan biasa (hajiyyah), barang keperluan keselesaan (tahsiniyyah), barang keperluan kemewahan. Namun, Surtahman Kastin Hasan dalam bukunya Ekonomi Islam telah menambah satu lagi pembahagian iaitu barang merbahaya atau merosakkan.

Pertama, berhutang untuk keperluan daruriyyah. Ia merujuk kepada hutang untuk memenuhi segala keperluan kehidupan atau keperluan asas manusia yang mesti dipenuhi dengan memelihara lima perkara (daruriyyat al-khams) iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Dalam hal ini, hutang yang diharuskan untuk keperluan hidup adalah seperti untuk mendapatkan makanan dan minuman bagi menjaga maslahah nyawa (al-Baqarah: 35); pakaian bagi menjaga maslahah agama dan kehormatan (al-A‘raf: 26); tempat tinggal atau rumah bagi menjaga maslahah nyawa (al-Syu‘ara’: 128-129); pendidikan bagi memenuhi maslahah akal; dan keperluan untuk mendapatkan perubatan bagi tujuan maslahah nyawa.

Hutang yang dilakukan untuk memenuhi keperluan asas hidup ini adalah diharuskan kerana maqasid daruriyyah. Ia merupakan maslahah yang menentukan keseimbangan antara kehidupan agama dengan keduniaan manusia. Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi nescaya akan berlaku kepincangan hidup manusia di dunia dan kehilangan nikmat yang abadi.

Kedua, berhutang untuk keperluan hajiyyah. Ia merujuk kepada hutang untuk mendapatkan sesuatu yang tidak berhubung dengan keperluan asas manusia, tetapi ia merupakan maslahah-maslahah yang diperlukan oleh manusia untuk memudahkan kehidupan mereka dan memberikan keselesaan hidup. Apabila keperluan hajiyyah ini tidak dipelihara, maka ia tidaklah menjejaskan kehidupan manusia, tetapi boleh membawa kepada kesusahan dan kesempitan hidup. Perbelanjaan dalam keperluan hajiyyah ini kebiasaannya hanya dilaksanakan apabila keperluan daruriyyah juga dipelihara.

Berhutang untuk keperluan hajiyyah yang dibenarkan adalah seperti berhutang untuk membeli kenderaan bagi memudahkan urusan kehidupan dan memenuhi hajat dengan mengikut kemampuan. Selain itu, hutang yang dibuat atas tujuan mendapatkan keselesaan tempat tinggal, berpakaian, makan dan minum juga adalah dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan seseorang gembira serta meningkatkan kecekapan kerja. Selain itu, syarak juga telah memberikan kebebasan kepada manusia untuk menikmatinya. Meskipun begitu, umat Islam tidak dianjurkan untuk berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran kerana ia akan menyebabkan hilangnya keluhuran budi pekerti (al-Furqan: 67).

Ketiga, berhutang untuk keperluan tahsiniyyah. Keperluan tahsiniyyah ini merupakan pelengkap yang menjadi hiasan tambahan dalam kehidupan. Dengan keberadaannya, maka kehidupan manusia akan menjadi lebih sempurna. Ketiadaannya tidak akan menyusahkan hidup manusia dan tidak akan mendatangkan kesempitan, tetapi kehidupan manusia akan terkeluar daripada adab-adab terpuji yang dituntut oleh maruah dan adab-adab umum dalam masyarakat bertamadun. Jika tidak dipelihara kemaslahatan tersebut, maka ia akan menyebabkan kehidupan menjadi buruk pada pandangan akal. Al-Quran juga ada menyuruh umat Islam supaya menikmati perkara yang baik dan indah.

Keempat, berhutang untuk keperluan kemewahan. Ia merujuk kepada hutang untuk mendapatkan barang yang tidak diperlukan untuk keselesaan, tetapi kebiasaannya untuk prestige atau bermegah-megah serta melampaui batas. Perbelanjaan untuk memperoleh keperluan kemewahan biasanya lebih besar daripada faedah yang dapat dinikmati. Misalnya, seseorang itu berhutang semata-mata untuk membeli kereta yang berharga jutaan ringgit.

Oleh itu, hutang untuk mendapatkan barangan kemewahan adalah ditegah oleh Islam kerana penggunaan barangan mewah merupakan racun yang membunuh secara perlahan-perlahan. Ia pasti akan membinasakan diri sendiri, keluarga dan masyarakat seperti berlakunya amalan rasuah, sikap malas bekerja dan kes muflis yang melanda kehidupan golongan generasi Y pada masa kini.

Kelima, berhutang untuk barang merbahaya atau merosakkan. Ia merujuk kepada hutang untuk mendapatkan barang yang boleh membawa mudarat sama ada kepada penggunanya atau masyarakatnya. Hutang seperti ini adalah adalah dilarang. Contohnya, berhutang untuk membuka perusahaan sesuatu yang memabukkan dan menghancurkan budi pekerti seperti, dadah, arak dan pusat perjudian. Perkara ini dilarang dalam agama Islam kerana ia boleh memudaratkan penggunanya dan masyarakat. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kewarasan dan melakukan tindakan yang tidak sepatutnya serta menyebabkan gejala sosial semakin berleluasa.

Hakikatnya, Islam memberikan kebebasan kepada manusia untuk menikmati kehidupan yang wajar dan selesa. Meskipun diberi kebebasan, Islam tidak membenarkan umatnya berhutang semata-mata untuk membeli barangan yang mewah dan tidak perlu serta melampaui batas. Oleh itu, hutang yang dilakukan hendaklah mengutamakan susunan sebagaimana yang digariskan dalam ilmu maqasid syariah iaitu dimulai dengan daruriyyah, kemudian diikuti dengan hajiyyah dan tahsiniyyah. Jika maqasid syariah diabaikan dalam pengurusan hutang, maka akan timbul kepincangan dalam kehidupan terutama dari segi aspek ekonomi dan sosial seperti berlakunya kes muflis.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *