Home » Langit Terbuka » Cemuhan tidak halang remaja autisme hafal Quran 30 juzuk

Cemuhan tidak halang remaja autisme hafal Quran 30 juzuk

Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Shukry Mohd Salleh (kanan) beramah mesra dengan penerima Anugerah Ikon Autisme Ahmad Zahiruddin Zailani, 22, pada Majlis Anugerah Dari Hati Ke Hati Bank Rakyat 2018 di Menara Berkembar Bank Rakyat, 9 April 2018. ― Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 April ― Cemuhan masyarakat sekeliling tidak mematahkan semangat remaja autisme untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran hanya dalam masa dua tahun setengah.

Ahmad Zahirudin Zailani, 22, penuntut Universiti Sains Islam Malaysia dalam jurusan Quran dengan Multimedia berkata beliau menghafaz atas kehendak sendiri dan tekad tekad mahu menyempurnakan hafazan hingga tamat.

“Memang ada cemuhan dan ejekan dengan kata-kata penghinaan tapi itu bukan penghalang,” katanya ketika ditemui selepas dinobatkan sebagai Ikon Autisme Terbaik pada majlis Anugerah Dari Hati ke Hati anjuran Bank Rakyat, di sini semalam.

Anak sulung daripada empat beradik itu berjaya merangkul gelaran tersebut menerusi undian tertinggi daripada juri awam dalam laman sesawang Bank Rakyat, mulai 8 hingga 23 Mac lalu.

Ibunya, Hanes Mohd Nasir, 48, berkata anaknya itu gemar membaca dan sejak kecil lagi telah dididik dengan ilmu kerohanian selain akademik.

Beliau berkata sejak menghafaz al-Quran anaknya itu menunjukkan perubahan positif terutamanya dalam mengawal emosi.

“Dia mempunyai kelebihan dari segi ingatan. Bila kita pasang ayat al-Quran di dalam kereta dia cepat hafal. Saya harap dia sentiasa menjaga al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan,” katanya.

Selain Ahmad Zahiruddin, bakat dan kebolehan Mohd Syahmi Asyraff, 16, serta Muhammad Farid Fakhruddin, 19, turut menambat hati juri apabila terpilih sebagai Individu Autisme Terbaik, masing-masing bagi kategori 13 hingga 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

Kesemua mereka membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 beserta trofi.

Anugerah tersebut merupakan antara 12 kategori yang dipertandingkan menerusi hasil kerja, program dan laporan berita terbaik mengenai golongan autistik.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata majlis tersebut adalah pertama kali diadakan dan kemuncak kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan sejak Oktober 2016 bagi memupuk kesedaran mengenai autisme.

Ia juga bagi mengiktiraf dan meraikan mereka dalam kalangan autistik yang telah membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mampu untuk berjaya dalam kehidupan. ― Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *