Home » Langit Terbuka » ‘Cikgu manusia biasa, bukan malaikat’

‘Cikgu manusia biasa, bukan malaikat’

Guru sentiasa berusaha memastikan anak-anak muridnya memahami ilmu yang disampaikan. (GAMBAR HIASAN)

KUALA LUMPUR 9 Jan.  – Ibu bapa dirayu berbincang dengan pihak sekolah terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah berkaitan anak mereka.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan berkata, diakui kadang-kadang guru melakukan kesilapan termasuk menggunakan kekerasan, namun mereka perlu diberi peluang membetulkan keadaan,

“Kita rayu ibu bapa jangan terus pergi kepada polis buat laporan. Lepas itu pergi mahkamah tanpa datang ke sekolah untuk selesaikan masalah.

“Sebagai cikgu, kita akui kita bukan malaikat. Kita juga manusia biasa kadang-kadang buat silap tetapi beri peluang kita betulkan keadaan, mungkin bayar bil perubatan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut beliau, kes yang dibawa ke mahkamah boleh menjejaskan masa depan pendidik tersebut.

“Kalau dah lapor polis sampai mahkamah, hanya ada dua pilihan. Sama ada dia dibebaskan atau didapati bersalah.

“Kalau dibebaskan OK lah, tapi kalau didapati bersalah dia akan hilang kerja kerana nak mendidik anak murid yang disayangi, tak berbaloilah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, NUTP tetap dengan pendirian tidak akan membela guru yang melakukan kekerasan melampau terhadap anak murid seperti mendera, mencabul dan memukul berulang kali.

“Kami tak akan bantu guru sebegitu, mereka kena berdepan sendiri. Tapi kalau ada kes di mana berlakunya sedikit kekasaran kerana nak mendidik, bagi saya itu pentingnya kita ada kod etika,” katanya.

Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 19 Februari untuk sebutan semula kes seorang guru yang didakwa mencederakan muridnya Ogos tahun lalu.

Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan tarikh itu semasa sebutan semula kes Noor Idzahril Ahmad, 52, selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir memohon tarikh baharu untuk penyerahan laporan perubatan murid lelaki Tahun 3 itu.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *