Home » Citra Yadim » Cinta Rasul 1441H YADIM Wilayah

Cinta Rasul 1441H YADIM Wilayah

KEPONG – Bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul baru baru ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)  Wilayah telah menganjurkan Program Cinta Rasul 1441H pada 16 November lalu bertempat di Masjid Amaniah di sini.

Program bermula jam 8.30 pagi hingga 10.30 malam ini mendapat kerjasama Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR), Duta Rahmah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Amania Muallaf City Centre, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Skuad Prihatin Kepong dan Ez Qurban.

Seramai 150 orang menyertai program ini termasuk 80 orang muallaf.

Ia bertujuan memupuk rasa cinta dan kasih sayang kepada junjungan besar Rasullullah S.A.W, mengeratkan silaturrahim di antara masyarakat dan ahli kariah di sekitar kawasan Parlimen Kepong, serta memberi bimbingan dan pendedahan kepada muallaf khususnya dalam bidang pengurusan jenazah.

Bagi tujuan ini, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Negeri Sembilan, Ustaz Shasinie Siau dijemput bagi membimbing kursus pengurusan jenazah tersebut.

Antara pengisian lain program termasuklah Bengkel Semarak Jawi, bacaan berzanji, aqiqah dan majlis cukur jambul. Acara permainan seperti carom, ping-pong dan dart juga disediakan untuk menarik perhatian generasi muda menyertai program ini.

Pada sebelah malam pula diadakan Forum Perdana dengan tajuk ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’. Ia menampilkan Mudir Maahad Tahfiz Al Quran Wal Imamah, Ustaz Azrul Hakim Suradi dan Pengerusi Darul Wardah merangkap Ahli Jawatankuasa MAWAR, Ustazah Hazlina Abd. Razak sebagai ahli panel.

Ustaz Faidhul Irfan Mustaffa Kamal dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula bertindak selaku moderator.

Sementara itu untuk para muallaf yang menyertai program, mereka turut diberikan sumbangan oleh YADIM untuk membantu dan meringankan bebanan mereka, selain sebagai tanda ingatan.

YADIM Wilayah merancang untuk mengadakan lebih banyak program seperti ini pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *