Home » Langit Terbuka » Dakwaan jemaah masjid dijangkiti Covid-19 tidak benar

Dakwaan jemaah masjid dijangkiti Covid-19 tidak benar

Polis telah mengenal pasti individu yang menyebarkan berita palsu mengenai jangkitan wabak Covid-19 di kalangan jemaah Masjid Bagan Dalam dan akan menahan lelaki terbabit dalam masa terdekat. - Foto FMT

BUTTETWORTH – Polis menafikan dakwaan berlaku jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan jemaah di Masjid Bagan Dalam di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, maklumat daripada pesanan suara yang tular di aplikasi WhatsAps kononnya berlaku jangkitan wabak berkenaan di masjid terbabit sejak semalam adalah tidak benar.

“Semakan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dilaksanakan dan dimaklumkan bahawa perkara tersebut tidak benar.

“Perjumpaan dengan Pengerusi Masjid Bagan Dalam juga mengesahkan perkara itu adalah tidak benar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Beliau berkata, pihak masjid dinasihatkan untuk membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan tersebut bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat setelah memperoleh pesanan suara berkenaan.

Menurutnya, setakat ini polis telah mengenal pasti individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan dan akan menahan lelaki terbabit dalam masa terdekat.

“Tindakan menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Katanya, masyarakat di sekitar kawasan Bagan Dalam diharap bertenang dan tidak gusar dengan pesanan bersuara palsu yang tular itu.

“Orang ramai diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita yang belum pasti kesahihannya,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *