Home » Analitis » Dakwah melangkaui sempadan parti

Dakwah melangkaui sempadan parti

SEMALAM penulis mengunjungi mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas di pejabat beliau, Institut Pemikiran Tok Guru.

Walaupun kelihatan agar uzur, namun Tuan Guru masih ceria bersemangat berkongsi pengalaman dan berbincang mengenai pelbagai  topik dan isu semasa hampir satu setengah jam.

Kunjungan ini adalah sebagai penghormatan penulis pada beliau yang juga salah seorang pengasas dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang pertama.

Sebagai pemimpin dakwah dan politik, Tuan Guru turut aktif dalam Yadim sejak awal penubuhan 1974 oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Menariknya pada waktu itu, Pas bersama Umno membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah Barisan Nasional. Ketika itu juga Yadim ditubuhkan dengan melibatkan pelbagai wakil daripada dua parti politik utama orang Melayu Islam iaitu Umno dan Pas. Yang Dipertua Yadim pertama ialah Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail manakala timbalannya, Allahyarham Ustaz Hassan Adli yang juga Timbalan Presiden Pas pada waktu itu.

Selain Nik Abdul Aziz, Khaidir Khatib, Mawardi yang mewakili Pas, ayahanda penulis yang juga Exco Pemuda Umno, merangkap Setiausaha Biro Agama Umno pada tahun tersebut, turut dilantik Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Yadim yang pertama.

Penubuhan Yadim yang mendapat cetusan idea Tun Abdul Razak adalah satu citra untuk menyemarakkan kesedaran dan kefahaman Islam dalam masyarakat.

Ternyata masyarakat pada era selepas penjajahan rata-rata tidaklah mempunyai kefahaman yang kukuh mengenai agama. Malah penghayatan Islam juga sering kali dicemari dengan amalan-amalan khurafat yang berakar umbi dalam budaya Melayu sejak berzaman.

Sebagai contohnya mandi safar, bomoh mantera, majlis tolak bala, lenggang perut dan banyak lagi amalan yang sebati dengan tradisi dan budaya Melayu. Untuk melihat orang Melayu perempuan bertudung sempurna juga suatu yang jarang-jarang. Malah acara-acara rasmi selalunya diraikan dengan minuman keras sebagai simbol kemodenan dan kemajuan berpaksikan identiti Barat.

Sebab itulah atas rasa keinsafan akan pentingnya membina masyarakat yang bukan sahaja berjiwa Melayu tetapi mempunyai orientasi keIslaman sejati, kerajaan mula mengorak langkah membangunkan institusi dan prasarana agama termasuk Yadim.

Antara matlamat utama penubuhan pada waktu itu ialah memfokuskan kepada dua dimensi penting dakwah iaitu dakwah Islamiah dan dakwah Islahiah.

Yang dimaksudkan dakwah Islamiah ialah memberikan kesedaran mengenai Islam kepada masyarakat bukan Islam yang rata-rata tidak begitu memahami ajaran agama ini walaupun Islam termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama Persekutuan.

Dakwah Islahiah pula adalah satu dimensi dakwah yang memfokuskan kepada aspek pembaikan, peningkatan dan pemantapan kefahaman secara tuntas mengenai ajaran Islam kepada umat Islam sendiri yang turut terbelenggu dengan cabaran pendangkalan pemikiran terhadap ajaran Islam sebenar.

Apa yang dimaksudkan pendangkalan makna dan pemikiran terhadap Islam ialah sering kali agama ini disalah-tanggap, sama ada dalam kerangka sempit iaitu seputar aspek peribadatan ritual seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji hingga tanpa disedari meminggirkan Islam daripada aspek-aspek kehidupan lain yang lebih luas.

Di satu sudut yang lain pula Islam ditampilkan secara ekstrem atau melampau dengan terlalu memfokuskan kepada perkara-perkara ranting yang tidaklah menjadi keutamaan dalam perlaksanaan. Malah banyak masa dihabiskan untuk membahaskan tentang label dan rangka berbanding inti pati dan maksud syariah yang sebenar.

Akhirnya, umat Islam berterusan berpolemik lantaran tuduh-menuduh tanpa titik noktah mengenai siapa yang lebih betul dalam menanggapi satu-satu aspek agama.

Justeru Yadim tampil sebagai organisasi yang diwujudkan oleh pemerintah dengan harapan mampu menjernihkan pemikiran umat, sekali gus mengurangkan jurang bukan sahaja dari segi kefahaman Islam, tetapi juga sedikit sebanyak perbezaan ideologi politik yang tidak  berkesudahan.

Perkara inilah yang penulis berkongsi pandangan dengan Tuan Guru. Bahkan beliau juga sependapat dengan penulis bahawa umat harus meletakkan Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Hinggakan kata-kata hikmah Tok Guru sebelum kami bersurai “Kalau Islam diletakkan asas perjuangan, InsyaAllah umat boleh kembali bersatu”.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *