Home » Langit Terbuka » Demi kesihatan, Tabung Haji ‘manjakan’ Jemaah

Demi kesihatan, Tabung Haji ‘manjakan’ Jemaah

Bagi Tabung Haji, kesihatan jemaah adalah keutamaan kerana apabila jemaah tidak sihat, sudah tentu mereka sukar melakukan ibadat, kata Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (gambar). - Foto Utusan Malaysia

MEKAH – “Kami sanggup manjakan jemaah agar mereka sentiasa sihat untuk melakukan ibadat,” begitu kenyataan Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman apabila memperkatakan mengenai perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh Tabung Haji.

Katanya, bagi Tabung Haji, kesihatan jemaah adalah keutamaan kerana apabila jemaah tidak sihat, sudah tentu mereka sukar melakukan amalam ibadat di Arafah, Muzdalifah dan Mina, terutama dalam keadaan cuaca sekarang.

Sehubungan itu, agensi itu mengambil langah proaktif iaitu mencegah sebelum jemaah mendapat sakit lebih teruk kerana masih ada jemaah enggan ke klinik mendapatkan rawatan walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Antara alasan yang membuatkan jemaah enggan berjumpa doktor kerana takut disebabkan penyakit, mereka akan ditahan di hospital dan tidak dibenarkan ke Arafah pada Hari Wukuf, katanya.

Beliau berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana Tabung Haji akan sentiasa berusaha memastikan jemaah berpeluang melakukan wukuf di Arafah walaupun terpaksa dengan membawa mereka di dalam ambulan.

Sebagai langkah pencegahan, Tabung Haji menubuhkan pasukan petugas kesihatan yang akan mengunjungi bilik-bilik jemaah bagi bertanya khabar dan membuat saringan kesihatan awal.

Tambahnya, lawatan tersebut bertujuan memastikan jemaah yang tidak sihat boleh terus dibawa mendapatkan rawatan awal di klinik yang terdapat di penginapan masing-masing.

Katanya, konsep pencegahan atau mengesan awal jemaah yang sakit telah berjaya menggurangkan bilangan jemaah yang dimasukkan ke hospital, terutama menjelang Hari Wukuf iaitu kemuncak ibadat haji.

Beliau berkata, di musim panas ketika ini, penjagaan kesihatan jemaah dari awal amat penting terutama bagi jemaah yang kurang minum air kerana boleh memberi kesan ketika berada di Masyair nanti.

“Malahan setiap jemaah akan dibekalkan dengan pek serbuk air garam apabila berada di Masyair nanti bertujuan mengelak masalah dehidrasi atau kekurangan air dan garam dalam badan,” tambahnya.

Sejak tahun lepas, Tabung Haji telah membawa lebih ramai doktor awam dan keluarga yang memberi fokus kepada aspek-aspek penjagaan kesihatan atau rawatan awal sebelum penyakit menjadi kritikal.

Menyentuh mengenai tenaga pengamal kesihatan yang bertugas tahun ini, Syed Saleh berkata, untuk musim haji kali ini, 60 doktor yang 23 daripadanya adalah doktor pakar dalam pelbagai bidang ditempatkan di klinik-klinik Maktab dan hospital Tabung Haji. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *