Home » Langit Terbuka » Demonstrasi tidak dibenarkan 
di Johor – Sultan Ibrahim

Demonstrasi tidak dibenarkan 
di Johor – Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU 3 Nov. – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyifatkan demonstrasi jalanan sebagai budaya sesat dan menegaskan tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak untuk menganjurkannya di negeri ini.

Sultan Johor bertitah, demonstrasi jalanan juga mengganggu ketenteraman awam dan memberikan imej tidak baik kepada negara.

“Oleh itu saya ingatkan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua Bangsa Johor supaya tidak ikut budaya sesat ini. Jangan terikut-ikut cara luar yang menghasut untuk menjatuhkan kerajaan.

“Apa yang peliknya seorang bekas pemimpin negara yang veteran dan terkenal di dunia pun sertai demonstrasi,” titah baginda dalam Perhimpunan Bangsa Johor di Stadium Tertutup Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, tindakan rakyat berkumpul di tempat-tempat awam dan me­lakukan perbuatan menghina pemimpin dan individu ter­tentu adalah tidak bertanggungjawab.

Titah baginda, jika tidak berpuas hati dengan kerajaan, rakyat boleh menyuarakannya kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih dan jika mereka gagal membawa suara hati rakyat, maka pilih pemimpin baharu pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, baginda me­lahirkan kebimbangan dengan penularan sejenis ‘virus’ amat berbahaya yang sedang melanda negeri ini dan menganggap­nya lebih teruk daripada virus Zika kerana tiada penawarnya.

“Jika penyakit jantung boleh mati serta merta. Virus ini akan membuat pesakitnya sengsara sepanjang hayat. Virus yang saya maksudkan adalah perpe­cahan. Virus ini datang daripada parti politik baharu dan ahli-ahlinya menjadi penyebarnya.

“Virus ini sangat berbahaya kerana sukar diubati. Apabila masyarakat dijangkiti virus ini, maka musnahlah kehidupan dan kemakmuran negara. Oleh itu saya berharap rakyat menjauhkan diri daripada virus ini,” titah Sultan Ibrahim.

Justeru, baginda mahu rakyat tidak menyesal di kemudian hari dan pembawa virus berkenaan akan menghentam kerajaan setiap hari serta menghasut rakyat supaya membenci pemimpin.

“Kebaikan yang dibuat kerajaan semuanya tak nampak. Apabila agenda atau hasrat mereka tidak tercapai, mereka akan biarkan masyarakat hidup dalam keadaan yang menderita.

“Saya tidak mahu melihat rakyat saya berpecah. Saya benci kepada individu yang mempunyai agenda tersendiri, menghasut rakyat untuk bergaduh sesama sendiri. Apabila perpecahan berlaku, kehidupan rakyat akan menjadi susah dan pada waktu itu, janganlah toleh kepada saya,” titah Sultan Ibrahim.

– https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *