Home » Langit Terbuka » Desak resolusi PBB

Desak resolusi PBB

Liga Arab sifatkan tindakan Trump ‘berbahaya’

BAITULMUQADDIS 10 Dis. – Palestin akan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa mengeluarkan satu resolusi meminta Amerika Syarikat (AS) menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Seramai 14 daripada 15 anggota majlis berkenaan mengutuk pengistiharan tersebut dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan semalam.

Usaha ke arah mendapatkan resolusi itu dibuat selepas Mesyuarat Liga Arab di Mesir semalam dan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki Rabu ini.

Resolusi itu sukar mendapat kelulusan kerana AS merupakan antara lima anggota majlis berkenaan mempunyai kuasa veto.

Di Kaherah, menteri-menteri luar Arab mendesak AS supaya menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel kerana langkah berkenaan akan mening­katkan keganasan di rantau ini.

Pengiktirafan yang dibuat Pre­siden AS, Donald Trump pada minggu lalu merupakan ‘pe­langgaran undang-undang antarabangsa yang dahsyat’, ‘tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang dan terbatal’, kata Liga Arab dalam kenyataan selepas mesyuarat menteri-menteri luar Arab yang dihadiri kesemua 22 negara anggotanya di Mesir lewat petang semalam.

Tindakan Trump itu disifatkan sebagai ‘berbahaya dan tidak boleh diterima’ dan merupakan ‘serangan terhadap penyelesaian politik’ dalam konflik Israel-Pa­lestin.

Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul-Gheit dalam kenyataan pertubuhan itu berkata, apa yang dilakukan Trump bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan menimbulkan persoalan tentang usaha AS menyokong penyelesaian secara aman antara Palestin dan Israel.”

Beliau berkata, perubahan da­sar AS menjejaskan keyakinan negara-negara Arab terhadap pentadbiran Trump kerana tindakannya juga bagaikan mengesahkan tindakan Israel menduduki wilayah Palestin.

Liga Arab mengatakan mereka bersedia menolak sebarang resolusi daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyokong dasar baharu AS itu.

Sementara itu, Menteri Luar Lebanon, Gebran Bassil mengusulkan agar satu sekatan ekonomi dikenakan terhadap AS dalam mesyuarat tergempar itu.

“Bermula dengan hubungan diplomatik dan politik ia diikuti oleh sekatan-sekatan lain termasuk kewangan dan ekonomi,” kata Bassil tanpa memperincikan kenyataannya itu.

Liga Arab dalam kenyataannya setakat ini menyatakan apa-apa tentang sekatan ekonomi terhadap AS. – AGENSI

Utama

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *