Home » Wacana » Doa adalah ‘otak’ ibadat

Doa adalah ‘otak’ ibadat

Oleh ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Tafsir Surah al-Baqarah, ayat 186

Syeikh al-Maraghi berkata: Apabila Allah menuntut hamba-Nya dalam ayat yang dahulu tentang kefarduan puasa puasa Ramadan, menyempurnakan bilangannya serta menggesa mereka supaya bertakbir untuk persiapan bersyukur. Allah SWT menyebut dengan ayat ini sebagai dalil Dia bersifat Maha Mengetahui keadaan mereka dan Maha Mendengar segala doa mereka.

Sayyid Qutb berkata: Sebelum rangkaian ayat ini meneruskan penerangannya mengenai hukum-hukum yang terperinci tentang masa-masa puasa, had-had menikmati kenikmatan dalam masa puasa dan had-had imsak, kita dapati di sana ia mengemukakan satu tarikan perhatian kepada pedalaman-pedalaman jiwa manusia dan liku-liku rahsia hati mereka. Kita dapati satu ganti rugi yang amat diingini terhadap kesulitan berpuasa dan satu balasan yang segera terhadap mereka kepada perintah Allah. Kita dapati ganti rugi dan balasan itu terletak pada nikmat perdampingan mereka dengan Allah dan pada nikmat keredhaan-Nya memperkenankan doa mereka.

Semuanya itu digambarkan dengan kata-kata yang lemah lembut, jernih dan indah yang hampir-hampir memancarkan cahaya yang terang.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak.” (al-Baqarah: 186)

Sayyid Qutb berkata: Iaitu Aku sangat hampir dan akan terus memperkenankan doa setiap yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku… alangkah lembutnya! Alangkah halusnya! Dan alangkah ramahnya! Dan dimana lagi letak kesulitan berpuasa dan kepayahan taklif di bawah naungan kemesraan kehampiran dan keramahan yang seperti ini.

Firman Allahs.w.t yang bermaksud:

Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.”

Sebab turunnya ayat ini bahawa Nabi s.a.w mendengar orang Islam berdoa kepada Allah dengan suara yang yang tinggi di dalam peperangan Khaibar. Lantas Nabi s.a.w bersabda kepada mereka yang bermaksud: “Hai manusia, perlahankan suara kamu dalam berdoa kerana kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan tidak kepada yang ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada yang Maha mendengar, dekat dan bersamamu.” Di sini Ibn al-Jauzi menyebut pendapat yang lain berkenaan turunnya ayat ini selain di atas:

  1. Seorang Badwi datang bertemu Nabi Muhammad s.a.w dan bertanya: Adakah Tuhan kita hampir untuk munajat atau jauh untuk menyeru? Kemudian turunnya ayat ini. Seperti riwayat Alsalt bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya.
  2. Yahudi Madinah bertanya: Hai Muhammad! Bagaimana Tuhan kami mendengar doa kami, sedangkan kamu sangka antara langit perjalanan lima ratus tahun? Kemudian turunnya ayat ini. Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.
  • Mereka berkata: Hai Rasulullah! Kalau kami tahu waktu yang disukai oleh Allah untuk kami berdia kepada-Nya. Lantas turunnya ayat ini, seperti pendapat Ata’.
  1. Sahabat Nabi bertanya Rasulullah: Di manakah Allah? Lantas turunnya ayat ini, sebagaimana kata al-Hasan.

Firman Allah yang bermaksud: “Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” Syeikh al-Maraghi berkata: Dekatnya Allah s.w.t dengan hamba-Nya bermaksud: Penguasaan ilmu dengan sesuatu ialah dia mendengar segala ucapan dan melihat perbuatan mereka.

Dinyatakan di sini beberapa adab doa, antaranya:

  1. Berdoa dengan penuh keiklasan dan pengharapan kepada Allah s.w.t.
  2. Memulakan dengan pujian kepada Allah s.w.t dan diikuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w juga.
  3. Menutup doa dengan pujian kepada Allah s.w.t dan selawat kepada Rasulullah s.a.w juga. Imam al-Nawawi berkata bahawa para ulama telah sepakat (ijmak) bahawa doa itu dimulai dengan kalimah memuji Allah s.w.t, kemudiaan selawat kepada Rasulullah s.a.w, demikian juga penutup doa, diakhiri dengan pujian dan selawat. (Al-Azkar, dalam Bab Pembukaan dan Penutup Doa. Ibn Hajar mengatakan sanadnya adalah jayyid (Sahih al-Tirmidzi).
  4. Berdoa dengan khusyuk, tadharru’ dan di sertai dengan penuh pengharapan.
  5. Berdoa dengan sabar menanti dimakbulkan Allah s.w.t.
  6. Tidak berdoa untuk keburukan seperti kecelakaan dan memutuskan silaturahim.
  7. Berdoa dengan mengucapkan Ya Rabb sebanyak tiga kali. Daripada riwayat daripada Ata’ r.a, beliau berkata: Tidaklah seseorang hamba mengatakan Ya Rabb sebanyak tiga kali melainkan Allah s.w.t akan mendengar akan pemintaannya. Imam Malik pernah ditanya tentang panggilan kepada Allah s.w.t dalam doa mengenai wajarkah atau tidak diseru dengan nama Sayyid. Jawab beliau: Katakanlah: Ya Rabb, kerana itulah panggilan para Nabi a.s kepada Allah s.w.t dalam munajat mereka. (Fiqh al-Doa: Bab Doa Makbul).
  8. Mengadap ke arah kiblat. Mengangkat kedua-dua belah tangan semasa berdoa kerana berdasarkan dalil: Anas bin Malik.
  9. Berdoa dalam keadaan berwuduk.
  10. Menyeru Allah s.w.t dengan nama-namanya yang mulia, iaitu Asma al-Husna.
  11. Bertawasul dengan amal soleh yang pernah dilakukan.
  12. Makanan dan minuman mestilah dari sumber yang halal dan bersih.
  13. Hendaklah melakukan amal makruhdan nahi mungkar. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Demi Allah yang jiwaku berada dalam tangan-Nya, hendaklah kamu menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar. Jika kamu tidak melakukannya, Allah s.w.t akan menurunkan seksa kepada kamu dan apabila kamu berdoa kepada-Nya, nescaya tidak akan dimakbulkan.” (Riwayat at-Tirmidzi)
  14. Menghimpunkan kesemua anak jari melainkan ibu jari ini berdasarkan sebuah hadis sahih.
  15. Menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa. Dalilnya, daripada Ibn Abbas, Rasulululah s.aw bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu memohon kepada Allah s.w.t, mohonlah dengan tapak-tapak tangan dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tangan kanan.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majjah dan al-Hakim). Saad bin Majid menceritakan daripada bapanya telah memberitahu bahawa apabila Rasulullah s.a.w berdoa, baginda akan menadah kedua-dua belah tapak tangan, kemudian menyapu dengan kedua-dua belah tangan tersebut. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Umar bin al-Khattab pula menceritakan, apabila baginda mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa, baginda tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua-dua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan al-Hakim.
  16. Mengaminkan doa yang dibaca.

 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak.” Orang yang arif dengan syariat Allah dan sunnah Allah terhadap makhluk-Nya tidaklah bermaksud doanya kecuali hidayahnya dengan sebab kepada penhasilan segala matlamat dan mencapai maksud. Sebagai contoh: Apabila seseorang memohon kepada Allah supaya dianugerakan rezeki, bukan bermaksud turun hujan ke atasnya hujan emas dan perak. Apabila memohon sembuh penyakit, bukan bermaksud dia mencari adab sebaliknya untuk taufik kepada rawatan yang membawa kepada penyembuhan.

Ditegaskan oleh Syeikh al-Maraghi: Siapa yang meninggalkan usia sebaliknya menuntut untuk didatangkan apa yang dihajati tanpa sebarang usia, maka ia dianggap tidak berdoa sebaliknya jahil. Ini kerana ia membatalkan segala sunnah yang telah disunnahkan Allah s.w.t mengikut hukumnya terhadap makhluk. Seperti yang diketahui doa merupakan tuntutan serta bertawajuh dengan Allah dengan hati akan terkesan betapa perlu-Nya. Orang yang mengingati kebesaran Allah sudah pasti mencapai matlamat doa dengan sebab itulah Nabi s.a.w menamakan doa sebagai otak segala ibadah.

Dalam ayat ini, Allah memperakukan penerimaan dengan syarat beriman dan yakin kepada-Nya. Orang yang mempunyai sifat tersebut sudah pasti mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t.

Iktibar dan pengajaran ayat:

  • Dekatnya Allah s.w.t dengan hamba untuk memberi pertolongan dan mengetahui keadaan mereka.
  • Doa merupakan otak ibadat dan senjata yang ampuh bagi orang Islam.
  • Bagi mentahqiqkan penerimaan doa hendaklah dilaksanakan dua syarat:
    1. Melaksanakan segala arahannya sama ada yang fardu atau sunat dan meninggalkan segala larangannya.

 

Penutup

Marilah kita mengambil semangat di bulan yang mulia ini dengan saling bermaaf-maafan dan memperbanyakkan doa. Hal ini sudah pasti akan merapatkan lagi hubungan silaturahim di samping kasih sayang sesama individu. Semoga Allah s.w.t menerima segala doa kita serta segala ketaatan yang kita telah lakukan dengan begitu giat sekali pada masa ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t menempatkan kita semua di kalangan hamba-Nya yang soleh.

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *