Home » Langit Terbuka » Dr. Juanda sokong usaha pinda undang-undang murtad

Dr. Juanda sokong usaha pinda undang-undang murtad

Datuk Dr. Juanda Jaya

KUCHING 4 Mac – Timbalan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Dr. Juanda Jaya menyokong usaha dilakukan oleh kerajaan Sarawak dalam melakukan pindaan terhadap Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 berhubung individu yang keluar Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng yang juga bekas Mufti Perlis berkata, keputusan tersebut adalah langkah berani Ketua Menteri, Datuk Patunggi Abang Johari Tun Openg untuk membetulkan keadaan yang tergantung selama ini.

“Ini (pindaan) adalah suatu langkah berani daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari untuk membetulkan keadaan yang tergantung selama ini.

“Usaha ini adalah bagi mengelakkan ketegangan keadaan sedia ada bagi membolehkan jalan keluar dan penyelesaian bagi isu yang menghantui semua pihak dalam negara kita dan di negeri Sarawak khususnya,” ujar beliau dalam kenyataan di sini pagi ini.

Mengulas lanjut, katanya, usaha Abang Johari wajar dipuji kerana berani menyelesaikan isu paling sensitif di negara ini.

Semalam dalam ucapan ketika merasmikan Sekolah Antarabangsa St. Joseph di Jalan Tan Sri Datuk William Tan di sini, Abang Johari memaklumkan, kerajaan Sarawak akan melakukan pindaan terhadap undang-undang berkait umat Islam yang hendak keluar daripada agama tersebut.

Katanya, pindaan itu penting bagi mengelak berlaku ketegangan agama di negeri ini, memandangkan ordinan yang sedia ada sekarang terdapat kelompangan dan kekurangan.

Usaha itu adalah susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan kes empat individu iaitu Mohd Syafiq Abdullah, Nur Muzdhalifah Abdullah, Salina Abdullah dan Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen yang keluar daripada Islam perlu diperdengar dan ditentukan oleh Mahkamah Syariah menggunakan peruntukan di bawah Ordinan Majlis Agama Islam Sarawak 2001 dan bukan Mahkamah Sivil pada Selasa lalu. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *