Seri Paduka bertitah, perlu difahami bahawa kewujudan agensi tersebut di peringkat Persekutuan dan negeri adalah bagi melaksanakan fungsi pengurusan serta pembangunan hal ehwal Islam.

“Sekali gus, membantu agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan dan negeri untuk mengurus tadbir hal ehwal Islam.

“Oleh itu, dakwaan tersebut adalah amat tidak bertanggungjawab dan keterlaluan,” titah Seri Paduka ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1437 Hijrah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Tuanku Abdul Halim dalam titahnya turut menyatakan penghargaan terhadap peranan agensi-agensi Islam di peringkat Persekutuan serta negeri dalam melaksanakan pelbagai program pendidikan dan penghayatan kepada masyarakat.

Seri Paduka bertitah, program-program yang dilaksanakan oleh agensi Islam di peringkat Persekutuan dan negeri telah memberi impak yang amat besar ke arah mewujudkan masyarakat yang hidup bersatu padu dan harmoni.

“Kefahaman Islam yang bertunjangkan kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan pengamalan syariat yang berpandukan al-Quran, as-Sunnah serta ijtihad para ulama muktabar telah berjaya melahirkan masyarakat Islam yang sederhana, berimbang dan adil dalam setiap tindakan serta amalan,” titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah, landasan berfikir yang menganggap agama Islam hanya terbatas dalam urusan ritual dan peribadi semata-mata adalah tersasar daripada petunjuk wahyu dan sunnah Rasulullah SAW.

Titah Seri Paduka, Islam adalah agama yang lengkap dan mencakupi seluruh bidang kehidupan manusia.

“Oleh yang demikian, beta berharap agar umat Islam sentiasa menjauhkan diri daripada terlibat dengan segala bentuk pemikiran serta ajaran yang menyeleweng daripada Islam,” titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka bertitah, menyedari cabaran besar yang dihadapi umat Islam hari ini, seluruh institusi Islam perlu sentiasa dipastikan berada di landasan kukuh, mantap dan berkesan.

“Pada masa sama, permuafakatan antara ulama dan umara’ hendaklah terus diperteguhkan demi untuk memastikan ketinggian agama Islam dan kesejahteraan ummah sentiasa terpelihara,” titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah, tunjang kepada kemakmuran negara adalah persefahaman dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama.

“Justeru, adalah penting untuk kita sentiasa memelihara hubungan baik antara satu sama lain, bertoleransi serta saling hormat menghormati agar perpaduan yang sedia ada dapat dikekalkan,” titah Seri Paduka.

Titah Tuanku Abdul Halim, kejayaan Rasulullah SAW menyatupadukan umat Islam untuk hidup aman damai bersama orang bukan Islam di Madinah seharusnya dijadikan teladan.

Seri Paduka dalam titahnya turut bersyukur kerana pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan berjaya diterapkan di negara ini dan diterima baik oleh umat Islam serta rakyat.

“Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan aliran yang melampau namun majoritinya masih berpegang dengan manhaj wasatiyyah sebagaimana didokong oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tuanku Abdul Halim turut berbangga atas inisiatif kerajaan memperkenalkan Indeks Syariah Malaysia yang bertujuan mengukur dan menilai tahap keseriusan kerajaan dalam mencapai maqasid syariah.

Sumber daripada www.utusan.com.my