Home » Langit Terbuka » Dukung Pendekatan Islam Wasatiy, Jauhi Ekstremisme

Dukung Pendekatan Islam Wasatiy, Jauhi Ekstremisme

CHERAS – Buat julung kalinya gerakan-gerakan Islam di Malaysia berhimpun bagi mewacanakan berkaitan ‘Islam Wasatiy Membangun Peradaban Ummah’ di International Youth Centre, di sini.

Gerakan-gerakan ini dengan tekad dan semangat, mengisytiharkan penubuhan Himpunan Gerakan Islam Malaysia untuk menegakkan pemahaman wasatiyyah dan mencerdaskan umat dalam membina masyarakat madani (berperadaban dan bertamadun).

“Kami bersama nadi dan degup jantung rakyat Malaysia menzahirkan kecintaan kepada tanah air bertuah ini, yang kaya dengan pelbagai nikmat serta dianugerahkan suasana aman, damai, meskipun dalam kepelbagaian agama dan kaum, zaman berzaman,” ucap empat pemimpin utama Himpunan Gerakan Islam Malaysia.

Mereka adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Hj Badlishah Sham Baharin , Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz dan Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman.

Inisiatif ini adalah gabungan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada gerakan-gerakan Islam utama di Malaysia dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam pelbagai bidang termasuk dakwah, tarbiah, kebajikan, kemanusiaan, pendidikan, wanita, belia dan keusahawanan.

“Ini selari dengan kefahaman bahawa Islam adalah agama yang menyeluruh dan merangkumi semua aspek kehidupan.”

Dalam pada itu, gerakan ini bertekad akan meneruskan usaha untuk memupuk perpaduan serta menangkis suara-suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama sebagaimana yang telah disuarakan menerusi titah DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Majlis Pelancaran Buku dan Wacana pada 5 Ogos 2023 baru-baru ini.

“Kami menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk menghayati idealisme dan cita-cita perjuangan bersama, iaitu:

1. Membangun peradaban Ummah berteraskan nilai Islam Wasatiy yang bercirikan prinsip keadilan dan kemajuan serta kemanusiaan sejagat.

2. Membina warganegara yang bersatu padu berteraskan Rukun Negara dan Perlembagaan demi menjamin keharmonian dan kerukunan hidup rakyat Malaysia yang majmuk dan madani.

3. Menggembleng seluruh potensi dan kekuatan umat Islam ke arah membangun peradaban ummah yang teguh dan kukuh dalam segenap aspek kehidupan.

Dalam perkembangan berkaitan, Himpunan Gerakan Islam Malaysia sebulat suara mengajak individu dan pertubuhan yang berkongsi nilai-nilai serupa serta semua lapisan masyarakat untuk mendukung Islam Wasatiy, menolak ekstremisme dan berganding bahu memperjuangkan keharmonian serta kemajuan negara.

“Kami yakin bahawa hanya dengan wasatiy, kebersamaan dan keikhlasan, kita dapat mencapai Malaysia yang madani, cemerlang, sejahtera dan berdaya saing,” ujar mereka di hadapan lebih 100 orang yang hadir dalam wacana ini yang sebelumnya dikendalikan oleh Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai moderator.

NGO lain yang hadir ialah Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Pertubuhan Wanita Anggerik Malaysia, Global Peace Mission (GPM), Pertubuhan Suara Prihatin Malaysia, Allied Coordinating Committee of Islamic (ACCIN) dan Itqan.

Turut hadir wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Sebelumnya, pendekatan wasatiyyah telah diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui Piagam Madinah yang mengandungi 47 perkara. Lebih 1,400 tahun dahulu baginda telah memikirkan tentang multikulturalisme (kepelbagaian budaya).

Islam Wasatiy merupakan pendekatan sederhana kepada pemahaman Islam berasaskan iman, ilmu dan takwa, ia selari dengan nukilan almarhum Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan bahawa wasatiyyah bukanlah bermaksud ala kadar (mediocrity).

Ummatan Wasatan menekankan keseimbangan, keadilan dan cemerlang, serta menolak segala bentuk kecurigaan, ekstremisme dan radikalisme yang merosakkan keharmonian masyarakat.

Sumber : https://ikram.org.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *