Home » Langit Terbuka » Dunia Islam pandang Malaysia, TH model pengurusan terbaik Haji

Dunia Islam pandang Malaysia, TH model pengurusan terbaik Haji

Sidang perasmian pembukaan Musim Haji 1443H Peringkat Dunia - Foto Arkib

Kuala Lumpur – Dunia Islam sentiasa memandang tinggi keupayaan Malaysia dan Tabung Haji (TH) sebagai model pengurusan terbaik haji.

“Ya, benar, di mana-mana acara, dunia sentiasa menyebut contoh Tabung Haji Malaysia,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Sehubungan itu, beliau amat berbesar hati menerima undangan daripada Kerajaan Arab Saudi sebagai pembicara dalam Simposium Perdana Haji bagi Musim Haji 1443H.

“Saya berkongsi berkaitan pengalaman Malaysia dalam menguruskan Jemaah haji Malaysia.

“Ia satu penghormatan buat negara kita Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Menurutnya, usia TH sudah melebihi 50 tahun.

Katanya, mengundur terowong masa, pada tahun 1959, Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid telah membentangkan kajian beliau bertajuk ‘Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji’.

Tambahnya, selepas itu pada tahun 1960, Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji telah dibentuk untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam yang mahu mengerjakan ibadah haji khususnya kaedah penyimpanan wang mereka untuk tujuan haji.

Katanya lagi, setelah beberapa siri mesyuarat dan libat urus, sebuah institusi iaitu Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji ditubuhkan pada November 1962.

 

Beliau berkata, bagi menghadapi tugasan yang lebih komprehensif dalam pengurusan haji, Lembaga Urusan dan Tabung Haji telah ditubuhkan secara rasmi pada 8 Ogos 1969.

Dalam tempoh itulah juga, ujarnya TH telah melalui pelbagai episod yang mematangkan pengurusannya sebagai sebuah agensi pengurusan haji.

“Alhamdulillah, musim Haji kali ini seramai 600 orang petugas Tabung Haji termasuk pasukan perubatan berada di Tanah Suci untuk mengurus dan menyantuni para jemaah Haji Malaysia.

“Jemaah Haji kita pula amat berdisiplin serta mematuhi arahan pihak berkuasa, selain orang kita amat tertib dan murah dengan senyuman” ujarnya.

Tambahnya, beliau selalu berpesan kepada pengerusi dan seluruh pengurusan TH supaya jagalah amanah sebaik-baiknya kerana TH adalah amanah umat Islam.

“Tabung Haji bukan milik peribadi kita. Ia amanah umat Islam. Uruskan dengan penuh dedikasi dan integriti.

“Semoga Allah memberkati semua insan yang telah membangunkan Tabung Haji sejak hari pertama ia ditubuhkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *