Home » Langit Terbuka » Fabrik tudung berkualiti mudahkan pergerakan atlet

Fabrik tudung berkualiti mudahkan pergerakan atlet

Pengenalan Pro Hijab diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai wanita Muslim terbabit dalam aktiviti sukan.

JENAMA pakaian sukan terkemuka dunia, Nike menyediakan tudung khas bagi wanita Muslim yang aktif bersukan dikenali sebagai Pro Hijab.

Rekaan tersebut merupakan penghargaan kepada wanita yang menginginkan keselesaan sepanjang melakukan aktiviti sukan terutamanya atlet wanita Muslim.

Nike berjaya memasarkan produk itu pada Disember lalu.

Inspirasi untuk mengeluarkan rekaan tudung terhasil apabila atlet Muslim meluahkan kesukaran mereka memakai tudung biasa ketika bersukan.

Salah seorang wanita tersebut ialah atlet angkat berat wanita Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Amna Al Haddad yang memberitahu Nike semasa pertemuan di ibu pejabat syarikat itu di Beaverton, Oregon, Amerika Syarikat (AS), bahawa tudung biasa yang dipakainya kurang pengudaraan dan tidak kemas.

“Saya sukar untuk mencari tudung yang sesuai ketika menyertai pertandingan. Saya hanya mempunyai satu hijab yang perlu dicuci berulang kali,” jelasnya.

Sementara itu, atlet lawan pedang Olimpik yang berasal dari New Jersey, Ibtihaj Muhammad pula mendedahkan bahawa dia menghadapi masalah mendengar arahan pengadil semasa pertandingan kerana fabrik tudungnya sangat tebal.

“Ekoran itu, saya sering mendapat amaran daripada pengadil apabila gagal mengikuti peraturan perlawanan sehingga menjejaskan reputasi dan mengganggu konsentrasi.

“Saya juga mengalami kesukaran melancarkan serangan kerana wajah dibasahi peluh akibat tudung yang dipakai terlalu panas dan tidak sesuai ketika menyertai pertandingan lawan pedang,” cerita atlet lawan pedang wanita pertama memakai tudung yang mewakili AS di Sukan Olimpik Rio 2016.

Tutur pemenang pingat gangsa Olimpik itu, dia memakai tudung biasa dengan mengikatnya di bahagian belakang leher dan dipin di dagu, manakala lebihan kain itu dimasukkan ke dalam bra sukan supaya kedudukannya kekal di bawah topeng.

Pembuatan

Akui Ibtihaj, dia menyedari kelemahan tudung lamanya itu selepas mencuba Pro Hijab.

Pro Hijab boleh didapati di kedai-kedai Nike dan laman webnya pada harga AS$35 (RM136).

Hijab menjadi simbol agama Islam yang sangat ketara di AS dan Eropah. Ramai wanita Islam memakai tudung di tempat awam.

Menurut jurucakap jenama itu, tudung tersebut direka bersesuaian dengan suhu Asia Barat dan dicipta menggunakan fabrik poliester ringan yang mempunyai liang-liang halus untuk mengoptimumkan pengudaraan.

“Ia juga sangat elastik dan terbentuk bersesuaian mengikut bentuk muka si pemakai dengan menggunakan benang-benang lembut untuk mengelakkan kerengsaan.

“Pembuatan Nike Pro Hijab mengambil masa selama setahun. Ia seiring dengan misi penubuhan syarikat ini untuk menyediakan kelengkapan sukan terbaik kepada para atlet.

“Semoga dengan terciptanya Pro Hijab ini dapat membolehkan atlet wanita Islam mewakili sukan profesional. Ia sangat selesa dipakai kerana penggunaan fabrik yang sangat bagus dan sesuai untuk pergerakan aktif,” terangnya dalam satu kenyataan media.

Tambah jurucakap Nike itu, ketika fasa akhir pembuatan hijab tersebut, ia telah diuji oleh jurulatih larian dari Mesir, Manal Rostom dan figura luncur ais Zahra Lari.

Menurut Zahra, dia berasa teruja dan sedikit beremosi apabila melihat Nike sedang menyiapkan prototaip pertama hijab tersebut.

“Saya telah mencuba banyak tudung berbeza ketika beraksi di gelanggang luncur ais namun, beberapa helai sahaja yang sesuai dipakai.

“Apabila saya memakai Pro Hijab dan melakukan putaran di atas ais, ia sangat mengujakan kerana ringan serta selesa,” ulasnya.

Tiga pilihan warna

Zahra yang berasal dari Abu Dhabi dan merupakan atlet UAE berharap dapat memakai Pro Hijab ketika menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan pada tahun ini.

Sehingga Disember lalu, Nike Pro Hijab boleh didapati dalam tiga pilihan warna berbeza seperti hitam, kelabu dan obsidian.

Selain itu, ia didatangkan dalam dua saiz iaitu XS/S dan M/L.

Tudung tersebut membolehkan atlet wanita mematuhi syariah Islam tanpa menjejaskan prestasi mereka.

Besar harapan Nike agar penciptaan hijab tersebut dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita Islam untuk bersukan.

“Kehadiran Pro Hijab dijangka membuka lebih banyak ruang kepada wanita Muslim untuk menceburi pelbagai jenis sukan seperti bola sepak, hoki, kriket dan tenis.

“Matlamat Nike adalah untuk mencipta hijab ringan yang masih mengekalkan kesopanan,” ulas jurucakap itu lagi.

Rekaan hijab tersebut kini menjadi pilihan wanita Muslim di Teluk Parsi yang aktif dalam bidang sukan.

Atlet wanita Muslim dapat beraksi dengan selesa apabila memakai tudung Nike Pro Hijab yang direka menggunakan fabrik poliester yang ringan dan pengudaraan baik. – KOSMO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *