Home » Langit Terbuka » Filem PEKAK jatuh maruah, martabat OKU: Persatuan

Filem PEKAK jatuh maruah, martabat OKU: Persatuan

KUALA LUMPUR, 14 Sept.  – Penerbit filem PEKAK digesa untuk memohon maaf secara terbuka berhubung penayangan filem itu yang dianggap tidak menjaga sensiviti golongan orang kurang upaya  (OKU).

Presiden Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia (Hear Me), Norziba Fazlina Abdul Ghani berkata, filem PEKAK telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak termasuk ahli persatuan yang rata-rata mempunyai anak yang menghadapi masalah pendengaran.

Katanya, realiti sebenar majoriti kehidupan OKU pendengaran adalah jauh berbeza daripada apa yang ditayangkan di dalam filem ini.

“Ia sangat tidak sesuai untuk ditayangkan apatah lagi penuhi dengan adegan-adegan yang tidak bermoral seperti dadah, mencuri, pergaulan bebas, keganasan dan rokok seolah-olah memperlekehkan kedudukan dan maruah golongan OKU,” katanya kepada mStar Online.

Mengulas lanjut beliau berkata, apa yang dikesalkan jalan cerita pada filem tersebut tidak membantu untuk memberi kesedaran dan meningkatkan pengetahuan kepada pihak penonton tentang isu masalah pendengaran secara khusus.

“Untuk pengetahuan pihak umum, persatuan Hear Me mengumpulkan ibubapa yang mempunyai anak bermasalah pendengaran dan majoriti daripada anak-anak kami samada memakai alat bantuan pendengaran (Hearing Aids) atau implan koklea (seperti watak yang dimainkan oleh pelakon Zahiril.

“Malangnya, informasi berkenaan dengan implan koklea dan juga jalan cerita yang digunakan dalam filem ini adalah kurang tepat dengan fakta dan realiti serta tidak membantu dalam meningkatkan pengetahuan serta kesedaran pihak penonton tentang isu masalah pendengaran dan secara khususnya implan koklea,” katanya lagi.

Selain itu Norziba berkata, filem PEKAK juga hanya membuatkan masyarakat memandang serong terhadap golongan OKU seterusnya menggangu emosi mereka yang berada dalam keadaan kekurangan.

“Kehidupan sebagai seorang OKU pendengaran sudahpun sedia penuh dengan cabaran dan dugaan menghadapi masyarakat Malaysia yang masih lagi kurang pendedahan terhadap keadaan dan situasi mereka.

“Tidak perlulah pihak penerbitan filem membantu untuk menambahkan lagi masalah kepada mereka,” katanya.

-ISMAWEB

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *