Home » Langit Terbuka » Garis panduan urus tabung masjid selaras nasihat SPRM – JAKIM

Garis panduan urus tabung masjid selaras nasihat SPRM – JAKIM

KOTA KINABALU: Menyedari risiko penyelewengan wang tabung masjid dan surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil usaha mewujudkan garis panduan khusus untuk pengurusan tabung masjid dan surau seluruh negara.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata garis panduan itu mendapat kelulusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tahun ini.

Penyediaan garis panduan untuk masjid dan surau seluruh negara itu direalisasikan selepas sesi libat urus yang panjang bermula dengan pandangan dan kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2017.

“JAKIM mengambil serius pandangan dan hasil kajian SPRM pada 2017 dan kita membuat sesi libat urus yang panjang dengan pihak negeri selain pihak berkepentingan yang lain.

“Dari situ kita buat garis panduan pengurusan tabung masjid dan surau untuk diguna pakai di seluruh negara dan mendapat kelulusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Sultan Selangor pada tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima Sijil Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tata Kelola Agensi (APTA) sempena Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 anjuran SPRM dan kerajaan negeri Sabah, hari ini.

JAKIM adalah antara empat agensi yang menerima sijil berkenaan berikutan kejayaan melaksanakan nasihat penambahbaikan tata kelola yang dicadangkan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM.

Tiga agensi lain ialah Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Perak berkaitan penurunan aduan dalaman; Kementerian Kewangan Sabah berkaitan peningkatan kutipan hasil; dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) atas kejayaan melonjak tiga anak tangga ‘Global Ports Rangking’.

Hakimah berkata, penekanan terhadap pengurusan tabung masjid dan surau dilakukan berikutan kajian SPRM mendapati boleh berlaku risiko penyelewengan wang tabung jika tidak diurus dengan betul.

“Jadi, kita rasa ini adalah waktu yang tepat untuk kita pastikan pengurusan tabung masjid dan surau ini dibuat dengan baik.

“Kalau boleh diselaraskan di seluruh negara dengan tatacara yang betul, ia boleh mengekang punca berlaku salah laku atau berkemungkinan berlaku. Ini adalah inisiatif sangat baik dan disambut baik pihak JAKIM,” katanya.

Garis panduan itu antaranya merangkumi aspek pembukaan dan pengiraan wang tabung, tempoh masa kemasukan wang ke bank, prosedur perolehan pembelian yang membabitkan kos tinggi, mempamerkan kutipan wang kepada umum di papan kenyataan masjid dan surau, tatacara pelaburan dan orang yang diberi tanggungjawab membuat pungutan atau menerima derma bagi pihak masjid atau surau.

Sementara itu, Kementerian Kewangan Sabah turut menerima sijil APTA berikutan kejayaan meningkatkan kutipan hasil cukai jualan negeri bagi minyak sawit mentah selepas melaksanakan nasihat SPRM berhubung isu penipuan atau pemalsuan jumlah cukai oleh syarikat pada tahun lalu.

Kementerian Kewangan Sabah berjaya mengutip tunggakan cukai RM22.82 juta merangkumi RM6.07 juta hasil tunggakan dan RM16.75 juta tunggakan anggaran yang dipersetujui.

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *