Home » Langit Terbuka » Generasi muda tak amal ajaran Islam kerana keliru dengan ideologi asing – Anwar

Generasi muda tak amal ajaran Islam kerana keliru dengan ideologi asing – Anwar

Kuala Lumpur: Kajian daripada pihak kerajaan mendapati generasi muda cenderung tidak mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh kerana pelbagai faktor antaranya keliru dengan ideologi asing yang dibawa melalui pelbagai medium.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, kurangnya kefahaman agama kerana tidak mengikuti pendidikan Islam di peringkat kanak-kanak juga salah satu sebab golongan muda tidak mengamalkan ajaran Islam termasuk solat.

“Kerajaan melaksanakan beberapa kajian berkaitan dengan kefahaman dan amalan agama Islam dalam kalangan masyarakat beragama Islam di pelbagai peringkat umur dan dalam pelbagai aspek.

“Kajian ini menggunakan pelbagai kaedah dan metodologi termasuk kajian kualitatif dan kuantitatif.

“Setiap kajian yang dilaksanakan turut membabitkan pelbagai agensi kerajaan lain serta pusat pengajian tinggi di Malaysia,” katanya menerusi jawapan bertulis semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) apakah wujud kajian dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap berapa ramai umat Islam yang tidak bersolat dan langkah untuk mengatasinya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pihak kerajaan melaksanakan pendekatan proaktif terhadap golongan muda dengan mewujudkan kelas Kafa serta menggalakkan ibu dan bapa menghantar anak-anak bagi mengikuti pelajaran agama Islam di kelas Kafa.

Selain itu katanya, pihak Jakim sentiasa memperkasakan fungsi masjid dengan mengadakan kelas agama, tazkirah dan pengajian bagi membolehkan semua golongan mendapatkan penjelasan berkaitan agama Islam secara formal dan tidak formal.

“Kerajaan turut menggembleng usaha, tenaga dan pemikiran dalam mengisi ruang-ruang bagi memberikan pendidikan agama Islam untuk golongan muda melalui program MyInsaniah.

“Program ini diperkenalkan dengan memberi tumpuan penyertaan kepada semua belia di negara ini dengan tiga modul khusus iaitu modul kepimpinan, modul jati diri dan modul citra Malaysia.

“Dengan adanya program seumpama ini, diharapkan generasi muda cenderung mendidik diri mengikuti suruhan Allah terutamanya dalam menunaikan solat,” katanya.

Menyentuh mengenai solat, Anwar berkata, Jakim turut menyokong penuh idea dimulakan oleh Muhammad Aliff Muhammad Satar atau Alif Satar menggunakan tagline ‘Geng Subuh Seperti Jumaat’ yang mendapat sambutan baik oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan muda.

“Gerakan ‘Geng Subuh Seperti Jumaat’ ini juga dilaksanakan di beberapa negeri dan mendapat sambutan memberangsangkan oleh ahli masyarakat.

“Sehubungan itu, Jakim sentiasa mengajak pelbagai pihak untuk turut sama membantu pihak kerajaan dalam menyampaikan dan mengajak masyarakat Islam melaksanakan syariat Islam sebagai sebahagian dari kehidupan,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *