Home » Langit Terbuka » Gerakan Islamofobia semakin tersusun: Setiausaha Agung OIC

Gerakan Islamofobia semakin tersusun: Setiausaha Agung OIC

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr Yousef Al-Othaimeen menyuarakan kebimbangan terhadap isu gerakan Islamofobia yang bertopengkan hak asasi manusia dan maruah orang Islam dan kekuatan itu kelihatan semakin tersusun serta sudah menjadi norma.

Peningkatan sentimen kebencian serta penularan rasa tidak senang akibat diskriminasi oleh pelampau Islam kini semakin membimbangkan, katanya menerusi kenyataan.

Al-Othaimeen berkata demikian pada Sesi Peringkat Tertinggi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-34 di Geneva pada Rabu.

Menurut Setiausaha Agung itu lagi, sekatan dan dasar dikriminasi dikenakan terhadap seluruh Muslim semata-mata atas pegangan agama mereka dan pada masa sama politik pelampau berhaluan kanan semakin meningkat menyaksikan sentimen “kita menentang” semakin menebal.

“Senario ini amat menakutkan kerana bakal menghakis budaya tolak ansur dunia, sesuatu yang kita tidak mahu generasi akan datang alaminya. Oleh itu kita perlu memainkan peranan kita. OIC komited memainkan peranannya”, tambahnya

Jelas Setiausaha Agung itu, satu lagi senario Islamofobia yang menakutkan ialah apa yang menimpa Muslim Rohingya di Myanmar.

Tambah beliau berdasarkan laporan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bagi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ONCHR) mengesahkan akan kebimbangan OIC dan memberi gambaran sebenar bahawa pencabulan hak asasi manusia sedang berlaku terhadap kumpulan minoriti.

Susulan itu, beliau mengulangi gesaan agar kerajaan Myanmar perlu memastikan perlindungan terhadap kehidupan dan kesejahteraan penduduk Rohingya.

Al-Othaimeen turut membangkitakn mengenai situasi yang semakin buruk di Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Hak Asasi Manusia untuk bersama-sama mengutuk kekejaman Israel.

Beliau juga menggesa Majlis Hak Asasi Manusia untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat Kashmir, penduduk Islam di Syria dan Republik Amerika Tengah kerana PBB menjadi satu-satunya harapan bagi membantu mengatasi pelbagai cabaran keselamatan, keamanan, hak asasi manusia dan pembangunan yang melingkari kehidupan manusia.- Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *