Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tiada soal pilih kasih yang timbul kerana pe­netapan giliran jemaah ditentukan mengikut konteks ‘daftar dahulu, dapat pergi dahulu”.

“Tabung Haji ada sistem yang diaudit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara. Oleh itu, tiada persepsi dalam masyarakat seolah-olah wujud kuota atau visa istimewa kepada golongan orang kenamaan (VIP).

“Bagaimanapun, sememangnya wujud sesetengah pihak yang mendapat kuota terus daripada kerajaan Arab Saudi selaku wakil pemerintah untuk menunaikan haji tetapi ia tiada kaitan dengan Tabung Haji,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.

Menjawab soalan tambahan Senator Ramli Shariff berhubung pembayaran pampasan mangsa insiden kren binaan tumbang di Masjidilharam pada 11 September tahun lalu, Asyraf Wajdi berkata, Tabung Haji sentiasa memantau perkembangan berhubung isu itu dengan kerajaan Arab Saudi.

“Setakat ini, kita belum menerima sebarang maklum balas dan hal ini di bawah kuasa mutlak mereka. Bagaimanapun, kita akan sentiasa memantau dan membantu pelbagai aspek terutama berkenaan pengurusan,” katanya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Datuk Dr. Johari Mat, Asyraf Wajdi menjelaskan, pendaftaran semula bakal haji hanya boleh dilakukan lima tahun daripada tarikh akhir menunaikan fardhu haji.

“Selain itu, Tabung Haji tidak menawarkan tempat kepada kanak-kanak di bawah 15 tahun sebaliknya mempertimbangkan bakal-bakal haji yang berusia 75 tahun ke atas manakala bakal haji kali kedua sebagai mahram atau pengiring dikenakan bayaran penuh tanpa tanggungan Tabung Haji.

“Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu jika ada kekosongan disebabkan penolakan tawaran, kita akan mempertimbangkan dengan memberi keutamaan tempat kepada bakal haji yang lain,” katanya. UTUSAN