Home » Langit Terbuka » Hak Palestin, Israel diakui

Hak Palestin, Israel diakui

Putera Mohammed Salman

Perjanjian damai dua pihak perlu dipersetujui

WASHINGTON 3 April – Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman menyatakan bahawa rakyat Israel dan Palestin ‘berhak’ ke atas tanah air mereka, sama seperti hak yang diberikan kepada mana-mana penduduk di seluruh dunia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh Ketua Pengarang majalah The Atlantic, Jeffrey Golberg tentang hak penduduk Israel untuk memiliki negara sendiri?, sekali gus satu perubahan jelas dalam pendirian Arab Saudi terhadap negara Yahudi itu.

Mohammed berkata: “Saya percaya setiap orang walau di mana jua mempunyai hak untuk hidup dalam sebuah negara yang aman.

“Saya juga percaya bahawa penduduk Israel dan Palestin berhak terhadap tanah air mereka,” katanya yang kini dalam rangka lawatan selama tiga minggu ke Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Mohammed menegaskan bahawa satu perjanjian damai perlu dipersetujui bagi menjamin kestabilan untuk semua pihak, sekali gus mewujudkan sistem hubungan yang normal.

Arab Saudi dan Israel sehingga kini tidak menjalin sebarang hubungan diplomatik secara rasmi, tetapi hubungan ‘di sebalik tabir’ kedua-dua negara itu dilihat semakin baik dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Sejak 2002, Arab Saudi menjadi penaja utama kepada Inisiatif Keamanan Arab bagi menyelesaikan konflik melibatkan Palestin dan Israel.

Sebelum ini, tiada ‘pengiktirafan’ diberikan Arab Saudi kepada Israel berhubung hak terhadap tanah bagi memastikan usaha damai dengan Pa­lestin tidak terjejas.

Mohammed juga memberitahu Goldberg bahawa beliau tidak mempunyai ‘bantahan dari segi keagamaan’ terhadap rakyat Israel untuk hidup bersama penduduk Palestin selagi kawasan dan tempat suci umat Islam, Masjid Al-Aqsa dilindungi.

“Ini yang kami miliki. Kami tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap pihak lain,” ujarnya.

Sementara itu, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman dalam perkembangan yang sama mengulangi sokongan negara itu kepada kewudujan negara Palestin.

Raja Salman juga menekankan perlunya kemajuan dalam proses rundingan damai ketika perbualan telefon dengan Pre­siden AS, Donald Trump malam Isnin lalu selepas tentera Israel menembak mati 16 penduduk Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan sepanjang sempadan Israel-Gaza. – AFP

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *