Home » Persuasif » Hakikat manusia sebagai khalifah

Hakikat manusia sebagai khalifah

Mukadimah

Sebenarnya pada kali ini penulis sengaja ingin menafsirkan ayat 30 daripada surah al-Baqarah. Ini kerana kita berada dalam suasana iklim politik pilihan raya sama ada sedang atau sudah berlangsung. Kami nyatakan bahawa kurniaan Allah dan limpahan rahmat serta nikmat terhadap hamba-Nya bermula penciptaan sehinggalah penguasaan mereka segala yang ada di bumi. Lantas Allah mengiringi ayat seterusnya berhubung dengan muqadimah penciptaan Adam. Begitu juga kurniaan ke atas mereka dengan kemuliaan yang diberikan kepada Adam AS dengan menjadikannnya sebagai khalifah dan mendiamkannya di negeri yang penuh kemuliaan di samping arahan kepada sekalian malaikat untuk bersujud kepadanya sebagai lambang kemuliaan dan penghormatan. Justeru amatlah munasabah Allah mengingatkan mereka dengan segala nikmat tersebut yang dikurniakan dengannya terhadap mereka.

Ayat 30, surah al- Baqarah, Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Firman Allah SWT: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat

Ingatlah ketika dan waktu memberi dua maksud:

Syeikh al-Mubarrad berkata: Jika datang perkataan “Iz” yang bermaksud (Ingatlah) selepasnya fi’il mudhari’ (perbuatan yang sedang dan akan berlaku), ia memberi pengertian perkara yang sudah berlaku.

Sebaliknya jika “Iza” yang membawa maksud (apabila) selepas daripada itu fi’il madhi (perbuatan yang telah lepas) perkara itu merujuk kepada perkara yang akan datang.

Syeikh Muhammad al-Tohir atau lebih dikenali Ibn A’syur melalui kitabnya Al-Tahrir wa al-Tanwir menyatakan “Iz” daripada nama-nama masa yang kesamaran menunjukkan kepada masa lampau.

Ayat ini mengingatkan kepada Muhammad firman Allah kepada malaikat kejadian Adam untuk diceritakan kepada kaumnya. Malaikat sepertimana kata Ibn Hajar al-A’sqalani Malaikat adalah bentuk jama’ (banyak atau ramai) daripada kata “malak”.

Kata malaikat diambil daripada akar kata “al-Ulukah” iaitu “al-Risalah” yang ertinya utusan atau pesuruh. Inilah pendapat Sibawaih dan jumhur ulama. Dan berkata jumhur ahli kalam dari kalangan umat Islam: Malaikat adalah jisim yang halus yang diberi oleh Allah kudrat (kemampuan) merubah bentuk dalam pelbagai bentuk dan tempat tinggal mereka adalah di langit.

Malaikat adalah makhluk ghaib yang mempunyai jisim nurani yang sangat halus dan mereka tidak dapat dilihat dalam keadaan biasa, tetapi diberi Allah kemampuan bertukar pelbagai bentuk jasmani yang boleh dilihat oleh manusia,mempunyai kekuatan yang luar biasa,mereka sangat hampir kepada Allah, mematuhi-Nya dan tidak pernah derhaka kepada-Nya, tidak kahwin dan tidak mempunyai zuriat, tidak makan dan tidak minum, mereka adalah hamba-hamba Allah yang mulia, merekalah yang membawa risalah Allah kepada semesta alam, menunaikan tugas masing-masing dengan  sangat cemerlang di atas ketentuan Allah.

Buku-buku aqidah banyak memperihalkan berhubung keimanan dengan malaikat secara panjang lebar.

Ibn Jauzi di dalam Zad al-Masir berkata: Terdapat dua pendapat tentang malaikat.

 

Pertama: Semua malaikat. Inilah pendapat al-Suddi daripada guru-gurunya.

Kedua: Mereka yang bersama dengan iblis ketika diturunkan ke bumi.

Inilah yang disebut oleh Abu Soleh daripada Ibn Abbas.

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.

Terdapat enam pandangan ulama berhubung dengan perkhabaran Allah tentang malaikat dengan kejadian Adam AS:

Pertama: Allah Maha Mengetahui wujudnya pada diri iblis sifat takabbur. Justeru Dia mahu supaya malaikat mengetahuinya dan menzahirkan dalam ilmu-Nya. Seperti riwayat al-Dahak daripada Ibn Abbas dan al-Suddi daripada guru-gurunya.

Kedua: Untuk menguji ketaatan malaikat. Seperti yang dikatakan oleh al-Hasan.

Ketiga: Tatkala diciptakan neraka nescaya takutlah malaikat seraya bertanya: Hai Tuhan Kami, untuk siapakah kamu ciptakan ini? Jawab Allah: Untuk penderhaka kepada-Ku. Lantas mereka takut untuk berlaku maksiat sedangkan mereka tidak mengetahui kewujudan makhluk selain mereka.  Inilah pendapat Ibn Zaid

Keempat: Allah hendak menzahirkan kelemahan malaikat daripada penguasaan ilmu

Kelima: Allah hendak mengagungkan Adam AS dengan menyebutnya sebagai khalifah sebelum wujudnya lagi.

Keenam: Allah hendak memberitahu kepada malaikat yang ciptaannya sebagai penghuni bumi sekalipun penciptaannya di langit. Semua pendapat ini dinyatakan oleh Ibn Jauzi di dalam kitabnya Zad al-Masir.

Inilah kenyataan Allah untuk menjadikan makhluk yang bernama manusia bermula dengan Adam AS memegang tampuk amanah sebagai khalifah Allah di bumi.

Ahli bahasa Arab berpendapat, khalifah ialah siapa yang mengganti yang lain dan mengambil tempatnya. Diwazankan di atas wazan fai’il dengan makna fail (pelaku). Wujudnya “ta’” di belakangnya (khalifah) sebagai tanda mubalaghah. Dinamakan khalifah itu kerana bertanggungjawab menggantikan daripada Allah segala perlaksanaan hukum hakam dan juga arahan-arahan Allah.

Al-Imam al-Mawardi di dalam muqadimah kitabnya al-Ahkam al-Sultaniah mendefinisikan imamah sebagai tajuk atau tempat bagi menggantikan kenabian dalam urusan memelihara agama dan bersiasah dengannya.

Justeru dapat difahami bahawa khalifah ini terpikul kepada Adam AS juga keturunannya dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Di dalam kitab Al-Nukat wa al-Uyun pada khilafah Adam dan zuriatnya, terdapat tiga pandangan:

Pertama: Tatkala penghuni bumi iaitu jin merosakkan bumi dengan maksiat lantas digantikan Adam dan zuriatnya. Inilah pendapat Ibn Abbas.

Kedua: Bahawa dikehendaki kaum yang menggantikan sebagian mereka daripada yang lain pada menegakkan kebenaran dan memakmurkab bumi. Inilah pendapat Hasan al-Basri.

Ketiga: Allah menghendaki menjadikan di bumi khalifah yang menggantikannya dalam melaksanakan hukum. Inilah pendapat Ibn Masu’d.

Sebahagian ulama berkata: Pada perkhabaran Allah kepada malaikat tentang ciptaan Adam dan juga menjadinya khalifah di bumi sebagai isyarat dan pengajaran kepada manusia supaya melaksanakan system syura dalam urusan mereka sebelum melaksanakan satu-satu perancangan. Ini akan membuahkan hasil yang baik.

Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan)?

Persoalan malaikat ini bagi menunjukkan kehairanan dan ta’jub dan ingin tahu bukan sebagai pengingkaran atau bangkangan kepada Allah SWT. Seolah-olah mereka berkata: Bagaimana mungkin Tuhan menciptakan makhluk yang bernama manusia bersifat merosakkan dan membuat bencana di muka bumi di samping berbunuh-bunuhan.

Sebahagian ulama menyatakan bahawa persoalan ini timbul kerana Allah telah ciptakan jin sebelum manusia untuk menghuni dunia tetapi mereka melakukan beraneka maksiat dan penderhakaan kepada Allah.

Hafiz Ibn Kathir berkata: Ucapan malaikat Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) bukan kerana bangkangan terhadap Allah dan bukan juga kerana hasad dengki kepada Bani Adam. Sebaliknya semata-mata persoalan untuk mengetahui hakikat hikmah pada penciptaan tersebut.

Atas dasar inilah persoalan tersebut diajukan lantas mereka menyebut perihal sifat mereka: Padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?

Ulama berkata tasbih dengan makna membersihkan Allah daripada segala yang tidak baik. Seperti riwayat Talhah bin Ubaidillah katanya: Aku telah bertanya Rasulullah SAW tentang tafsiran Subhanallah. Sabda Rasulullah SAW: Iaitu membersihkan Allah SWT dari setiap keburukan.

Asal kalimah tasbih daripada perkataan al-Sabh iaitu berjalan, mengalir dan pergi. Dalam erti kata yang lain, orang yang bertasbih sentiasa berjalan pada menyucikan Allah

Terdapat empat pandangan ulama pada pengertian tasbih:

Pertama: Solat. Inilah pendapat Ibn Masud dan Ibn Abbas.

Kedua: Ucapan Subhanallah. Inilah pendapat Qatadah.

Ketiga: Iaitu membesar dan memuji. Inilah pendapat Abu Soleh.

Keempat: Rendah diri dan perasaan hina kepada Allah. Inilah pendapat Muhammad bin al-Qasim al-Anbari.

Adapun taqdis pula dengan makna mensucikan Allah berlawanan dengan tanjis iaitu menajiskan. Dikatakan bumi muqaddasah iaitu disucikan begitu juga ruh al-Qudus (roh yang suci) iaitu malaikat. Justeru maksud taqdis Allah ialah memuji, mengagung dan mensucikannya daripada apa yang tidak layak dengannya.

Seterusnya jawapan yang diberikan oleh Allah seperti berikut:  Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Ibn Jarir di dalam tafsirnya al-Tabari berkata: Ulama telah khilaf berhubung dengan maksud tafsiran ayat ini samada pengetahuan Allah terhadap iblis, maksiatnya di samping sifat takabbur yang disembunyikannya.

Iaitu Aku Maha Mengetahui daripada segala kemaslahatan yang tersembunyi kepadamu dan aku mempunyai pengetahuan hikmah pada penciptaan khalifah yang kamu tidak mengetahui.

Glosari:

  • Wazan: Timbangan mengikut istilah ulama saraf (Bahasa Arab).
  • Mubalaghah: Melampau, lebih atau utama.
  • Khalifah: Pemerintah.
  • Khilafah: Pemerintahan.

Al-Maghari berkata di dalam tafsirnya, selepas Allah SWT mengkhabarkan kepada malaikat berhubung dengan kedudukan Adam yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi, lantas Allah memerintahkan mereka untuk sujud penghormatan bukan ibadat bagi mengi’tiraf kemuliaan dan perasaan kebersalahan , apa yang mereka kata sebelumnya. Antara  keistimewaan Adam dengan kurniaan ilmu yang banyak, sehingga melemahkan malaikat. Allah menambahan pada ayat-ayat berikut, dengan kemuliaan lain, iaitu arahan kepada sekelian malaikat untuk bersujud padanya, ini menambahkan lagi tanda–tanda kemuliaan dan kelebihan, jenis kemanusiaan iaitu pada asal manusia Adam AS, Ibn Jarir di dalam tafsirnya al–Tabari berkata, seolah-olah peringatan kepada yahudi yang mendiami kota Madinah bersama nabi dikira ke atas mereka banyak nikmat–nikmat dan diberi peringatan sebagaimana yang telah disifatkannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka, kecuali iblis. Ia enggan dan takabur, dan adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir. (al–Baqarah: 34)

Allah menyebut: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat. Iaitu, ingatlah wahai Muhammad, kepada kaummu, ketika kami berkata kepada malaikat. Syeikh Abdul Rahman al–Sa’di berkata dalam tafsirnya Taisir al–Karim, ayat ini mengandungi banyak pengajaran antaranya mengisbatkan kalam Allah. Ibn Jauzi menafsirkan di dalam kitabnya Zad al–Masir, bahawa terdapat dua pendapat tentang malaikat:

  • Semua malaikat. Inilah pendapat al-Suddi daripada guru-gurunya.
  • Mereka segolongan daripada malaikat, seperti riwayat Ibn Abbas, tetapi pendapat yang pertama lagi sahih.

Sujudlah kamu kepada Adam. Iaitu sujud penghormatan dan membesarkan, bukan sujud ibadat. Al–Syaukani di dalam Fath al–Qadir berkata, maksud sujud ialah hina dan rendah diri dan kemuncaknya meletakkan wajah muka pada bumi. Inilah juga pendapat Imam al–Nasafi di dalam tafsirnya yang menaqalkan pendapat jumhur ulama.

Terdapat dua pendapat berhubung dengan sifat sujud mereka kepada Adam:

  • Iaitu seperti sifat sujud solat. Inilah pendapat yang lebih zahir.
  • Iaitu merendahkan kepala seumpama rukuk

Al–Imam al–Fakhru al–Razi di dalam kitabnya Tafsir al–Kabir berkata, telah ijmak sekelian orang Islam, bahawa sujud tersebut bukan sujud ibadat, kerana sujud ibadat selain Allah boleh membawa kufur.

Al–‘Alamah Thahir ‘Asyur melalui tafsirnya al–Tahrir Wa al–Tanwir berkata: Maka adalah sujud merupakan pertama penghormatan yang diterima oleh manusia daripada makhluk alam. Dan disandarkan sujud kepada Adam dengan perkataan “lam” bermaksud “ bagi” menunjukkan bahawa mereka ditaklifkan bersujud dengan zatnya dan dia merupakan asal penunjuk “lam ta’lil” iaitu kerana apabila dikaitkan dengan maksud sujud.

Kemudian beliau menambah pada ayat ini juga dapat dikeluarkan permasaalahan yang cukup menarik tentang penghormatan kepada ilmu dan kelayakan ulama untuk menerima penghormatan dan kemuliaan tersebut kerana tatkala Allah mengajar kepada Adam ilmu yang mana malaikat tidak mempunyainya, menjadikan Adam contoh utama dalam penguasaan penciptaan kajian dan ilmu yang zahir pada manusia selepasnya dan pasti akan zahir penciptaan baru, begitu juga ilmu sehingga binasanya alam ini.

“Maka sujudlah mereka, kecuali iblis”, lantas mereka semua sujud, kecuali iblis. Ulama menyebut, pengecualiaan ini ditafsirkan dengan dua pendapat:

  • Iaitu pengecualian dari jenis yang sama, diatas pendapat ini iblis termasuk di kalangan malaikat, seperti pendapat Ibn Mas’ud dalam satu riwayat dan Ibn Abas kecuali ianya ditukar rupa oleh Allah menjadi syaitan.
  • Ia bukan jenis  malaikat, tetapi jenis jin. Inilah pendapat al–Hasan al–Basri dan al–Zuhri.

Justeru jadilah pengecualiaan sebagai pengecualian terputus. Penulis menyokong pendapat kedua berdasarkan ayat al–Quran yang lain, di dalam surah al–Kahfi: 50 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada–Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang–orang zalim.

Berhubung dengan nama iblis, terdapat dua pandangan ulama, seperti yang dinyatakan oleh al–Imam al–Mawardi di dalam kitabnya al–Nukat Wa al–‘Uyun

  • Ia merupakan nama a’jam (bukan arab), inilah pendapat Abu Ubaidah iaitu Mu’ammar Bin al–Musanna al–Taimi, al–Zajjaj dan Ibn al–Anbari.
  • Diambil dari perkataan iblas, yang bermaksud putus asa seperti riwayat Abi Soleh.
·

Ini kerana, “Ia enggan dan takabur” iaitu menegah daripada apa yang diarahkan kepadanya. Syeikh Rashid Redha, di dalam tafsirnya al–Manar berkata, iblis tidak mematuhi arahan Tuhan dengan merasa besar diri dan mempunyai kelebihan dari manusia. Sifat takabur dan suka menunjuk dengan sifat kesombongan ini, merupakan kesan–kesan daripada perasaan tinggi diri daripada kebenaran. Terdapat “sin” dan “ta’ ” pada permulaan kalimah ini, menunjukkan bahawa takabur bukanlah tabiat iblis, tetapi ia mampu dan bersedia melakukannya. Al–‘Alamah Thahir al–‘Asyur di dalam tafsirnya berkata, perkataan “istikba ” yang bermaksud “amat angkuh” dansombong” kerana “si ” dan  “ta’ ” menunjukkan melampau iaitu melampau dirinya dengan perasaan besar dan megah atau memberi makna “mubalaghah” dengan maksud amat takabur dan amat sombong. Justeru makna kalimah tersebut ialah ia bersifat dengan sifat takabur terhadap Allah, dengan mengingkari untuk sujud kepada Adam tanpa rasa kebersalahan bahkan menguatkan hujah kebatilannya dengan menyatakan kebaikannya kerana diciptakan daripada api sedangkan Adam daripada tanah. Ibn al–Qayim di dalam kitabnya Miftah Dar al –Sa’adah menjawab permasaalahan ini secara panjang lebar, dengan membandingkan dua unsur ini, api dan tanah. Sebenarnya kemuliaan, kebaikan dan kelebihan satu–satu makhluk bukan berdasarkan kepada unsur kejadian tetapi berdasarkan kepada ketaqwaan, keimanan, keilmuan, perhambaan kepada Allah dan ma’rifah sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat dan hadis. Semoga kita selamat daripada sifat takabur, dan terjebak ke dalam godaan iblis. “Dan adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir”. Iaitu jadilah dengan keengganan dan takaburnya daripada golongan kafir, sekira–kira merasa hina arahan Allah dengan bersujud kepada Adam. Syed Qutub melalui tafsirnya Fi Zilal al–Quran berkata: Sekarang nyatalah medan peperangan yang kekal, peperangan di antara ciptaan kejahatan pada iblis dan khalifah Allah di muka bumi, yang berlaku pada dhamir manusia, di mana kemenangan mungkin berpihak kepada yang baik, berdasarkan sejauh mana pegangan manusia terhadap perjanjiannya dengan Tuhan. Sebaliknya  mungkin natijah berubah, di mana kejahatan menguasai tatkala manusia menyerahkan kepada syahwatnya.

Al–Imam al–Syaukani di dalam tafsirnya al–Fath al–Qadir meriwayatkan hadis daripada Anas, sabda Rasulullah SAW, sesungguhnya Allah SWT memerintahkan Adam supaya bersujud, lantas ia sujud, kemudian dikatakan bagi kamu syurga dan sesiapa yang sujud daripada keturunanmu dan diperintahkan iblis supaya bersujud tetapi enggan untuk bersujud, lantas dikatakan bagi kamu neraka dan siapa yang enggan daripada keturunanmu untuk sujud. Semoga Allah menjadikan kita golongan orang yang bersujud kepada–Nya.

Antara nikmat kurniaan Allah kepada Adam, selepas itu ialah dimasukkan sebagai penghuni syurga bersama isterinya Hawa. Ini dijelaskan seperti ayat berikut, firman Allah SWT (Surah al–Baqarah: 35) yang bermaksud: Dan kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.

Allah menegaskan: Dan kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, iaitu diamilah kamu dalam syurga yang kekal bersama isterimu Hawa. Ibn Jarir al–Thabari berkata di dalam tafsirnya bahawa, ayat ini menjadi dalil yang terang di atas kebenaran siapa yang berkata, sesungguhnya iblis dikeluarkan daripada syurga selepas takabur dari sujud kepada Adam, dan juga didiamkan Adam di syurga sebelum iblis di turunkan ke bumi.

Ibn Jauzi dalam kitabnya Zad al–Masir berkata, terdapat dua pendapat di kalangan ulama tentang syurga yang dihuni oleh Nabi Adam:

  • Jannah al-and
  • Jannah al-Khuld. Imam al-Nasafi berkata: Ia disediakan bagi orang yang bertaqwa berdasarkan kepada nukilan yang masyhur kerana lam pada al-Jannah adalah untuk takrif iaitu pengenalan.

Al–Imam al–Fakhru al–Razi di dalam kitabnya al–Tafsir al–Kabir berkata: Ulama telah khilaf tentang syurga yang dinyatakan dalam ayat ini sama ada di bumi atau di langit, dan kalau ditakdirkan di langit adakah ia syurga sebagai tempat balasan pahala, atau syurga al –Khuld atau syurga lain?

Abu al–Qasim al–Bakhi dan Abu Muslim al–Asfahani berpendapat bahawa ia syurga di dunia, dengan menanggung kalimah turun bermaksud berpindah dari satu tempat ke suatu tempat yang lain.

Imam Rashid Ridha melalui tafsirnya al–Manar menaqalkan pendapat Imam Abu Mansur al–Maturidi daripada tafsirnya yang bernama al–Ta’wilat berkata: Kami beri’tiqad bahawa syurga ini merupakan kebun daripada kebun–kebun di mana Adam dan isterinya mendapat nikmat padanya dan tidak wajib ke atas kamu menentukannya serta mengkaji di mana letaknya, inilah Mazhab Salaf dan tiada dalil yang khusus pada menentukan tempat daripada Ahli Sunah dan lainnya.

Al–Syeikh al–Sya’rawi menegaskan bahawa syurga yang didiami Adam selepas kejadiannya bukan merupakan syurga kekal. Beliau berhujah dengan banyak dalil, sama ada berdasarkan dalil naqli atau ‘aqli antaranya ia bukan syurga balasan kerana syurga balasan tidak dimasuki oleh manusia kecuali selepas hisab yang membabitkan pahala.

Penutup

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi. Amin.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *