Home » Langit Terbuka » Hapus amalan ‘silo’ perkasa industri halal negara

Hapus amalan ‘silo’ perkasa industri halal negara

Gambar hiasan

INDUSTRI halal antara pemangkin ekonomi negara berpotensi besar untuk terus berkembang. Industri ini memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia terutama memperluaskan pasaran eksport, meningkatkan pendapatan negara, memajukan sektor perniagaan tempatan, mencipta peluang pekerjaan, mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat serta memperkukuhkan imej negara sebagai hab halal global.

Malaysia diakui sebagai antara negara peneraju utama dalam industri halal global dengan ekosistem perniagaan halal teratur dan diyakini. Industri halal berteraskan makanan dan minuman sahaja dianggarkan bernilai AS$2.1 trilion (RM8.72 trilion), sementara farmaseutikal halal secara kolektif bernilai AS$136 bilion (RM564.74 bilion).

Industri halal ini membantu memacu ekonomi secara global dengan nilai pasaran global produk halal mencecah AS$2.77 trilion setahun, sekali gus memberi kelebihan kepada Malaysia berdaya tahan dan menyumbang pemulihan ekonomi global.

Malaysia turut kekal di tangga teratas buat tahun ke-10 berturut-turut bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023. Penggiat industri halal menjadikan Malaysia sebagai prestasi terbaik global dalam pasaran bernilai AS$3 trilion.

Namun, tidak dinafikan masih ada beberapa kekangan dalam memacu industri halal Malaysia seperti ketidakjelasan garis panduan halal, kekurangan standard efektif dari segi kos serta kekurangan pemahaman umum mengenai amalan halal. Selain itu, ada isu ‘silo’ di antara agensi kerajaan yang boleh mempengaruhi tahap kecekapan dan keseragaman pelaksanaan standard dan amalan halal. Masalah seterusnya dalam industri halal di Malaysia, termasuk penurunan nilai eksport halal tidak dijangka, ketidakpastian ekonomi, serta kekurangan kemampuan pengeluar tempatan memenuhi permintaan global.

Bagi menangani isu berbangkit ini, kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan badan berwajib di negara jiran serta Islam seperti Indonesia, memperbaiki tadbir urus dalam industri halal dan menjalin usaha sama untuk membangunkan industri halal secara bersama-sama.

Tingkat skala pengeluaran produk

Selain itu, usaha perlu dilakukan dengan meningkatkan skala pengeluaran produk halal tempatan, mempercepatkan proses kelulusan pensijilan halal, serta memanfaatkan teknologi maklumat untuk mempersiapkan syarikat tempatan dalam proses kelulusan.

Tidak kurang pentingnya, diplomasi halal adalah inisiatif strategik yang dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penggiat utama dalam industri halal peringkat global.

Langkah ini dijangka dapat menarik lebih banyak pelabur luar ke negara, memperbaiki ekosistem halal negara, meningkatkan daya saing penggiat industri tempatan dan meningkatkan sumbangan industri halal terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga 10.8 peratus menjelang 2030.

Hari ini, Malaysia diiktiraf sebagai peneraju global dalam industri halal, maka bagi meneruskan kejayaan dalam industri halal ini, penting untuk merancakkan lagi ekosistem halal negara.

Menerusi kerjasama dan usaha bersama pada peringkat domestik dan antarabangsa, industri halal di Malaysia memiliki masa depan cerah dan potensi untuk terus berkembang. Negara kini menggerakkan Pelan Besar Industri Halal 2030 (HIMP 2030) bertujuan menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK menjelang 2030.

Menerusi pelbagai inisiatif strategik dan digitalisasi daripada kerajaan serta persatuan industri, industri halal dapat mempersiapkan syarikat tempatan untuk memasuki pasaran global dengan lebih efisien.

Penulis adalah Mahasiswi Sarjana Muda Ekonomi (SumberAlam), Universiti Malaysia Terengganu

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *