Home » Citra Yadim » Henti fitnah gagasan Rahmatan Lil Alamin

Henti fitnah gagasan Rahmatan Lil Alamin

ROMPIN – “Barang baik yang kita bawa, tapi difitnahkan pula, Islam terancam katanya,”.

“Tapi kami di peringkat kerajaan persekutuan tidak peduli, kerja kami ialah martabatkan Islam dengan penuh maruah,” tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf.

Beliau berkata demikian menyentuh mengenai dakwaan pihak kerajaan tidak memartabatkan Islam selain membiarkan kemungkaran berlaku di negara ini.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika merasmikan Karnival Rahmah dan Siaran Langsung Rakaman Forum Perdana Ehwal Islam di Dewan Muadzam Shah, hari ini (22 Ogos).

Hadir sama ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, Pengarah Politeknik Muadzam Shah, Hassan Ismail dan Ketua Pegawai Operasi YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Nik Omar dalam majlis ini turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Sukarelawan Al Rahmah Negeri Pahang.

Sementara itu mengulas lanjut, Mujahid menyeru supaya pihak pihak berkenaan menghentikan tohmahan terhadap gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan.

“Ada yang tambah ungkapan ungkapan yang tidak elok, ada pula yang persendakan ayat Al Quran,”.

“Saya ingin tegaskan di sini, jangan sesekali permainkan ayat Al Quran,” ujarnya.

Katanya lagi, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu amat dikesali sambil menambah pendekatan sedemikian hanya mengundang kebencian dan amat merbahaya kerana ia mengancam perpaduan.

Jelas beliau, negara ini terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama, justeru, sebarang perkara kecil namun sensitif boleh mengancam perpaduan kaum di negara ini.

Tambah Mujahid, apa yang dilakukan melalui gagasan Rahmatan Lil Alamin adalah bertepatan dengan acuan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama.

Karnival Rahmah ini dianjurkan YADIM dengan kerjasama Politeknik Muadzam Shah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Radio Televisyen Malaysia, Kolej Antarabangsa Sains Perubatan PUSRAWI, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan ramai lagi.

Pelbagai acara diatur sebagai pengisian program ini yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos, antaranya ialah Forum Perdana, Town Hall Maqasid Syariah, Program Bicara Dakwah, Bengkel Tajwid, Ziarah Rahmah, Dialog Pimpinan Siswa dan sebagainya.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *