Home » Langit Terbuka » Hentikan pesta arak

Hentikan pesta arak

TPM arah polis halang penganjuran atas sebab keselamatan
BEIJING 26 Sept. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk menghentikan penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017.
Timbalan Perdana Menteri men­jelaskan, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa PDRM.
“Itu bawah kuasa polis. Saya telah arahkan untuk menghentikannya,” katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mustafa Ibrahim.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas tentang sikap penganjur yang masih berdegil untuk mengadakan Better Beer Festival 2017 di lokasi lain setelah permohonan mereka untuk mendapatkan permit melangsungkan pesta itu di ibu negara ditolak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Sementara itu, Mohamad Fuzi memberitahu, PDRM menerima maklumat tentang rancangan pihak tertentu melakukan sera­ngan keganasan semasa pesta yang mencetuskan bantahan orang ramai itu diadakan.
Sehubungan itu, beliau berkata, PDRM memberi perhatian serius terhadap ancaman serangan pengganas tersebut dan sentiasa memantau situasi keselamatan dari semasa ke semasa.
“Kalau perlu bertegas, kita akan bertegas untuk menghalang perkara yang tidak sepatutnya diadakan ini termasuk melibatkan pihak luar yang ingin memasuki negara untuk menganjurkan acara yang tidak bersesuaian.
“Kalau jadi apa-apa nanti, kita juga yang bertanggungjawab,” jelasnya.
Beliau memberitahu, setakat ini, sebanyak 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mempersembahkan bantahan terhadap penganjuran pesta arak itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan keselamatan awam dan berharap penganjur faham kerana mereka telah diberi penjelasan banyak kali,” jelasnya. – UTUSAN
www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *