Home » Langit Terbuka » HFMD: Fokus khidmat nasihat dan latihan

HFMD: Fokus khidmat nasihat dan latihan

Kementerian Kesihatan akan menjalankan pemeriksaan berkaitan kebersihan di taman permainan kanak-kanak, di pusat beli-belah atau pasar raya, selain mengajar langkah mencegah penyakit HFMD kepada semua pengusaha taman permainan kanak kanak

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memfokuskan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada semua pengusaha taman permainan kanak-kanak di pusat beli-belah seluruh negara bagi mencegah penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata inisiatif itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Di samping menjalankan pemeriksaan berkaitan kebersihan di taman permainan kanak-kanak di pusat beli-belah atau pasar raya, kita juga akan mengajar langkah mencegah penyakit HFMD kepada semua pengusaha terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi semasa penyakit HFMD, selepas merasmikan program Deklarasi Kuala Lumpur Zon Bebas Kenderaan ASEAN dan Kempen ‘KL Bebas Asap Rokok di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kesihatan Dan Alam Sekitar, DBKL, Datin Dr Norhayati Shaari.

Sementara itu, katanya, Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM dari semasa ke semasa terus menjalankan Program Pengukuhan Pendidikan Kesihatan Penyakit HFMD di prasekolah.

“Untuk Lembah Klang, kita sudah mula sejak minggu lalu dengan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pengusaha terbabit cara mencegah penyakit HFMD.

“Untuk rekod terdapat kira-kira 5,000 pengusaha prasekolah di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Esok kita akan adakan program sama di dewan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan penyertaan 300 hingga 500 pengusaha setiap program,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, lima langkah pencegahan yang diterangkan kepada pengusaha adalah pencucian tangan, kebersihan diri, saringan, menyahkuman alat permainan dan juga kebersihan persekitaran.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/458117/hfmd-fokus-khidmat-nasihat-dan-latihan

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *