Home » Persuasif » HFMD, perlu panik ?

HFMD, perlu panik ?

Kesedaran tentang amalan kebersihan amat penting bagi menangani jangkitan HFMD

 

Penutupan beberapa buah sekolah di negara ini akibat gejala Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau Hand Foot and Mouth Desease (HFMD) telah mencetuskan kegusaran yang bukan sedikit di kalangan masyarakat. Keadaan ini terutamanya benar kepada ibu bapa yang mempunyai anak anak kecil, yang ditempatkan di taska atau pusat jagaan kanak kanak, mahu pun pada para pelajar di sekolah rendah.

Penyakit yang sama pernah melanda Sarawak pada 1997 yang mengakibatkan 31 kematian daripada 2,628 jangkitan. Setahun kemudian, 78 warga Taiwan terkorban gara gara penyakit ini dan pada tahun 2000 lebih daripada 1,000 kanak-kanak di Singapura telah didiagnos menghidap penyakit yang sama.

Apa itu HFMD ?

HFMD adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Enterovirus seperti Coxsakie A4, Coxsakie A9, Coxsakie A15, Coxsakie A16 dan yang paling merbahaya Enterovirus 71 (EV71). Jangkitan HFMD adalah menerusi sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD.

Kanak kanak, terutamanya di bawah umur 10 tahun adalah lebih terdedah kepada penyakit ini berbanding orang dewasa kerana sistem imuniti badan yang masih belum matang sepenuhnya.

Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, sakit perut, luka (ulser) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki. Ulser di mulut akan menyebabkan kanak kanak yang dijangkiti sukar untuk makan dan minum yang akan boleh menyebabkan dehidrasi.

Jangkitan daripada haiwan ?

Satu daripada salah faham yang kedengaran apabila berbicara tentang HFMD ialah ia terjangkit daripada haiwan. Serangan pada manusia BUKAN disebabkan HFMD yang menjangkiti haiwan ternakan. Ia secara kebetulan berkongsi akronim yang sama iaitu Hoof, Feet and Mout Desease, juga yang juga disebut HFMD.

Berbeza dengan manusia, jangkitan HFMD pada haiwan adalah disebabkan Apthovirus dari keluarga Picornaviridae. Haiwan ternakan seperti lembu, kambing, bebiri, khinzir atau rusa yang terkena jangkitan biasanya akan mengalami simptom seperti air liur pekat meleleh, kudis berselaput di hidung, bibir serta gusi serta luka di lidah.

Ini seterusnya membawa kepada hilang selera makan atau kesukaran untuk meragut rumput atau makan yang akhirnya boleh mengakibatkan maut.

Seperti HMFD manusia, penyakit yang menyerang haiwan juga boleh dirawat.

Satu fakta penting yang perlu diingati ialah HFMD yang menjangkiti haiwan TIDAK boleh menjangkitkan penyakit berkenaan pada manusia, dan manusia yang dijangkiti HFMD juga TIDAK boleh menjangkitkannya pada haiwan.

Perlu panik ?

Kebanyakan kes HFMD adalah terkawal dan merupakan jangkitan yang sederhana. Pesakit biasanya sembuh dengan sendiri selepas 10 ke 12 hari dari jangkitan. Walau bagaimanapun, kes jangkitan akibat EV 71 adalah lebih merbahaya kerana berupaya mengakibatkan keradangan pada otot jantung (Myocarditis), jangkitan pada paru-paru, jangkitan pada otak dan selaputnya(Meningoencephalitis) dan serta boleh mengakibatkan kematian.

Kuarantin

Oleh kerana kaedah jangkitan adalah menerusi fizikal dan/atau udara, adalah penting untuk pesakit yang mempunyai tanda gejala HFMD ini diasingkan untuk mengelakkan jangkitan disebarkan.

Kesedaran tentang amalan kebersihan diri dan persekitaran amat penting dalam mengelakkan jangkitan HFMD, terutamanya di kawasan yang mudah berlaku jangkitan seperti kawasan yang mengandungi ramai kanak kanak contohnya sekolah, taska atau pusat penjagaan kanak kanak.

Sebaik simptom disedari atau dikesan, penjaga atau ibu bapa perlu segera membawa kanak-kanak berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan TIDAK membawa mereka ke tempat awam, sehingga dipastikan benar benar sihat oleh doktor.

Tujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan tidak akan tercapai sekiranya pesakit tidak diasingkan kerana ia akan mewujudkan kemungkinan jangkitan baru. Ini adalah hakikat yang amat perlu disedari dan diamalkan oleh ibu bapa atau penjaga sebaik mendapati anak anak jagaan mereka menghidap HFMD.

Rawatan dan pencegahan

Sehingga kini tiada rawatan khusus bagi jangkitan HFMD selain dari rawatan mengurangkan gejala-gejala, iaitu rawatan bagi penyakit ini lebih kepada rawatan sokongan.

Secara mudah, ia bermaksud melibatkan rawatan yang akan membuatkan pesakit itu selesa ketika mana sedang menghidapi penyakit ini sehinggalah dia sembuh sepenuhnya.

Ais krim boleh mengurangkan sakit pada ulser. Jika anak mempunyai ulser yang teruk, pemberian aiskrim dapat mengurangkan sakit pada ulser malah menggembirakan mereka, kemudiannya pemberian air kosong boleh dilakukan ketika ini.

Amat penting untuk memastikan anak-anak sentiasa terhidrat ketika menghidap penyakit ini. Ini kerana kita tahu terutamanya kanak-kanak akan kurang minum air ketika menghadapi penyakit ini.

Seperkara lagi yang perlu diingati ialah supaya tidak berkongsi barang-barang peribadi seperti tuala, perkakas makanan atau mainan dengan kanak-kanak yang telah dijangkiti. Tanpa sedar, kita dengan mudah boleh menyebarkan penyakit ini kepada yang lain sekiranya barangan peribadi terus dikongsi. Sebaiknya, barangan pesakit disteril atau dibasuh dengan anti septik atau pembasmi kuman.

Ahli keluarga atau penjaga juga perlu mengamalkan tabiat mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin, mencuci najis atau selepas menyentuh pesakit. Malah, kebersihan diri hendaklah diutamakan sebelum berinteraksi dengan pesakit.

Peranan media

Peranan media dilihat penting dalam membantu menyebarkan maklumat dan menanamkan kefahaman berkaitan pencegahan penyakit HFMD. Dengan perkongsian maklumat menerusi media, ia sekaligus membolehkan masyarakat awam mengetahui lebih banyak mengenai gejala ini.

Seperkara yang perlu dimainkan oleh media ialah kebertanggungjawaban untuk tidak memperbesar kisah/berita mengenai penyebaran wabak, walau diakui ia lebih sensasi dan digemari pembaca/penonton.

Tindakan membesarkan cerita ini akan hanya menambah rasa panik di kalangan masyarakat, sekaligus menimbulkan kekalutan yang sebenarnya tidak perlu.

 

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *