Home » Langit Terbuka » Hubungan baik Malaysia-Mesir permudah penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin

Hubungan baik Malaysia-Mesir permudah penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin

Dianggarkan 50 tan barangan bantuan kemanusiaan dengan nilai hampir RM7 juta itu berjaya dikumpul menerusi Ops Ihsan oleh 45 badan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh 24 jam dan penghantaran pertama itu melibatkan keperluan perubatan dan barangan lain sebanyak 20 tan. – Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan baik Malaysia dan Mesir membolehkan bantuan kemanusiaan dari negara ini, dihantar untuk rakyat Palestin.

Beliau berkata perkara itu terbukti, apabila Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi mengotakan janjinya untuk mempermudahkan urusan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

“Dalam pertemuan dengan (Presiden Mesir), sentimennya sangat baik dan saya minta beri keutamaan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

“Alhamdulillah, dia (Abdel Fattah) pegang kepada janji. Malaysia dan pesawat kita sampai antara paling cepat, diberi layanan dan dapat seberangan sempadan… sebab itu hubungan dua hala perlu ditingkat,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, pesawat kargo 9M-WCA yang membawa penghantaran pertama bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia untuk Palestin menerusi Ops Ihsan, telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish di Mesir.

Bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan itu telah diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.

Ops Ihsan digerakkan oleh Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Pertubuhan Ihsan Johor, BeVital dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sebagai koordinator utama, di samping 38 badan bukan kerajaan yang lain.

Anwar berkata isu di Palestin dilihat semakin merunsing dengan tiada petanda yang Israel akan menghentikan serangan di negara itu.

Sehubungan itu, beliau berkata perbincangan dengan pemimpin dunia Arab perlu diadakan segera bagi membolehkan nasib rakyat Palestin terbela.

Anwar berkata perkembangan di dunia barat mengenai konflik Palestin-Israel menunjukkan tanda positif, kerana sebelum ini belum pernah isu di Gaza dibahas secara terbuka.

“Perhimpunan dan unjuk rasa itu besar sekali di Eropah,” katanya serta menegaskan masyarakat dunia perlu menggesa serangan di Palestin dihentikan.

Anwar berkata Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida yang bertemu dengannya ketika mengadakan lawatan ke Malaysia, turut mendukung pendirian untuk serangan di Palestin dihentikan.

“Dia (Rutte) ada maklum dua per tiga (rakyat Belanda) simpati kepada Palestin dan saya juga telah minta sampaikan pandangan Malysia kepada pemimpin negara Eropah,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt, telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *