Home » Langit Terbuka » Iguru Tuntut Perkasa Bahasa Melayu, Tulisan Jawi

Iguru Tuntut Perkasa Bahasa Melayu, Tulisan Jawi

Paling utama, kita perlu memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan Perkara 152.

SEREMBAN – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) cadang Kementerian Pendidikan mewujudkan mata pelajaran Bahasa Melayu standard dan mewajibkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambilnya memperoleh keputusan cemerlang sebagai syarat menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, cadangan itu khusus untuk pelajar dari sekolah swasta Cina dan sekolah di bawah Persatuan Gabungan Guru Sekolah Cina (Jiao Zong) yang tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu mengikut silibus Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, langkah itu perlu sebagai usaha memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Jadi, kita cadangkan subjek Bahasa Melayu standard diwujudkan. Bagi pelajar asing yang ingin menyambung pengajian di IPTA di sini, mereka juga diwajibkan belajar subjek itu dan mengikuti peperiksaan diadakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, i-Guru turut mencadangkan subjek jawi diperkenalkan bukan sahaja di sekolah kebangsaan tetapi juga di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tanpa menidakkan kepentingan mempelajari bahasa lain.

“Bagi saya kedua-duanya penting tanpa menidakkan keperluan pelajar mempelajari bahasa lain.

“Paling utama, kita perlu memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan Perkara 152.

Menurutnya, beberapa cadangan lain turut dikemukakan kepada kementerian itu melalui menterinya, Dr Maszlee Malik dalam pertemuan yang diadakan pihaknya dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan di pejabatnya semalam (kelmarin).

“Kami juga mencadangkan Majlis Permuafakatan Pendidikan Negara diwujudkan melibatkan semua pihak terdiri daripada guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), NGO, pentadbir sekolah, badan swasta peringkat nasional dan negeri bagi membantu mengangkat martabat pendidikan negara

“Selain itu, kami juga berharap Kementerian Pendidikan sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada NGO pendidikan memberikan pandangan demi kebaikan sistem pendidikan negara,” katanya. – SINAR HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *