Home » Naratif Al-Ghazali »  Imam al-Ghazali diasuh ahli sufi

 Imam al-Ghazali diasuh ahli sufi

Oleh : Dr. Alies Anor Abdul

Terdapat dua kemungkinan asal muasal perkataan tersebut, iaitu nama sebuah daerah tempat kelahirannya, iaitu Ghazalah dan sejenis pekerjaan yang ditekuni oleh orang tuanya, iaitu sebagai penenun benang bulu biri-biri (wool) . Pekerjaan utama ayah al-Ghazali selain menenun benang wool, ialah menjual hasil tenunan tersebut di sebuah kedai di pekan kecil Tus. Pekerjaan sebagai penenun benang itu dipanggil  Ghazzal. Bagaimanapun, Abu Hamid mengakui bahawa nama al-Ghazali sebenarnya diambil sempena tempat kelahirannya dan kerana itulah ia dieja dengan satu “z”.[1] Dengan itu, al-Ghazali membawa makna “orang Ghazalah.”

Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450H (1058M) di sebuah kampung bernama Ghazalah. Kampung kecil itu terletak di sebuah pinggir pekan kecil bernama Tus,[2] berhampiran bandar Meshad dalam wilayah Khurasan. Khurasan pada ketika itu merupakan salah sebuah pusat ilmu pengetahuan Islam yang penting di Parsi (sekarang dikenali dengan nama Iran). Al-Ghazali mempunyai seorang saudara lelaki yang dikenali sebagai Ahmad. Ahmad terkenal dengan panggilan Mujahiddin dan juga Abul Futuh, yang kemudiannya menjadi terkenal sebagai seorang pendakwah.[3] Ketika al-Ghazali dilahirkan, kerajaan Dinasti Saljuk baru berusia dua puluh tahun.

Ini bermakna sejak awal lagi al-Ghazali sudah meyaksikan perkembangan awal dinasti itu yang diperintah oleh Taghril-Beg, Alp-Areselan dan Maliksyah, yang berjaya menewaskan Mas’ud dari Ghaznah pada tahun 1040M. Al-Ghazali juga turut mengalami kehadiran pemerintahan Saljuk di Khurasan dalam misi perluasan kuasanya ketika masih beliau berusia remaja.[4]Al-Ghazali berasal dalam keluarga miskin tapi taat beragama. Ayahnya adalah seorang pemintal dan penjual wol sebagai punca pendapatan untuk menyara hidup keluarga. Di sisi lain, ayahnya juga merupakan seorang pengamal tasawuf dan dalam satu sumber dicatatkan bahawa “ayahnya seorang yang mencintai ilmu dan ulama.” Selepas bekerja, dalam keadaan tenang bapanya sentiasa “mengunjungi para fuqaha, pemberi nasihat, duduk bersamanya sehingga apabila ia mendengar nasihat para ulama tersebut ia terkadang menangis dan lebih rendah hati, dan memohon kepada Allah SWT agar dikarunia anak seperti para ulama tersebut.”[5]Doa seorang ayah menjadi kenyataan, bagaimanapun, tidak dapat disaksikan sendiri semasa hayatnya. Ayahnya meninggal al-Ghazali dan adiknya, Ahmad masih kecil.  Sebelum meninggal, ayahnya sempat mewasiatkan kepada salah seorang sahabat baiknya agar dapat mendidik kedua puteranya dengan ilmu pengetahuan agama. Kepada sahabat karibnya, ayah al-Ghazali berpesan:

“Sesungguhnya aku begitu sedih kerana tidak tahu menulis, dan aku ingin memperbaiki apa yang telah berlalu bagiku kepada dua orang anakku ini, maka ajarlah kedua-duanya dan tidak ada halangan ke atasmu pada yang demikian untuk menghabiskan seluruh harta-benda yang telah aku tinggalkan kepada kedua-duanya.”[6]

Setelah kematian ayahnya, al-Ghazali dan Ahmad telah diasuh oleh ahli sufi tersebut sebagaimana diamanahkan. Kedua anak yatim itu diasuh dengan baik sehingga harta yang ditinggalkan itu hampir kehabisan, ahli sufi itu kemudiannya meminta maaf tidak dapat melanjutkan wasiat tersebut. Dicadangkan agar al-Ghazali dan adiknya, Ahmad memasuki sekolah yang disediakan oleh kerajaan atas alasan makan, minum dan kebajikan mereka lebih terjaga. Ahli sufi itu kemudiannya menjelaskan:

“Ketahuilah kalian berdua, saya telah membelanjakan untuk kalian dari harta kalian. Saya seorang fakir dan miskin yang tidak memilik harta. Saya menganjurkan kalian berdua untuk masuk ke madrasah dan belajar seperti mana penuntut ilmu yang lain, sehingga memperoleh mekanan yang dapat membantu kalian berdua.”[7]

Al-Ghazali dan Ahmad kemudiannya bersetuju meneruskan pengajiannya ke sebuah sekolah yang disediakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Nizam ul-Mulk, di Tus. Atas kecintaan Nizam ul-Mulk terhadap ilmu, beliau menubuhkan sekolah dan menyediakan peruntukan bagi menguruskan persekolahan rakyat secara percuma.  Menurut Muhammad Abdulloh Suradi, al-Ghazali dan adiknya Ahmad kemudiannya bersekolah di Tus  dan berguru dengan Imam Ahmad al-Razkani. Kedua beradik itu belajar ilmu fiqah termasuk menghafal al-Qur’an, asas-asas membaca dan menulis diikuti oleh pelajaran tatabahasa Arab dan nahu, matematik dan lain-lain sebagaimana kanak-kanak sebaya.[8]Meskipun dibesarkan dalam kehidupan yang begitu sederhana, al-Ghazali dan Ahmad begitu tekun mempelajari ilmu pengetahuan dan akhirnya kedua mereka muncul sebagai ulama’ dan pendakwah yang besar.

Ahli sejarah sepakat mengatakan al-Ghazali sebenarnya hidup dalam keadaan begitu sederhana sekali sebagai seorang sufi sehingga umurnya berusia 15 tahun  (450-456H). Datuk saudara al-Ghazali, iaitu Abu Hamid al-Ghazali (meninggal 435H/1043M) merupakan seorang ahli Kalam dan pakar undang-undang yang dihormati. Mungkin juga kerana kemasyhuran datuk saudaranya itulah telah memotivasi al-Ghazali dan didorong oleh semangat ayahnya begitu mencinta ilmu pengetahuan serta dijadikan teladan.  Al-Ghazali berkahwin ketika berusia 20 tahun, bagaimanapun tidak terdapat satu pun tokoh yang menulis biografinya yang menyebut nama isterinya. Bagi al-Ghazali, rumah tangga yang dibina itu begitu bahagia sekali. Ketika berumur 53 tahun, iaitu pada 14 Jamadul Akhir 505H (bersamaan 19 Disember 1111M), al-Ghazali telah meninggal dunia . Hasil perkahwinan tersebut, al-Ghazali mempunya tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelakinya, bernama Hamid telah meninggal dunia ketika masih bayi. Pada hari sebelum kematiannya, adik al-Ghazali, iaitu Ahmad menceritakan:

Pada waktu subuh hari Isnin abangku Abu Hamid mengambil wudhu lalu bersembahyang. Kemudian dia berkata, “Bawakan kain kapanku”. Lalu diambil dan dicium lalu diletakkan di mata sambil berkata lagi, “Aku patuh dan taat untuk masuk kepada malaikat.” Kemudian al-Ghazali mengunjurkan kakinya dan menghadap ke kiblat dan meninggal dunia sebelum matahari terbit.”[9]

Imam Al-Ghazali atau nama lengkapnya ialah Zainudin Abu Hamid Muhamad bin Muhamad bin Muhamad bin Ahmad al-Ghazali al-Tusi al-Shafi’e[10]. Versi lainnya menyebut nama lengkap al-Ghazali ialah Syeikh al-Ajal al-Imam al-Zahid, al-Said al-Muwafaq Hujjatul Islam[11]; al-Ummah Abi Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Tusi[12]; dan Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali[13]. Bagaimanapun, al-Ghazali lebih dikenali sebagai Abu Hamid Muhammad al-Ghazali dengan alasan bahawa beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Hamid. Hamid telah meninggal dunia ketika masih bayi, maknanya Abu Hamid bererti bapa kepada Hamid. Namun,  nama ringkas yang terus digunakan kini ialah al-Ghazali.

[1] Lihat, Abdul Salam Yussof. Idea-Idea Pendidikan Berkesan: Al-Ghazali dan Konfusius. Bangi:Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2010. hal.13.

[2] Ada juga yang mengeja naa bandar tersebut sebagai Thawus. Tus merupakan bandar yang kedua terbesar dalam wilayah Khurasan setelah Naisabur. Tus terdiri dari dua kawasan, iaitu al-Thabran dan Nauqan. Kedua-dua kawasan tersebut terdapat lebih seribu buah kampong. Di Tus, terdapat makam al-Imam Ali bin Musa al-Ridha dan makam Harun ar-Rasyid. Pada tahun 617H, tentera Monggol melakukan serangan ke atas Tus, tetapi gagal menguasainya. Lihat, Biografi Imam al-Ghazali dalam Imam al-Ghazali.t.t. Bergaul Seperti Penghuni Syurga. Terjemahan dan edisi Malaysia  dari bahasa Arab, Adabu Shubbah wal Mu’asyarah. K.Lumpur: Synergy Media, 2012. hal. 11.

[3] Lihat, Margareth Smith. Pemikiran dan Doktrin Mistis al-Ghazali. Terjemahan Amrougi M.Ag. Jakarta: Penerbit Riora Cipta, 2000; Zainal Abidin Ahmad. Riwayat Hidup Imam al-Ghazali. Jakarta: Bulan Bintang, 1968; dan Imam al-Dzarabi berkata: “Aku membaca dalam tulisan tangan al-Nawai, dia berkata: Syeikh Taqiyuddin ibnu Shalah ditanya mengapa al-Ghazali dinamakan demikian. Dia menjawab: Orang yang aku percayai menceritakan kepadaku, dari Abu Haram al-Makisi al-adib: Abu  Tsana’ Mahmud al-Fardi menceritakan kepada kami, dia berkata: Tajul Islam Ibnu Khamis menceritakan kepadaku: Al-Ghazali berkata kepadaku, “Orang yang menyebutkan al-Ghazzali (tukang pintal), padahal aku bukanlah al-Ghazali. Tetapi aku adalah al-Ghazali, nisbat kepada sebuah kampong yang bernama Ghazalah.” Lihat “Biografi Pendek Imam al-Ghazali” dalam Imam al-Ghazali.Jadilah Orang Yang Menjiwai Iman dan Hidayah, terjemahan dari Bidayah al-Hidayah oleh Khadijah Rahman dan disemak oleh Dr Mohd Puzhi Usop.Batu Caves, Selangor: al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd., 2012

[4] Lihat Pengantar Penterjemah, Ahmadie Thaha dalam buku  al-Ghazali. Peringatan Bagi Penguasa.Jakarta: Penerbit Hikmah, 2000. hal. xiv.

[5] Dr H Abuddin Nata. op.cit.hal.56

[6] Shaleh Ahmad As-Syami. Biografi Imam al-Ghazali: Hujattul Islam dan Pembaru Kurun ke-5 (450-505Hijrah). Terjemahan Arifin Ladari. K.Lumpur: Jasmin Enterprise, 2007. hal.15.

[7] Dikutip dari Muhammad Aizat Farhan. Mendekati Peribadi Imam-Iman Pewaris Nabi. K.Lumpur: Mulia Terang Sdn. Bhd., 2012.hal. 257

[8] Muhammad Abdulloh Suradi. Lembaran Hidup Ulama’:Warisan Ilmuan Islam. P.Jaya, Selangor: Hijaz Records Publishing, 2009.hal.97.

[9] Seperti dicatatkan oleh Abu Fajr Ibnu al-Jauzi dalam bukunya al-Thabat  ‘Ind al-Mamat. dikutip dari Abdul Salam Yussof. 2010, op.cit. hal. 15.

[10] Lihat, Osman Bakar, Hierarki Ilmu:Membangun Rangka Fikir Islamisasi Ilmu Menurut al-Farabi, al-Ghazali dan Qutb al-Din al-Syirazi. Terjemahan Purwanto. Bandung:Penerbit Mizan, 1997.

[11] Ensiklopedi Islam, Jilid 1, Jakarta: Ichtiar Baru van Hoeve, 1993.hal.25

[12] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Minhajul Abidin, Mesir: Dar al-Ihya li al-Kutubu al-Arabiyah, t.t., hal.2.

[13] Zainudin Syaraf, dikutip dari Dr H Abudin Nata. Perspektif Islam Tentang Pola Perhubungan Guru-Murid: Studi Pemikiran Tasawuf al-Ghazali,  Jakarta: PT Raja Grafindo Persada, 2001,. hal. 55

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *