Home » Langit Terbuka » Ingat Allah hilang tekanan

Ingat Allah hilang tekanan

Dalam Islam, semakin besar tekanan yang dihadapi, maka semakin besarlah pahala dan ganjarannya di sisi Allah SWT. - Foto Arkib

Setiap manusia tidak terlepas daripada mengalami tekanan atau stres kerana ia merupakan asam garam dalam kehidupan. Bezanya hanyalah pada tahap stres yang dialami oleh seseorang itu, sama ada serius atau pun tidak. Sehubungan dengan itu, seseorang yang mengalami stres hendaklah bijak menguruskannya agar kehidupan menjadi lebih aman dan sempurna.

Oleh itu, harus disedari bahawa stres merupakan fitrah dalam kehidupan manusia. Hal ini demikian kerana stres biasanya timbul apabila seseorang menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup. Ujian dalam kehidupan ini merupakan suatu lumrah yang diciptakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155, maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar.”

Firman Allah SWT yang lain dalam surah al-Baqarah ayat 214, maksudnya: “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu (cubaan) seperti yang dialami oleh orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan kesengsaraan (dengan bermacam-macam cubaan) serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman bersamanya, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

Apabila seseorang yang mengalami stres dapat berfikir secara positif, maka ia akan dapat meningkatkan keyakinan diri, tidak berputus asa dan mampu membina keperibadian yang mantap.

Apabila seseorang itu menerima kemunculan stres dengan tenang dan melihatnya sebagai sebahagian daripada kehidupan yang normal, apatah lagi apabila menganggap bahawa sesuatu masalah yang dihadapi itu mungkin mengandungi kebaikan, maka ia akan membantu meringankan tekanan yang dihadapi. Sebaliknya, jika seseorang itu mengeluh dengan merasakan bahawa ‘nasib’ tidak berlaku adil kepadanya, maka jiwanya akan menjadi semakin tertekan. Lebih-lebih lagi, apabila seseorang itu tidak dapat menghadapi dan mengawal sesuatu ujian serta cabaran dengan baik, lalu terjadilah gangguan terhadap emosi dan fizikal.

Bagi umat Islam, mereka ada kekuatan akidah, iaitu keimanan kepada qada dan qadar. Keimanan ini akan mendorong seseorang itu tabah menghadapi segalanya dan tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Mereka juga percaya bahawa sesungguhnya sesuatu itu datang daripada Allah SWT dan akan kembali kepada Allah SWT. Ujian Allah SWT yang dihadapi itu, hendaklah ditangani dengan positif agar ia dapat memberi kebaikan kepada semua.

Dalam Islam, semakin besar tekanan yang dihadapi, maka semakin besarlah pahala dan ganjarannya di sisi Allah SWT. Apa yang penting ialah menghadapinya dengan kesabaran dan keazaman yang tinggi demi mencari ketenangan dan keredaan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97 maksudnya: “Sesiapa yang melakukan amalan soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan kurniakan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa-apa yang telah dilakukan oleh mereka.”

 

Kaedah pengurusan stres

Orang yang menghadapi stres hendaklah mengetahui cara pengurusannya agar tekanan yang ditanggung tidak menjadi parah dan kritikal. Pakar-pakar motivasi serta kaunselor banyak mengetengahkan kaedah dan cara pengurusan stres. Antaranya adalah dengan melakukan aktiviti riadah, melakukan kerja-kerja kebajikan seperti gotong-royong, berjenaka dan sebagainya. Namun, dalam Islam banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stres yang dihadapi.

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan stres ialah membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran. Membaca al-Quran itu sahaja pun sudah boleh mendatangkan ketenangan, apatah lagi apabila cuba memahami, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Quran. Di samping membaca al-Quran, kita hendaklah memperbanyak zikir kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Rad ayat 28, maksudnya: “(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah, hanya dengan zikrullah hati akan menjadi tenang.”

Kaedah yang seterusnya yang boleh dilakukan bagi mengurangkan stres ialah bertafakur. Bertafakur ialah merenung dan memikirkan tentang sesuatu. Orang yang menghadapi stres hendaklah berfikir dan merenung tentang nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada diri. Nikmat Allah SWT amatlah banyak dan tidak terhitung. Walaupun seseorang itu kehilangan nikmat yang banyak dalam sesuatu tragedi, akan tetapi banyak lagi nikmat Allah SWT yang diterimanya dari semasa ke semasa. Pertolongan dan bantuan yang dihulurkan oleh orang lain pun merupakan satu daripada nikmat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 18, maksudnya: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan-Nya kepada kamu), nescaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya.”

Selain itu, seseorang itu hendaklah bertaqarrub kepada Allah SWT bagi mengurangkan stres. Taqarrub ialah usaha yang dilakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan-amalan kebajikan dan amalan soleh. Ia dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya adalah dengan menghidupkan malam hari dengan melakukan qiamullail kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Sajdah ayat 16, maksudnya: “Mereka menjauhkan (diri) mereka daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana menunaikan solat tahajud dan amalan soleh, mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa takut (akan kemurkaan-Nya) dan mereka membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Selain kaedah yang dinyatakan di atas bagi meredakan stres, kita juga haruslah bertawakal kepada Allah SWT dalam menghadapi segala ujian dan dugaan di dunia ini. Sifat tawakal yang disemai dalam diri bukan sahaja akan menghapuskan sikap berputus asa, sebaliknya memberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih baik.

Kesimpulannya, stres merupakan fitrah dalam kehidupan. Tiada sesiapa pun boleh mengelakkan diri daripada tekanan. Sebaliknya, setiap dugaan yang datang merupakan ujian Allah SWT bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah SWT. Setiap manusia akan diuji bagi mengenal pasti mereka yang layak menghuni syurga Allah SWT. Oleh itu, umat Islam mestilah bersedia untuk menghadapi tekanan sama ada dari sudut mental mahupun fizikal. Semoga tekanan, cabaran dan dugaan yang dihadapi itu akan lebih memantapkan hubungan manusia dengan Allah SWT.

Penulis Pensyarah di Universiti Putra Malaysia dan Penulis Buku Rimbunan Islamik Media. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *