Home » Langit Terbuka » Intifada Palestin berjaya

Intifada Palestin berjaya

Rejim Zionis mengalah, keluarkan sekatan keselamatan di Masjid Al-Aqsa

BAITULMAQDIS 27 Julai – Penduduk Palestin bersorak kegembiraan meraikan keme­nangan intifada terbaharu mereka selepas berjaya membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada sekatan rejim Zionis.

Menurut portal berita Al-Jazeera, polis Israel telah mengeluarkan ke­semua peralatan dan sekatan keselamatan yang dipasang di pekara­ngan dan laluan pintu masuk masjid sejak awal pagi semalam.

“Langkah keselamatan telah di­kem­balikan seperti asal sebelum serangan di Haram al-Sharif pada 14 Julai lalu,” kata jurucakap polis, Luba Samri kepada AFP dalam satu kenyataan.

Ribuan penduduk Palestin dilihat berkumpul sambil membunyikan hon kereta ketika pagar keselamatan, palang besi dan tiang untuk pemasangan kamera dialihkan daripada kawasan suci umat Islam itu.

Kelmarin, Israel terpaksa akur de­ngan tuntutan Palestin untuk me­ngeluarkan alat pengesan logam di pintu masuk pekarangan kawa­san tersebut susulan desakan masyarakat antarabangsa dan tunjuk perasaan tanpa henti yang dilakukan sejak minggu lalu.

“Hari ini adalah hari yang penuh dengan kegembiraan dan sambutan kemenangan tetapi pada masa sama kami turut bersedih dengan kehilangan nyawa dan ribuan penduduk Palestin yang cedera dalam perjuangan ini,” kata seorang rakyat Palestin yang berada di depan Masjid Al-Aqsa kepada wartawan Al-Jazeera.

Sementara itu AFP melaporkan seramai 46 penduduk Palestin cedera selepas bertempur dengan tentera Israel semasa mereka memasuki kawasan masjid berkenaan .

Ketegangan di Baitulmaqdis ber­­mula apabila rejim Israel memasang alat pengesan logam dan menghalang lelaki berumur 50 tahun ke bawah daripada menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut susulan kes tikaman yang mengorbankan dua anggota polis Israel.

Tindakan rejim Zionis itu membangkitkan kemarahan penduduk Palestin yang enggan memasuki kawasan pekarangan Masjid Al-Aqsa dan bersolat di kawasan jalan sejak lebih seminggu sebagai tanda bantahan.

Bantahan turut bertukar ganas sehingga menyebabkan tujuh nyawa terkorban manakala ratusan lagi penduduk Palestin turut dila­porkan cedera dalam pertempu­ran dengan pasukan keselamatan Israel.

Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani telah memberi kelulusan kepada penduduk Palestin untuk memasuki kawasan masjid selepas mendapat pengesahan da­ri­pada jawatankuasa teknikal yang mengawal masjid tersebut.

Ribuan penduduk Palestin dilaporkan menunaikan solat zohor pertama sejak dua minggu lalu di masjid berkenaan.

“Kami akan kembali menunaikan solat di dalam kawasan masjid. Angkatan pendudukan Israel telah berusaha selama beberapa dekad untuk menceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa tetapi kita telah memperoleh kemenangan baharu dan menghargai semua telah berkumpul,” kata Pegawai Waqf, Abdel-Azeem Salhab.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu sidang akhbar turut menyuarakan rasa gembira dan menyeru semua rakyatnya untuk menghentikan boikot dan kembali menunaikan solat di dalam masjid tersebut.

Dalam pada itu, rakyat Palestin mengkritik tindakan seorang ahli Parlimen Israel yang mahu melaksanakan hukuman mati kepada ke­luarga rakyat Palestin sebagai membalas dendam terhadap serangan di Tebing Barat yang mengorbankan tiga rakyat Israel.

Dalam video yang disiarkan di akaun Facebook rasminya, anggota Knesset Israel, MK Oren Hazan berkata, beliau akan meruntuhkan rumah penyerang Palestin, Omar al-Abed dan mahu membunuh seluruh keluarganya.

Bekas Menteri Maklumat Palestin, Mustafa Barghouti menyifatkan tindakan Hazan mendedahkan bagaimana sifat perkauman yang mendalam semakin menjadi-jadi di Israel melalui sistem apartheid dan pendudukannya.

Omar kini dirawat di sebuah hospital di Israel selepas cedera ditembak rejim Zionis. www.utusan.com.my

 

 

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Tiga mahasiswa USIM dakwah di New Zealand

SEREMBAN – Tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan perjuangan dakwah penyebaran syiar Islam melalui latihan industri di Masjid Al Noor,

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *