Home » Langit Terbuka » Islam dan Konfusianisme: Malaysia mesti jadi contoh pembentukan era etika global – PM Anwar

Islam dan Konfusianisme: Malaysia mesti jadi contoh pembentukan era etika global – PM Anwar

Anwar berkata, dengan menghayati hikmah Islam dan konfusianisme, dunia boleh berusaha ke arah masa depan yang lebih cerah dari segi moral, dan tidak hanya maju dalam bidang teknologi. - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Malaysia harus berada di hadapan sebagai contoh dunia yang lebih inklusif dengan mempromosikan dialog keharmonian di tengah-tengah kepelbagaian kaum, agama, dan latar belakang di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan menghayati hikmah Islam dan Konfusianisme, dunia boleh berusaha ke arah masa depan yang lebih cerah dari segi moral, dan tidak hanya maju dalam bidang teknologi.
Jelas beliau, Islam dan Konfusianisme masing-masing menekankan usaha mencari kedamaian dalaman dan luaran.
“Malaysia, sebuah negara di mana tamadun utama berinteraksi dalam arus perdana pembangunan sosial dan politik, berdiri dengan kedudukan yang unik untuk menjadi mercu tanda dalam wacana ini.
“Warisan kita yang pelbagai menawarkan perspektif yang unik dan peluang untuk berada di barisan hadapan dalam membentuk era baharu Tadbir Urus Etika Global.
“Paradigma baharu ini, mengambil pengajaran dari peradaban yang kaya, berjanji untuk menjadi lebih inklusif dan mewakili penduduk global,” katanya ketika berucap Merasmikan Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme 2023, di ibu negara, pada Rabu.
Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme dianjurkan oleh Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS) dan Pusat Penyelidikan Asia Tenggara untuk Kemanusiaan (SEARCH), disokong oleh Pejabat Perdana Menteri dan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia.
Konfusianisme merujuk kepada pengajaran falsafah yang diamalkan oleh masyarakat Cina seawal 2,500 tahun dahulu untuk mempertingkatkan moral dan menjaga etika manusia.
Anwar menambah, dialog Islam-Konfusianisme mengenai kepimpinan yang diadakan hari ini merupakan satu langkah penting ke arah memajukan idea komuniti bermusyawarah di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kita meneliti perbincangan yang penting bukan sahaja untuk zaman kita, tetapi untuk masa depan kita.
“Dalam usaha mencari penyelesaian bagi cabaran kontemporari yang dihadapi umat manusia, kita diingatkan tentang peraturan kebijaksanaan pragmatik yang wujud dalam Islam dan Konfusianisme,” katanya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata dunia ketika ini sedang menyaksikan kebangkitan semula politik identiti, yang disifatkan sebagai membimbangkan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *