Home » Persuasif » Islam telah dieksploitasi oleh golongan berkepentingan – Prof Madya Dr Mohamad Faisol

Islam telah dieksploitasi oleh golongan berkepentingan – Prof Madya Dr Mohamad Faisol

RADIKALISME dipengaruhi oleh golongan yang memanipulasikan agama, dan dalam hal ini Islam telah dieksploitasi oleh golongan yang berkepentingan untuk menjalankan keganasan dan aktiviti-aktiviti ekstremis, demikian lontaran pandangan oleh Pensyarah di Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohamad Faisol Keling mengenai kontroversi yang dicetuskan oleh Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi baru-baru ini, sehingga mengundang siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Menurut Prof Madya Dr Mohamad Faisol, kes konflik agama dan mazhab selain Islam seperti konflik agama Hindu vs Buddha di Sri Lanka dan Kristian Katolik vs Protestant di Ireland Utara juga ekstrim.

“Dan adakah agama menyeru kepada keganasan?” soal beliau.

“Sudah tentu jawapannya tidak, tetapi sebaliknya ia dieksploitasi oleh golongan tertentu.”

Beliau berkata, agama Islam menyeru kepada keamanan dan kehidupan harmoni dan menghormati antara satu sama lain.

“Ia gesaan kita untuk menghormati agama lain dan terbukti dalam surah Al Kafirun yang menghormati agama lain.”

Menurut beliau, di Malaysia kerajaan tidak memaksa atau menindas mana-mana kaum untuk menganut Islam sebaliknya diberi kebebasan beragama Perkara 11 tanpa mengganggu Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mohamad Faisol berkata, punca kepada timbulnya tuduhan dan spekulasi permasalahan ini adalah cuba mewujudkan perspektif negatif kepada agama Islam dengan mengaitkan Islam dengan radikalisme.

“Malah ini adalah pendapat yang banyak dipengaruhi oleh sentimen politik bagi mewujudkan ketidakstabilan dan keyakinan terhadap aplikasi Islam di Malaysia.”

Ditanya, adakah benar tuduhan peranan agensi agama pada peringkat Persekutuan yang dikatakan tidak selari dengan Perlembagaan beliau berkata, “Saya tidak fikir agensi agama tidak selari dengan Perlembagaan kerana sehingga kini aplikasi dan pengurusan agama di peringkat agensi dan negeri serta persekutuan adalah tepat.”

“Malah setiap gerak kerja dan pengurusan agama bagi agensi negeri dan persekutuan memiliki jawatankuasa yang meletakkan keutamaan mematuhi Perlembagaan dan mengutamakan keamanan dan keharmonian masyarakat.”

Persoalan mengenai kenapa sekarang ini wujud pihak-pihak yang mahu agensi agama di peringkat persekutuan seperti JAKIM, IKSIM ditutup?

Prof Madya Dr Mohamad Faisol berpendapat, bahawa golongan ini sengaja menimbulkan isu agar dapat mewujudkan kesangsian terhadap peranan dan pengurusan agama di Malaysia.

“Namun, sekiranya terdapat perbezaan pendapat dalam sesuatu isu sekali pun ia tetap diselesaikan dengan pendekatan paling berhemah,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa mana-mana agama boleh diamalkan secara aman dan damai di dalam negara ini selagi mana perbuatan mereka tidak menggugat agama Islam.

“Agama boleh diamalkan secara aman dan damai” ini satu kelonggaran yang diberi kepada agama lain untuk menganuti agama masing tanpa menggugat agama Islam.”

Beliau berkata, perlu ditegaskan, dalam konteks ini ia termasuk menyebarkan agama lain kepada orang Melayu untuk menukar agama (murtad) kerana Perkara 160 Definisi Melayu salah satu cirinya adalah beragama Islam.

Ditanya pendapat Dr Mohamad Faisol mengenai kenyataan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara contoh kepada dunia Islam pada ketika ini menurut kenyataan Prof sebelum ini yang melihat seolah-olah Dunia Islam seluruh dunia sedang “memelayukan pendekatan Islam mereka”.

Tetapi di sini, wujud golongan ekstremis liberal yang menyatakan sebaliknya dan kita dikatakan semakin “diarabisasikan” dan menjadi semakin radikal pula.

Beliau berkata, Malaysia bukan memelayukan pendekatan Islam kepada negara luar tetapi menunjukkan contoh yang baik kepada negara luar dengan aplikasi kesederhanaan dalam agama agar kejayaan Malaysia yang mengamalkan agama Islam di negara ini dengan bertoleransi dengan agama lain dalam keadaan yang harmoni dapat dicontohi oleh negara Arab yang lain. “

Ini kerana terdapat negara Arab yang memiliki komposisi kepelbagaian penganut agama dan menghadapi konflik,” katanya.

Persoalan, apakah desakan dan tuntutan golongan ekstremis liberal seperti yang sebenarnya radikal kerana mereka konsisten mencabar kedaulatan Islam dalam perlembagaan dan autoriti Islam di dalam negara dan negeri

Dr Mohamad Faisol berkata, dalam konteks Malaysia, sepatutnya sebarang ancaman terhadap Perlembagaan negara perlu diambil tindakan oleh pihak yang berkuasa.

Ujar beliau, “Ini kerana ia berpotensi memberikan ancaman kepada meletusnya konflik dan ketidaktenteraman awam apabila hal ehwal agama dieksploitasi oleh golongan tertentu.”

“Aktiviti-aktiviti provokasi dan penghinaan terhadap sesuatu agama termasuk Islam adalah aktiviti yang akan membawa kepada konflik antara kaum di Malaysia.”

Diminta nasihat beliau kepada semua pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan Islam dalam negara dan peranan negara menjaga Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan, Dr Mohamad Faisol berkata, semenjak 1957 sehingga hari ini Malaysia masih berjaya mengekalkan keamanan dan keharmonian yang membolehkan kaum untuk mengamalkan agama masing dengan aman dan harmoni, beribadat, boleh hidup aman dan bebas dengan adat keagamaan masing-masing.

Justeru, usaha menggugat agama Islam dan Perlembagaan negara akan membawa kepada kesan buruk yang boleh meruntuhkan negara dan memberikan kesan buruk kepada rakyat itu sendiri.

“Keamanan dan keharmonian yang selama ini dikecapi akan runtuh dan membawa kepada ketidakstabilan kaum,” katanya. – www.menara.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *