Home » Langit Terbuka » Isu fatwa: PAS Pulau Pinang cabar kerajaan negeri saman

Isu fatwa: PAS Pulau Pinang cabar kerajaan negeri saman

PETALING JAYA 2 Februari – Kerajaan Pulau Pinang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap PAS jika mendapati ia difitnah apabila didakwa campur tangan dalam proses fatwa di negeri itu.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan dakwaan itu benar dan bukannya fitnah yang direka terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP.

“Sebagai bekas ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang (sehingga Disember 2015), saya menegaskan dakwaan wujudnya campur tangan politik terhadap proses pemfatwaan adalah benar dan bukan fitnah yang direka.

“Namun, jika pihak exco agama kerajaan Pulau Pinang tetap berkeras mendakwa dakwaan ini adalah satu fitnah, beliau sepatutnya berani mengambil tindakan undang-undang terhadap PAS Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Semalam Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim menafikan dakwaan Afnan kononnya bekas mufti Datuk Seri Hassan Ahmad tidak disambung kontrak selepas tamat pada 2014 kerana membantah arahan Ketua Menteri Lim Guang Eng yang mengarahkan kelulusan fatwa dibawa ke mesyuarat exco sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Afnan berkata isu campur tangan politik sebenarnya pernah dibincangkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang pada 2015.

“Ketika PAS bersama dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang, isu ini juga pernah dibincangkan di dalam Mesyuarat Badan Perhubungan PAS negeri di mana Mohamad Sabu menjadi pesuruhjaya PAS dan mesyuarat bersetuju supaya Mohamad Sabu sendiri mewakili PAS bagi menyuarakan bantahan melalui saluran dalaman Pakatan Rakyat.

“Perlu difahami isu ini dibangkitkan bukan bertujuan memusuhi pihak berkuasa agama, atau pentadbir kerajaan negeri, bahkan jauh sama sekali untuk bertentangan dengan pihak mufti Pulau Pinang atau para alim ulama di dalam jawatankuasa fatwa negeri Pulau Pinang sekarang,” katanya yang juga setiausaha Pemuda PAS pusat.- https://www.freemalaysiatoday.com

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *