Home » Langit Terbuka » Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) konsisten tolak faham ekstrim, melampau

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) konsisten tolak faham ekstrim, melampau

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten dalam menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau, menurut menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam kenyataan hari ini beliau mengajak semua rakyat untuk terus memperkukuhkan keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) serta berpegang teguh kepada nilai-nilai rahmah dan ihsan.

“​Semua pihak dipohon supaya bertenang dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia untuk membuat siasatan terperinci. Mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian jenayah ini perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pukul 2.45 pagi semalam, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek yang berumur 21 tahun.

Seorang lagi anggota pasukan keselamatan Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan, kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan berada dalam keadaan stabil.

Mohd Na’im turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq.

“Semoga seluruh ahli keluarga bersabar serta dikurnia ketabahan yang tinggi berhadapan dengan ujian berat ini,” katanya. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *