Home » Langit Terbuka » JAIM tahan 29 pengikut Syiah

JAIM tahan 29 pengikut Syiah

MELAKA, 20 Nov. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini menyerbu dua lokasi berbeza dan menahan lebih 29 ahli kumpulan Al-Ansar Imam Mahdi termasuk ketua gerakannya yang disyaki pengikut fahaman Syiah.
Ketua Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, dua lokasi yang diserbu ini dipercayai menjadi tempat perjumpaan kumpulan berkenaan dan dipercayai telah menjalankan aktiviti ini sejak setahun lalu.
“Semua suspek yang ditahan di sebuah premis perniagaan kafe siber melibatkan 21 lelaki dan lapan wanita berusia 19 tahun hingga 59 tahun,” katanya.
Ketua gerakan kumpulan itu berusia 42 tahun yang berasal dari Kedah, ditahan di Umbai manakala, seorang lagi penggerak fahaman yang sama berusia 41 tahun ditahan di Telok Mas.
Dalam serbuan yang sama, pihak JAIM mendapati seramai 15 kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 14 tahun turut bersama kumpulan berkenaan kerana mengikuti ibu bapa masing-masing.
Selain itu, pihak JAIM turut merampas barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam iaitu pegangan Sunnah Wal Jamaah.
“Antaranya ialah buku berunsur Syiah dan Imam Mahdi, kain rentang, bendera melambangkan Syiah, batu karbala, komputer serta keris,” katanya.
Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 63 atas kesalahan melanggar Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – https://www.ismaweb.net/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *