Home » Langit Terbuka » Jakarta bergelora?

Jakarta bergelora?

Polis, tentera dikerah hadapi bantahan hina Islam

JAKARTA 3 Nov. – Kira-kira 18,000 anggota polis dan tentera dikerah untuk bersiap sedia menjelang tunjuk perasaan besar-besaran yang dijangka diadakan di tengah-tengah ibu negara Indonesia esok.

Tunjuk perasaan itu dibuat susulan bantahan terhadap gabenor Jakarta, Basuki Tjahja Purnama atau lebih dikenali sebagai ‘Ahok’ yang didakwa menghina al-Quran.

Ahok yang juga penganut Kristian berketurunan Cina didakwa mengeluarkan ken­yataan berbaur hasutan agama selepas mengatakan musuh politiknya menipu pengundi apabila ‘menyerang’ beliau dengan menggunakan ayat-ayat suci itu.

Menurut polis, berpuluh-puluh akaun media sosial memaparkan imej serta kenyataan berbentuk provokatif terhadap Ahok selepas beberapa buah pertubuhan Islam Indonesia mendakwa pemimpin itu mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang menghina Islam.

Ekoran itu, Ahok dilaporkan menerima pelbagai kecaman termasuk ugutan bunuh khususnya daripada golongan ekstremis Islam di sana meskipun telah mengeluarkan kenyataan maaf berhubung isu terbabit.

“Susulan dakwaan itu juga, kami melihat banyak kenyataan berbaur perkauman tersebar di internet dan kebanyakan yang terlibat dengan penyebaran ini dikenal pasti sebagai anti-Cina,” kata jurucakap polis Jakarta, Awi Setiyono.

Kaum Cina hanya meliputi kira-kira satu peratus daripada keseluruhan 250 juta penduduk negara itu yang majoritinya beragama Islam.

Sementara itu, seorang pemimpin agama yang turut serta dalam tunjuk perasaan anjuran Barisan Pertahanan Islam (FPI) Indonesia, menegaskan bahawa protes tersebut dijalankan dalam keadaan yang aman.

“Ini (tunjuk perasaan) bukan membabitkan tunjuk pe­rasaan anti-Kristian atau anti-Cina,” kata Ketua FPI, Habib Rizieq.

Seorang aktivis hak asasi yang dikenali sebagai Harsono pula berkata, kes Ahok akan dilabel sebagai kes menghina agama paling berprofil tinggi dalam sejarah Indonesia jika dibawa ke muka pengadilan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Menteri Komunikasi Indonesia, Rudiantara dipetik sebagai berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk membanteras ‘ucapan-ucapan berbentuk kebencian’ di internet. – REUTERS

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *