Home » Langit Terbuka » JAKIM akan panggil Ustaz Don beri penjelasan

JAKIM akan panggil Ustaz Don beri penjelasan

Don Daniyal Don Biyajid

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil Ustaz Don Daniyal Don Biyajid bagi mendapatkan perincian berhubung kontroversi dikaitkan dengan penceramah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pertemuan itu tidak perlu diadakan secara serius, sebaliknya berkonsepkan santai bagi merungkai permasalahan berkenaan.

Beliau menasihati agamawan supaya berhati-hati dalam menyampaikan ceramah termasuk menyemak hadis bagi memastikan kesahihan.

Di samping itu, katanya, umat Islam perlu ada sifat tawaduk dan rendah diri untuk menerima dan mengaku jika melakukan kesilapan tidak kira sebesar mana kesilapan dilakukan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Perundangan Syariah anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Ustaz Don direhatkan daripada bersiaran dalam program Salam Baitullah selepas Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat keputusan itu.

Penceramah selebriti itu direhatkan susulan pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW hingga mengundang pelbagai kritikan daripada beberapa pihak.

Mohd Na’im berkata, terdapat jawatankuasa tauliah di setiap negeri yang memberikan tauliah kepada penceramah dan tidak semua penceramah diberikan tauliah.

Katanya, dalam konteks Malaysia MADANI sememangnya kerajaan mahu lahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan dan di sini peranan agamawan diperlukan dalam membentuk masyarakat.

“Penganjur juga boleh merujuk kepada Jabatan Mufti negeri untuk menentukan sama ada penceramah memperoleh tauliah atau tidak.

“Tanpa tauliah mungkin boleh menimbulkan perkara lain yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Artikel Berkaitan

RUU Mufti bukan sesuatu yang baru dan radikal

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 bukanlah akta atau undang-undang baharu dan radikal. Mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *