Home » Langit Terbuka » JAKIM berlapang dada dengan teguran, kritikan

JAKIM berlapang dada dengan teguran, kritikan

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa berlapang dada terhadap teguran dan kritikan sekiranya mendapati agensi berkenaan terpesong daripada landasan Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pasak dan teras peranan JAKIM sentiasa dipantau Majlis Raja-Raja Melayu serta dibantu nasihat mufti.

Selain itu, katanya, Parlimen sebagai badan perundangan negara boleh menyuarakan teguran sekiranya mendapati JAKIM berada di landasan tidak benar.

“Selaras Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, iaitu sumpah Yang Dipertuan Agong sentiasa memelihara Islam cukup memberi keyakinan agama diterajui dan dipelihara Majlis Raja-Raja Melayu.

“Oleh itu, peranan JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) akan sentiasa membantu Majlis Raja-Raja Melayu dalam memastikan usaha dirangka kerajaan sentiasa seiring panduan syarak, Ahli Sunnah Wal Jamaah serta al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini mengenai dakwaan segelintir pihak bahawa fahamam Islam dalam JAKIM tidak berada pada landasan betul, selain usaha menangani penularan fahaman liberal.

Asyraf berkata, penguatkuasaan undang-undang berkaitan akidah terletak pada bidang kuasa kerajaan negeri, namun JAKIM sentiasa menjalin hubungan akrab dengan MAIN.

“Kita menyelas bukan sekadar usaha penguatkuasaan, tetapi program pencerahan supaya apa pendekatan Islam dalam kerangka Malaysia seperti wasatiyyah atau kesederhanaan.

“Kerangka ini tidak hanya melihat konteks ekstremisme bersifat radikal, tetapi mencakupi ekstremisme bersifat liberal yang cuba mencabut identiti keagamaan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) berhubung kesediaan JAKIM menambah peruntukan khas untuk mengendalikan sekolah agama rakyat, Asyraf menjelaskan, ia sentiasa ditambah saban tahun.

Selain itu, katanya, kerajaan menerusi kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sentiasa cakna terhadap perkembangan sekolah agama rakyat dan pusat tahfiz di negara ini.

“Elaun imam dan guru kafa dinaikkan tiga kali, malah peruntukan ini disalurkan terus kepada JAIN untuk diselenggarakan tanpa melalui JAKIM bagi mempercepatkan sistem perolehan kewangan.

“Berdasarkan sejarah, pendekatan sedemikian tidak pernah berlaku di zaman Perdana Menteri sebelum ini, sekali gus mencerminkan perhatian dan kecaknaan kerajaan terhadap pembangunan Islam tidak pernah luntur tetapi sentiasa diperkasakan.

“Oleh itu, kalau ada suara sumbang bahawa JAKIM tidak berpelembagaan atau tiada locus standi untuk bercakap soal Islam kerana ia kuasa kerajaan negeri, saya rasa mereka buta sejarah dan jahil mengenai penubuhan agensi dinaungi Majlis Raja-Raja Melayu ini.

“Ini kerana JAKIM mendapat punca kuasa daripada mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-81 pada 17 Oktober 1968 sehingga tertubuhnya Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *