Home » Langit Terbuka » JAKIM tempatkan kader di MCMC bantu pantau hantaran ajaran sesat

JAKIM tempatkan kader di MCMC bantu pantau hantaran ajaran sesat

Foto The Sun Daily
Foto The Sun Daily

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menempatkan seorang kader atau pegawai hal ehwal agama Islam di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), bagi membantu suruhanjaya itu memantau sebarang bentuk hantaran berkaitan ajaran sesat di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata urusan penempatan kader itu, akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas pihaknya mengenal pasti kakitangan yang sesuai, untuk memainkan peranan berkenaan.

“Setakat ini kita (JAKIM) tidak ada lagi pegawai agama di MCMC. Jadi saya minta JAKIM hantar seorang kader, sebagai pakar rujuk.

“Bila berlaku hantaran berkaitan ajaran sesat yang sudah tentu akan tular, saya harap kader dapat ambil tindakan segera,” katanya penempatan kader di MCMC itu berupaya mencegah hantaran berkaitan ajaran sesat daripada terus tular.

Beliau berkata, langkah berkenaan diambil susulan beberapa video tular di media sosial baru-baru ini, membabitkan beberapa individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran sesat Suhaini Muhammad atau SiHulk.

Mohd Na’im berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Mufti Besar India dan juga Pengasas Jamia Markaz, Kerala, India Al-Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan Penasihat Presiden Mesir Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari, di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020, telah memutuskan bahawa fahaman SiHulk sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, JAKIM telah diarahkan untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan MCMC, untuk membanteras ajaran sesat itu dan JAKIM juga akan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan SiHulk kepada Jabatan Agama Islam Negeri, antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan.

Mengenai sesi kunjungan hormat itu, Mohd Na’im berkata, antara inti pati perbincangan ialah berkaitan usaha memperkukuh hubungan antara Malaysia, India dan Mesir, khususnya dalam aspek pendidikan Islam.

“Seperti mana kita sedia maklum Syeikh Abu Bakar adalah ulama terkenal di India, manakala Sheikh Dr Usamah pula pakar dalam pengajian Sahih Al-Bukhari,” katanya.

Mohd Na’im berkata, kedua-dua tokoh itu akan menjadi tetamu utama pada Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Pelancaran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan, yang akan diadakan di Masjid Putra, di sini esok.– BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *