Home » Persuasif » ‘Jangan hulur, jangan kawtim, jangan settle’

‘Jangan hulur, jangan kawtim, jangan settle’

Oleh ZAKARIA STAPA

Dato’ Zakaria Stapa adalah Mantan Profesor, Fakulti Pengajian Islam dan Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysian (UKM)

Rasuah merupakan satu penyakit sosial yang amat berbahaya kepada kelangsungan hidup sejahtera dan adil dalam masyarakat. Bukan sahaja boleh meruntuhkan sesebuah negara, malahan rasuah juga boleh meruntuhkan sesebuah tamadun, sekiranya dibiarkan merebak tanpa sebarang usaha pembendungan.

Istilah rasuah, berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), adalah merujuk kepada empat kesalahan yang utama iaitu:  Pertama, meminta/menerima rasuah; kedua, menawar/memberi suapan; ketiga, mengemukakan tuntutan palsu dan, keempat, menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam. Mana-mana perbuatan yang termasuk ke dalam empat ciri utama ini adalah tergolong ke dalam istilah rasuah yang boleh diambil tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dan istilah “suapan” itu amat luas sekali serta boleh merangkumi pelbagai perkara atau faedah yang ditawar atau diterima seumpama wang ringgit, hadiah-hadiah tertentu, termasuk pelancongan, seks dan sebagainya.

Dalam konteks semasa di Malaysia, sebagaimana yang diketahui umum, perbuatan rasuah adalah amat lumrah sekali kebelakangan ini. Boleh dikatakan selang satu atau dua hari, kalaupun tidak setiap hari, media massa tempatan sama ada cetak mahupun elektronik memaparkan kes tangkapan rasuah. Kes ini dilakukan oleh pelbagai pihak dalam masyarakat, termasuk golongan yang diberi kuasa dalam sektor awam, swasta, politik, ahli perniagaan mahupun orang perseorangan yang berkepentingan. Lebih malang lagi, ia juga dilakukan oleh orang agama dan pihak yang diberi kuasa untuk melakukan pencegahan seperti pihak polis dan penguat kuasa yang lain seperti Kastam, Jabatan Pengankutan Jalan, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain.  Dalam kata lain, kelihatannya dalam kes rasuah semasa ini, asalkan saja ada peluang dan kemudahan, maka perbuatan rasuah akan dilakukan, tanpa boleh diambil kira siapa dan apa statusnya dalam masyarakat.

 

Pendedahan Di Media

Senario seumpama ini tentu sekali amat membimbangkan.  Ia merupakan satu fenomena sosial yang amat negatif dan sekiranya tidak ditangani secara bijaksana, ia boleh meruntuhkan negara secara keseluruhan. Di samping tangkapan-tangkapan yang begitu kerap, persoalan rasuah semasa di Malaysia ini juga menimbulkan rasa bimbang yang amat sangat berdasarkan catatan-catatan berikut:

  1. Laporan Khas Eksklusif akhbar Mingguan Malaysia 15 Januari 2017 mendedahkan bahawa sebahagian pegawai kanan awam menggunakan kedudukan untuk meminta rasuah secara terbuka, sehingga dimaklumkan oleh pihak kontraktor yang terlibat dengan perolehan projek tertentu bahawa “mereka yang minta, kami tidak pernah tawarkan”. Selaras dengan ini, pihak SPRM sendiri memandang serius rasuah yang melibatkan penjawat awam dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat. Malahan menurut Datuk Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, tahap integriti dalam kalangan penjawat awam semakin serius berbanding 10 tahun lalu. Berdasarkan statistik SPRM, sepanjang tahun 2016 sehingga Februari 2017, sebanyak 665 kertas siasatan dibuka melibatkan penjawat awam di negara ini. Sehubungan dengan ini juga ialah apa yang dijelaskan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bahawa perolehan awam adalah antara urusan kerajaan paling terdedah kepada rasuah dan merupakan satu masalah kompleks yang meliputi pelbagai bentuk aktiviti menyalahi peraturan.
  2. Laporan Khas Eksklusif akhbar Mingguan Malaysia 19 Mac 2017 pula mendedahkan perbuatan kalangan penguat kuasa di pelabuhan atau pintu masuk ke negara ini sama ada melalui laluan laut atau darat. Akibat daripada perbuatan yang dianggap menggunakan konsep ‘strategi lautan biru’ itu, kerajaan terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit setiap bulan”. Anggota agensi penguat kuasa berkaitan berkerjasama dengan sindiket penyeludupan dengan cara memalsukan dokumen setelah disogok rasuah oleh pihak sindiket.
  3. Majoriti pemimpin politik di negara ini adalah terbabit dengan rasuah. Hal ini dinyatakan oleh Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar selepas menjadi panel dalam “Wacana Rasuah dan Penyelewengan: Di Mana Maruah Kita”, yang berlangsung di Dewan Karangkraf, Shah Alam pada 17 Mei 2017.  Menurut beliau, kalangan pemimpin politik yang terlibat rasuah itu adalah disebabkan mereka lebih mementingkan kuasa dan wang. Sehubungan dengan hal inilah maka Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad memberi amaran kepada kalangan ahli politik yang terlibat dengan rasuah supaya menunggu masa sahaja untuk diambil tindakan.
  4. Penglibatan dan kesanggupan golongan muda untuk melakukan perbuatan rasuah merupakan satu lagi aspek yang amat membimbangkan. Berkait dengan perihal ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan tentang peningkatan ketara golongan muda dalam rasuah sejak tiga tahun mutakhir ini iaitu dari tahun 2013 hingga ke tahun 2016. Dalam ucapan di majlis penutup Hari Antirasuah peringkat negeri Sarawak pada 9 Disember 2016, beliau menjelaskan bahawa kira-kira 96 peratus mereka yang ditahan dalam kes rasuah adalah berusia bawah 40 tahun. Hal ini berkait langsung dengan gaya hidup generasi Y yang selalu terdorong kepada cara mudah untuk mendapatkan kemewahan. Selaras dengan fakta ini adalah dapatan kajian SPRM (termuat dalam akhbar The Malay Mail 20 April 2017) mendedahkan bahawa peratusan pelajar IPT yang sanggup melakukan rasuah adalah agak ketara peningkatannya, iaitu dari 11.3 peratus pada tahun  2014 dan 10.7 peratus pada tahun 2015 meningkat kepada 16 peratus pada tahun 2016.
  5. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index – CPI) bagi tahun 2016, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian 26 Januari 2017, menunjukkan kemerosotan daripada segi ranking, iaitu jatuh ke tempat ke-55 daripada 176 negara berbanding 54, tahun 2015. Skor Malaysia pula menyusut daripada 50 mata atau markah bagi tahun 2015 kepada 49 mata bagi tahun 2016, yang sekali gus mencatatkan pencapian terendah dalam tempoh empat tahun. Pencapian tertinggi Malaysia menerusi CPI dalam tempoh lima tahun lalu adalah pada tahun 2012, dengan perolehan skor 52 daripada 100 markah. Berdasarkan CPI skor 0 bermakna “sangat rasuah”, manakala 100 dianggap sangat bersih.

 

Tindakan Mencegah

Catatan-catatan di atas memberikan gambaran suasana rasuah semasa di Malaysia adalah berada pada tahap yang cukup kritikal. Semua senario ini menjadi sesuatu yang amat mengerunkan sekali, khususnya apabila diambil kira penglibatan kumpulan-kumpulan strategik dalam negara seperti penjawat awam, penguat kuasa, ahli politik serta golongan muda yang menjadi harapan untuk membawa kesejahteraan negara di masa depan. Hal ini tidak boleh sekali-kali dibiarkan berterusan kerana ia akan membawa negara ke lembah kehancuran. Suatu tindakan drastik dan terancang perlu segera diambil bagi menyelamatkan keadaan.

Apa yang sedang dilakukan sekarang oleh pihak SPRM dengan operasi tangkapan besar-besaran dan tidakan pencegahan tentunya boleh menjadi salah satu wahana yang cukup baik.  Di samping itu, SPRM juga telah melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) bagi mencetus perubahan agresif dan drastik dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan meletakkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara. Selain Gerah, SRPM juga akan secara selari melancarkan satu lagi kempen yang dinamakan 3J, iatu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle’, yang akan disebar luas oleh SPRM dengan kerjasama erat pihak agensi media.

Semua ini pastinya merupakan aktiviti bermakna ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti tinggi. Di samping itu, Institut Integriti Malaysia juga memainkan peranan aktif menerusi misalnya Pelan Integriti Nasional (PIN) yang melaksanakan pelbagi aktiviti ke arah melahirkan masyarakat berintegriti. Namun, atas asas ramai yang terlibat dalam rasuah adalah terdiri daripada kalangan umat Islam, justeru, pendekatan Islam yang mempunyai kekuatan dalaman diri yang bersifat kawalan metafizik berbentuk keimanan mesti dilaksanakan secara sungguh-sungguh untuk membentuk benteng dalaman yang kukuh.

Ditinjau daripada perspektif Islam, rasuah adalah satu perbuatan haram dan amat ditegah. Ini kerana ia mencabar dan menidakkan prinsip keadilan yang menjadi pegangan asas dalam Islam. Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih menyebut [maksudnya]: “Pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Dalam pandangan Islam, semua perkara yang tercatat di atas menjadi sedemikian adalah gambaran daripada pembinaan sahsiah dan jati diri keislaman yang tidak siap. Negara kelihatan terlalu terkehadapan dalam pembinaan atau pembangunan fizikal, namun pembangunan kerohanian kelihatan terabai dan ketinggalan di belakang. Pembangunan kerohanian tercicir dan ternyata tidak berupaya mengikuti rentak pembangunan kebendaan dengan segala tuntutannya yang berjalan terlalu laju. Hasilnya, manusia Muslim menjadi hilang keseimbangan dalam hidup, terhuyung-hayang tanpa pedoman.

Berdasarkan perspektif Islam pembangunan kerohanian perlu dimulai dengan penyemaian benih akidah atau Rukun Iman dalam setiap diri Muslim. Benih akidah yang disemai itu, menurut Imam al-Ghazali seperti terhurai dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, mesti sentiasa dibaja dan disirami secara teratur dan bersungguh-sungguh. Pendidikan akidah semasa di Malaysia, daripada tadika hingga ke universiti, adalah tidak begitu berkesan kerana ia tidak dibaja dan sirami dengan baik, sekalipun sememangnya benih akidah sudah disemai. Bajaan dan siraman itu sebenarnya ialah suasana yang kondusif yang boleh mengembang dan menyuburkan penghayatan akidah.  Ia meliputi kerja-kerja ibadah khusus dan umum yang ditunai secara sempurna, pembacaan secara tadabbur dan tafakkur isi kandungan al-Quran dan al-Hadis serta literatur lain yang berupa pengembangan tema-tema yang terdapat dalam al-Quran dan al-Hadis, di samping sokongan kehidupan kemasyarakatan, terutamanya kekeluargaan serta institusi-institusi penting dalam masyarakat, yang boleh memperkukuhkan penghayatan akidah.

Dengan itu, sebuah kurikulum serta ko-kurikulum pendidikan akidah yang komprehensif mestilah digubal segera dan mesti digunakan dalam peringkat pendidikan formal dan tidak formal bagi melahirkan sahsiah serta jati diri Muslim yang utuh dan tahan uji dalam mendepani arus kehidupan kebendaan semasa yang amat rencam sekali tuntutan dan keperluannya. Hanya dengan pelaksanaan secara serius semua perkara ini negara akan terbendung, kalaupun tidak seratus peratus terselamat, daripada petaka rasuah. – MAJALAH DAKWAH

 

 

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *