Home » Langit Terbuka » Jangan politikkan ibadah haji – Raja Salman

Jangan politikkan ibadah haji – Raja Salman

MEKAH 14 Sept. – Kerajaan Arab Saudi tidak akan teragak-agak menolak sebarang usaha untuk mempolitikkan ibadah haji ekoran ketegangan yang tercetus antara Riyadh dan Teheran sebelum ini.

Amaran itu disuarakan peme­rintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz dalam satu ucapan ringkas kepada golongan kenamaan antarabangsa semalam.

Buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, seramai 64,000 jemaah dari Iran tidak menunaikan ibadah itu di Arab Saudi kali ini selepas kedua-dua buah negara gagal mencapai kata sepakat berhubung isu keselamatan dan logistik.

Ekoran itu, Teheran dilaporkan menuduh Riyadh ‘menghalang jalan utama’ jemaah mereka untuk melaksanakan ibadah tersebut.

Isu itu tercetus selepas insiden rempuhan haji pada tahun lepas yang menyebabkan kira-kira 2,300 jemaah terbunuh, kebanyakannya berasal dari Iran.

‘Perang dingin’ antara dua negara semakin menjadi-jadi selepas pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei mempertikaikan hak Arab Saudi untuk menguruskan tempat suci bagi umat Islam itu beberapa hari sebelum ibadah haji tahun ini bermula.

Dalam pada itu, lebih 1.8 juta jemaah dari seluruh dunia akan menyempurnakan ibadah tahunan itu esok.

Menurut Raja Salman, melayani tetamu Allah adalah penghormatan bagi mereka.

“Allah telah memerintahkan supaya ibadah ini dilakukan oleh semua umat Islam tanpa mengira bangsa, warna kulit dan sebagai­nya,” titah baginda.

Arab Saudi bagaimanapun dilaporkan masih mengalu-alukan jemaah haji Iran sekiranya mereka datang dari negara lain. – AFP

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *