Home » Analitis » Jawatan bukan satu kemasyhuran

Jawatan bukan satu kemasyhuran

Hari ini sudah masuk seminggu sejak mengangkat sumpah selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Sejujurnya, perasaan saya bercampur baur antara terkejut dan berat hati menerima pelantikan yang diamanahkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Malah terdetik juga di hati sama ada wajarkah diri ini menerima pelantikan sebesar ini terutamanya dalam suasana politik negara yang amat mencabar masa kini.

Sesungguhnya pelantikan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang berat perlu saya pikul. Ia bukanlah semata-mata kemasyhuran (tasyrif) seperti yang dilihat oleh kebanyakan orang, bahkan ia adalah suatu beban tanggungjawab (taklif) yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Inilah pegangan saya dalam hal ini, sebagaimana kata-kata pepatah Arab yang masyhur: “Sesiapa yang bertambah kemasyhurannya, maka bertambahlah pula beban tanggungjawabnya.”

Kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan mereka yang melihat hanya semata-mata kepada jawatan dan pangkat bahawa jawatan dan pangkat itu tidak lebih daripada amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Daripada Abu Zar al-Ghifari, beliau berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, kenapa tidak engkau meletakkan aku di mana-mana jawatan?”.

Kemudian Baginda memukul bahuku dengan tangannya dan kemudiannya Baginda bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu adalah seorang yang lemah (dalam memegang memikul tugas dan jawatan). Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah, dan sesungguhnya ia adalah menjadi punca kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan tuntutan jawatan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya itu.”

Dalam hal ini juga, teringat penulis kepada kata-kata Saidina Abu Bakar setelah dipilih menjadi Khalifah: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dilantik untuk memimpin kamu semua sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku melakukan kebaikan, maka bantulah aku. Manakala jika aku melakukan keburukan, maka perbetulkanlah aku.”

Begitu juga dengan kata-kata Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ketika beliau dilantik menjadi Khalifah: “Aku bukanlah orang yang menjatuhkan hukum, tetapi aku adalah pelaksana (kepada tugas dan amanah yang diberikan kepadaku), dan aku bukanlah orang yang pertama memulakan perkara ini (dilantik menjadi pemimpin), tetapi aku adalah orang yang mengikuti (menyambung perjuangan orang-orang terdahulu). Ketahuilah bahawa aku bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu, tetapi aku adalah salah daripada kamu (yang sama seperti kamu), kecuali sesungguhnya Allah telah menjadikan beban tanggungjawabku lebih berat berbanding kamu semua.”

Bahkan, jika dilihat kepada sejarah salafus soleh yang terdahulu, jawatan bukanlah sesuatu yang paling penting bagi mereka. Lihatlah kepada sejarah pedang Allah (saifullah) iaitu Khalid al-Walid yang dinaikkan pangkat menjadi panglima perang pada zaman Khalifah Abu Bakar. Beliau terlibat dan memimpin banyak peperangan pada zaman Khalifah Abu Bakar seperti perang memerangi Musailamah al-Kazzab, perang Yarmuk, perang memerangi Rom Timur (Byzantine) dan empayar Parsi, dan berjaya menawan Iraq serta berjaya dalam siri-siri peperangan di Syam.

Setelah Saidina Umar dilantik menjadi Khalifah, beliau memecat Khalid al-Walid dari jawatan tersebut dan menggantikannya dengan Abu ‘Ubaidah. Namun Khalid al-Walid tetap berjuang seperti biasa walaupun sebagai seorang tentera biasa, malah tetap taat dan patuh kepada arahan Abu ‘Ubaidah sebagai panglima perang baharu dan arahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Mengambil semangat dan iktibar dari pelbagai sejarah silam ini, saya dengan rendah hati turut berasakan bahawa saya bukanlah orang yang terbaik untuk memegang jawatan ini. Hakikatnya di luar sana terdapat ramai mereka yang lebih layak untuk memegang jawatan ini. Apalah sangat dengan sedikit ilmu, kemahiran dan pengalaman yang Allah kurniakan kepada saya berbanding mereka di luar sana yang lebih berilmu, berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang agama.

Namun, atas dasar amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya, tugas sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini perlu saya laksanakan dengan sebaik mungkin. Mungkin inilah ruang dan peluang yang Allah kurniakan kepada saya untuk merealisasikan segala idealisme dalam usaha memartabatkan agama Islam di negara yang tercinta ini.

Moga-moga Allah memberkati dan mempermudah niat suci ini dan memelihara diri ini daripada fitnah yang pelbagai hingga boleh menyimpang dan menyasarkan diri daripada landasan perjuangan sebenar. Mohon doa daripada para pembaca yang budiman.

Sumber daripada www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *