Home » Langit Terbuka » Jemaah haji Malaysia masih beruntung

Jemaah haji Malaysia masih beruntung

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Keupayaan kerajaan memberi subsidi haji hampir 50 peratus menjadikan Malaysia sebagai antara negara termurah mengenakan caj terhadap jemaah yang ingin mengerjakan ibadah haji.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kesudian kerajaan menampung caj sebanyak RM8,910 dari jumlah keseluruhan RM18,890 merupakan keprihatinan membantu jemaah haji yang kali pertama mengerjakan rukun Islam kelima itu.

“Daripada 23,230 orang jemaah haji pada tahun ini, sebanyak 95 peratus adalah muassasah yang pertama kali mengerjakan ibadah haji. Mereka hanya perlu membayar bayaran haji sebanyak RM9,980, sekali gus menyaksikan Tabung Haji berjaya mengekalkan harga meskipun kos sebenar ibadah haji meningkat setiap tahun.

“Untuk pemberian subsidi itu, kerajaan membelanjakan lebih daripada RM160 juta pada tahun ini. Ini merupakan sebahagian sumbangan kepada orang ramai oleh Tabung Haji yang telah menabur bakti dan budi selama 53 tahun beroperasi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Penyerahan Kenderaan Dwifungsi Projek Mobiliti Tabung Haji 2016, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisyah Abdul Ghani.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 11 masjid terpilih menerima bantuan kenderaan dwifungsi tersebut iaitu lima masjid dari Selangor, manakala sebuah masjid masing-masing dari Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Bagi penajaan kenderaan dwi-fungsi tersebut, Tabung Haji memperuntukkan dana berjumlah RM1.2 juta apabila kos sebuah kenderaan yang telah diubah suai itu sekitar RM127,500.

Mengulas mengenai sumbangan kenderaan pelbagai guna itu, Abdul Azeez berkata, projek seumpama itu adalah pertama kali diadakan oleh pihaknya secara kolektif, biarpun telah memberi sumbangan sama sebelum ini untuk tujuan pembelian kenderaan bagi kegunaan masjid atau kenderaan jenazah.

“Sebagai contoh, sesebuah masjid itu tidak cukup dana dan memerlukan lagi RM20,000, maka Tabung Haji akan menyediakan peruntukan tersebut bagi membolehkan mereka memiliki kenderaan yang diinginkan,” katanya.- https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *