Home » Langit Terbuka » Jenazah Ustaz Murtadha selamat dikebumikan

Jenazah Ustaz Murtadha selamat dikebumikan

SUNGAI PETANI 13 Jan. – Pendakwah bebas, Murtadha Mohd Yusof, 31, yang meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi di Hospital Taiping selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Penghulu Him di sini sebentar tadi.

Ibunya, Noorshams Mohd Nazir, 60, berkata, anak ketiganya itu mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selama 11 hari selepas kereta dipandunya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 200.9 Lebuh Raya Utara Selatan pada 3 Januari lalu pada pukul 7 malam.

“Dia alami kecederaan serius di bahagian kepala dan kali terakhir saya melihatnya Khamis lalu, kira-kira pukul 11 pagi di hospital itu.

“Turut alami kecederaan dalam kemalangan itu, termasuk dua rakanya, Mohamad Wadi Anuar Ayub dan Hambali Zulkifli serta bapanya sendiri, Yusof Ahmad, 63 tahun,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Bakar Kapor, Sungai Petani di sini.

Noorshams berkata, mereka sebelum itu berpeluang mengadakan kuliah agama di Riau, Indonesia.

“Sewaktu dalam perjalanan balik ke Sungai Petani, mereka dikatakan turun dari menaiki kapal terbang di KLIA.

“Bagaimanapun, kereta jenis Nissan Grand Livina yang mereka naiki itu sebelum sampai di Sungai Petani dipercayai terbabas semasa tiba di Taiping dan anak saya, Murtadha terus tidak sedarkan diri dan meninggal dunia akibat mengalami pendarahan dalam otak,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu merupakan bekas pelajar Sekolah Agama Deris Sungai Layar di sini dan sering diundang menyampai ceramah agama di negeri Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Murtadha yang kini dalam rancangan membina Masjid Darul Murtadha di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini meninggalkan seorang isteri, Nurul Ana Shafie, 30, serta dua  anak lelaki, Abdul Rahman Faqeh, 4, dan Abdul Rahman Naufal, 2.-UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *