Home » Wacana » Jihad bukan hanya dengan berperang

Jihad bukan hanya dengan berperang

Masih terdapat lagi umat Islam tidak memahami malah ada juga yang telah salah faham akan konteks jihad yang sebenarnya. Ada yang faham bahawa jihad adalah dengan mengangkat senjata dan pergi berperang atas alasan menegakkan syiar Islam dengan meletakkan sasaran pada golongan-golongan yang tertentu.

Harfiahnya, pengertian jihad pada bahasa ialah mengerahkan segala upaya dan kemampuan bagi menuju ke jalan yang diredhai Allah SWT serta meninggalkan segala larangan-Nya. Berjihad bukan sekadar berperang dengan musuh semata-mata kerana jihad itu sahaja mempunyai pengertian yang begitu luas. Allah SWT berfirman di dalam surah al-An’am yang bermaksud:

“Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan sumpah yang bersungguh-sungguh”. (al-An’am: 109)

 Dari firman Allah SWT itu menunjukkan bahawa konsep asas jihad ialah dengan bersungguh-sungguh melakukan apa yang telah Allah SWT perintahkan bagi seluruh hamba-Nya, bukannya dengan merosakkan serta membunuh musuh-musuh Islam sahaja semata-mata.

 Ada ulama mengatakan bahawa jihad yang paling besar ialah berjihad kepada diri sendiri, yakni dengan melawan hawa nafsu pada diri kita. Asal kepada segala keburukan datangnya dari hati. Jika baik hatinya, maka baiklah perilakunya dan begitu juga dengan sebaliknya. Maka begitu unggulnya seseorang itu jika mampu melawan serta menguasai diri mereka sendiri supaya tidak terjebak ke dalam kancah dosa.

Menurut Ibn Taimiah, menyatakan jihad itu ialah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk menuju kepada penghasilan sesuatu yang diredhai Allah SWT dari segi keimanan, amal soleh serta menolak segalanya perkara dimurkai Allah SWT seperti kekufuran, kederhakaan dan kefasikan.

Kamil Salamah juga telah memperjelaskan bahawa di dalam al-Quran itu juga terdapat lafaz jihad yang membawa maksud memberikan kemaafan sepenuh jiwa secara mutlak. Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Ankabut yang bermaksud:

“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan”. (al-Ankabut : 8)

Walaupun dengan mengangkat senjata apabila kita benar-benar telah diserang oleh mereka yang ingin memerangi Islam itu sebagai jihad, namun ia juga meliputi seluruh aspek perbuatan manusia juga dalam menuju ke jalan yang benar. Sebagai contohnya ialah menuntut ilmu, meningkatkan taraf ekonomi, memperkasakan kesatuan ummah, memerangi nafsu dan godaan syaitan serta memastikan agar kita semua sentiasa berada di dalam keadaan sejahtera di dunia ini.

Jihad terhadap menuntut ilmu itu sangatlah penting. Ia bagi mewujudkan ummat Islam menguasai ilmu-ilmu kerana ia akan melahirkan mereka yang maju, berdaya saing dan mahir di dalam pelbagai bidang. Dari ilmu juga akan mewujudkan lebih ramai para cendekiawan Islam pada zaman kini sehingga menjadi rujukan daripada para ilmuan bukan Islam.

Rasulullah SAW telah menyifatkan mereka yang pergi menuntut ilmu itu adalah pergi berjuang ke jalan fi sabilillah iaitu berjuang di jalan Allah SWT. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang keluar menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali”. (Riwayat: at-Tirmizi)

Penguasaan ekonomi juga merupakan jihad. Dengan ekonomi serta kewangan yang kukuh serta dikuasai kita, itu akan menentukan kekuatan sesebuah negara kerana negara menguasai ekonomi akan bebas dari segala cengkaman kuasa asing. Ia juga dikira sebagai jihad apabila dengan kewangan yang utuh itu dan ia diagihkan kepada rakyat terutama sekali mereka yang susah, maka begitu besar jihadnya itu kerana menolong serta berlaku adil kepada kewangan negara.

Jihad itu dikira juga apabila kita menyatukan serta merapatkan perpaduan sesama kita tidak kira dengan Islam atau bukan Islam kerana agama ini sangat mementingkan keamanan sejagat. Walaupun diciptakan Allah SWT dengan pelbagai jenis bangsa, warna kulit, adat budaya, agama dan watak yang berbeza-beza, namun wajib untuk kita semua bersatu-padu merapatkan muafakat agar keharmonian hidup itu dicapai.

Pada hari ini telah munculnya kumpulan militan Daulah Islamiah atau lebih dikenali sebagai Islamic State (IS) akibat daripada ketidakstabilan politik di negara Syria dan Iraq dimana ia telah dilihat sebagai satu ancaman yang telah menggugat keselamatan negara-negara yang terlibat.

Ringkasnya, IS dari segi ideologi merupakan kumpulan pelampau yang berpegang teguh kepada pemikiran Salafi Jihadi, di mana mereka ini memperjuangkan penubuhan Daulah Islamiah ini dengan cara kekerasan serta mengkafirkan pemimpin Islam lain tidak menegakkan hukum syariah.

Konsep IS ini meletakkan keganasan sebagai asas pergerakan mereka ini telah bercanggah daripada landasan Islam kerana agama Islam itu sendiri sangat menitikberatkan kepada kedamaian dan keharmonian kehidupan sejagat. Sebagai umat Islam yang mencintai keamanan maka wajiblah untuk kita menolak pergerakan radikal IS ini.

Kesimpulannya, konteks jihad ini bukanlah hanya mengangkat senjata semata-mata walaupun memerangi golongan yang ingin menghancurkan Islam itu dikira sebagai jihad. Pengukuhan ekonomi, ilmu serta perpaduan ummah itu dikira jihad juga. Melawan nafsu itu juga merupakan jihad kepada diri sendiri.

Oleh: ISKANDAR MOHAMAD ALI

Sumber daripada www.ummatanwasatan.net

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *