Home » Persuasif » Jihad utama ummah masa kini

Jihad utama ummah masa kini

Oleh ZAKARIA STAPA

Dato’ Zakaria Stapa ialah Mantan Profesor, Fakulti Pengajian Islam dan Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Umat Islam semasa di serata dunia sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut dan permasalahan. Hal ini merupakan satu fakta yang diketahui umum masa kini. Sebahagian daripada kemelut yang dihadapi adalah benar-benar kritikal sehingga ke tahap mencabar survival mereka di muka bumi ini. Sedang sebahagian yang lain lebih kepada kemelut yang membawa kepada kehilangan identiti atau jati diri keislaman mereka. Contoh boleh dilihat dengan apa yang sedang berlaku terhadap masyarakat Islam seluruh dunia.

Bermula misalnya dari bangsa Uyghur di Xinjang, China, membawa kepada etnik Rohingya di daerah Rakhine, Barat Myammar, penduduk Muslim di Selatan Thailand, Selatan Filipina, Palestin, dan kini Syria di Asia Barat, terus ke Amerika dan Eropah dengan konsep Islamophobia dan lain-lain.

Kesemua ini merupakan gambaran episod duka umat Islam semasa hasil manifestasi dan jelmaan daripada kelemahan menyeluruh mereka sebagai satu ummah yang hidup di muka bumi ini. Hakikatnya, sekiranya mereka tidak lemah secara kolektif, mereka pastinya tidak akan membiarkan saudara seagama mereka terperangkap dalam malapetaka besar tersebut tanpa sebarang pembelaan.

Adapun di negara-negara Islam yang sudah sedia merdeka, mereka kelihatan sedang bergelut dengan kemelut kehilangan jati diri keislaman mereka disebabkan oleh serangan pemikiran dan budaya oleh pihak-pihak yang berasa tidak senang dengan kebangkitan semula Islam sebagai satu tamadun. Hal ini sesungguhnya, berkait langsung dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dunia Barat, khususnya di Amerika.

Peristiwa yang paling utama ialah berakhirnya Perang Dingin (Cold War) pada tahun 1991, satu bentuk perang dan konflik ketegangan serta persaingan yang terjadi di antara Amerika Syarikat serta sekutunya (mewakili Blok Barat) dengan Soviet Union dengan sekutunya (mewakili Blok Timur) selepas Perang Dunia Kedua atau lebih tepat lagi bermula pada tahun 1947.

Selain itu, perisitwa pengeboman World Trade Centre, di New York, Amerika Syarikat yang terjadi pada 11 September 2001 (juga dikenali sebagai September 11th dan 9/11). Terakhir, peristiwa serangan yang berlaku di Paris pada November 2015, dan terbaharu, diperkukuhkan lagi dengan kejayaan Donald Trump menduduki Rumah Putih sebagai presiden Amerika Syarikat ke-45 bermula 20 Januari 2017 lalu.

Kesemua peristiwa tersebut menyebabkan pihak Barat membuat tudingan dan tumpuan khusus kepada dunia Islam dan umat Islam secara keseluruhan. Seorang pakar sains politik tersohor yang pernah menjadi Penasihat Presiden Amerika Syarikat, Samuel P. Huntington menerusi hipotesis beliau yang terkenal dalam tulisan beliau, The Clash of Civilization and the Remarking of World Order terbitan tahun 1996 telah mengungkapkan yang bagi mereka adalah musuh utama Barat pascakomunisme atau pasca-Perang Dingin.

Beliau menjelaskan lagi bahawa masalah utama kepada Barat dalam hubungan dengan umat Islam ialah agama Islam itu sendiri akibat perbezaan di antara tamadun Islam dan dunia Barat. Agama telah meyakinkan umat tentang kehebatan dan ketinggian budaya, namun pada waktu yang sama dihantui mereka dengan hakikat bahawa pemilikan kuasa yang dimiliki lebih rendah berbanding kuasa Barat. Donald Trump dalam salah satu ucapan beliau mengungkapkan bahawa umat Islam merupakan satu “ancaman” sama ada mereka berada di Amerika atau di seluruh dunia. Mereka, menurut Trump, perlu dilayani dengan rasa penuh curiga.

Walaupun sebenarnya terdapat sejumlah interpretasi yang tidak betul terhadap Islam yang kadang-kadang kelihatan disengajakan sehingga mewujudkan suatu persepsi salah terhadap Islam dan ummahnya, namun apa yang lebih utama ialah persepsi salah tersebut kelihatannya muncul menjadi suatu polisi dalam sebarang tindakan terhadap umat Islam.

Ini jelas menggambarkan bahawa umat Islam,tidak hanya merupakan suatu “ancaman” kepada tamadun Barat, tetapi juga membuktikan bahawa Islam sememangnya memiliki satu tamadun yang hebat dan boleh mencabar tamadun Barat. Walau bagaimanapun, oleh sebab umat Islam masa kini tidak mempunyai kuasa hebat khususnya kuasa politik, ekonomi serta sains dan teknologi yang boleh membekalkan kekuatan yang cukup untuk mencabar kuasa Barat, maka mereka menjadi lemah dan tidak berupaya untuk mencabar kuasa Barat dan tamadunnya. Ini bermakna seandainya umat Islam dibiarkan bersatu mengumpulkan kuasa dan upaya dalam bidang-bidang yang disebutkan, maka pada waktu itu Barat dan tamadunnya akan benar-benar terancam dari aspek superiority malahan survivalnya.

Dengan memahami keadaan sedemikian yang hanya merupakan suatu logik mudah, pastinya Barat tidak akan membenarkan umat Islam muncul menjadi kuasa besar. Kuasa Barat masa kini perlu mengambil tindakan memecah-belahkan umat Islam supaya mereka terus menjadi lemah dan tidak berupaya. Atas alasan inilah John L. Esposito, seorang profesor International Appairs and Islamic Studies di George Town University, Washington yang juga pengarah The Prince Alwaleed Centre for Muslim-Christian Undestanding di Georgetown menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak akan rela sebelum seluruh negara Islam muncul sepertimana negara Turki yang sekular. Amerika bersepakat dengan pihak-pihak Muslim yang berpegang dengan gagasan liberalisme menjadikan Turki sebagai model bagi seluruh negara Islam.

 

 

Agenda Terancang Barat

 

Amat jelas terserlah agenda dunia Barat yang dikepalai oleh Amerika Syarikat bagi memastikan umat Islam dan tamadunnya tidak akan berupaya mencabar kedudukan tamadun Barat. Hal ini kerana, jika umat Islam mempunyai upaya untuk mencabar, pasti dominasi Barat dalam segenap aspek kehidupan dan arah perjalanan dunia akan hancur sama sekali.

Oleh sebab itu secara jelas, sebagaimana dilaporkan oleh Laporan Yayasan RAND 2007, pihak Barat telah mula mensasarkan secara terancang dan intensif agenda-agenda yang boleh membantutkan kebangkitan umat Islam dan tamadunnya sebagai satu kuasa besar dunia. Agenda-agenda terancang dan intensif ini telah mula dilancarkan sejak kejatuhan komunisme dalam Perang Dingin dan kemudiannya disemarakkan lagi selepas peristiwa 11 September 2001.

Barat seolah-olah melihat bahawa selepas komunisme terpukul dan dikalahkan sepenuhnya menerusi Perang Dingin, dominasi mutlak mereka ke atas hala tuju perjalanan dunia dalam pelbagai aspek kehidupan sedang dihalang oleh dunia Islam. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan tragedi 11 September yang didakwa dilakukan oleh umat Islam. Semenjak dari itu, peristiwa itu telah dijadikan testimoni bagi menghalalkan tindakan mereka mensasarkan serangan ganas ke atas dunia Islam keseluruhannya.

Dalam Laporan Yayasan RAND 2007, serangan yang dilancarkan oleh dunia Barat berlangsung dalam dimensi utama berikut: ketenteraan dan pemikiran, politik dan akidah. Namun begitu, serangan terhadap dunia Islam ini tidak tertumpu kepada ketenteraan sahaja kerana apa yang lebih utama adalah serangan terhadap pemikiran atau ideologi Islam itu sendiri. Mereka percaya bahawa pemikiran Islam mesti ditewaskan menerusi pemikiran juga.

Strategi dan pendekatan yang diguna pakai oleh dunia Barat ialah dengan cara mewujudkan dan menyebarluaskan perselisihan dan perbalahan dalaman dunia Islam dengan cuba menjadikan umat Islam berpecah kepada banyak bahagian berasaskan idea dan pemikiran yang berbeza. Unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan dunia Islam disemarakkan antaranya dengan melaga-lagakan golongan Sunni-Syi’i, sekular-Islam serta Arab dan non-Arab. Ini bertujuan untuk menghancurkan kesatuan dan perpaduan umat Islam sehingga mereka tidak berupaya menghadapi penguasaan Barat khususnya Amerika. Di samping itu, dunia Barat juga memberi sokongan dan bantuan kepada rangkaian yang menampilkan aliran sekular, liberal dan semasa sedia ada dalam dunia Islam. Rangkaian ini dipergunakan bagi menghadapi dan memerangi aliran pemikiran Islam tulen.

 

Sedarlah Umat!

Catatan di atas merupakan latar belakang kepada segala apa yang sedang berlangsung dalam dunia Islam masa kini, termasuk di Malaysia sendiri. Adalah boleh difahami dengan baik, mengapa berlakunya serangan berbentuk pemikiran dan budaya seperti faham pascamodenisme, Islam liberal dan pluralisme agama yang diangkut secara berkesan ke serata dunia Islam oleh gelombang globalisasi. Mengapa perpecahan berasaskan Sunni-Syi’i dimarakkan sedemikian rupa sehingga meruntuhkan sepenuhnya negara Iraq dan kini Syria pula menuju kehancuran.

Mengapa gerakan Salafi-Wahabi serta Syiah digerakkan begitu pantas di seluruh dunia masa kini. Mengapa demikian banyak dan segera dana tercurah untuk membantu menggerakkan pihak sekular-liberal sedia ada di dalam negara-negara Islam. Kesemuanya adalah berpusat kepada satu Grand Design dan Grand Strategy untuk melumpuhkan umat Islam serata dunia supaya tidak berdaya membangunkan tamadun yang boleh mencabar tamadun Barat, dan mereka kelihatannya sedang mencapai kejayaan besar dalam usaha-usaha tersebut.

Justeru, umat Islam mestilah benar-benar faham akan hakikat ini. Mereka perlu sedar bahawa mereka sedang dijadikan alat untuk memecah-belahkan ummah demi kepentingan dan agenda satu pihak lain yang berniat jahat kepada agama dan tamadun Islam.

Walau bagaimanapun, dalam konteks ini, umat Islam tidak boleh menuding jari kepada pihak lain sebagai sebab mereka lemah dan berpecah-belah lalu mereka tidak perlu berbuat apa-apa tindakan positif. Sebagaimana mereka tidak dibenarkan oleh Islam untuk menuduh syaitan sebagai penyebab mereka terperangkap dalam kerja-kerja maksiat tanpa sebarang usaha untuk mempertahankan diri daripada perangkap serangan syaitan tersebut.

Apa yang perlu mereka lakukan ialah kembali bersatu dalam satu barisan ummah bagi menolak tipu helah dan strategi jahat yang dirancang untuk melemahkan umat Islam sambil berusaha keras merangka strategi balas terhadap serangan berkenaan. Walaupun ini bukanlah satu kerja enteng, khususnya dalam keadaan semasa yang cukup rencam dan kompleksnya bentuk serangan yang datang, namun apabila umat Islam faham hakikat sebenar yang sedang mereka hadapi, mereka pasti boleh berubah dan tidak terus menjadi mangsa kepada permainan pihak lain yang berniat untuk menghancurkan mereka dan agama yang suci ini.

 

Strategi Pendidikan dan Pendakwahan

Oleh itu, untuk memunculkan kesedaran merata terhadap bahaya yang sedang dihadapi oleh ummah ini, strategi pendidikan dan pendakwahan mestilah dilancarkan ke semua peringkat di seluruh dunia Islam. Dalam konteks Malaysia misalnya, proses pendakwahan menyeluruh bagi mendidik ummah agar faham dengan apa yang mereka hadapi mestilah digembleng dan disusun dengan rapi serta digerakkan secara komprehensif.

Pelbagai institusi Islam yang wujud seperti masjid dan surau, media massa termasuk media baharu, institusi keluarga dan institusi sosial yang lain mestilah memberi fokus kepada permasalahan besar yang dihadapi oleh ummah ini. Pihak kerajaan, parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan-persatuan pelajar dan belia Muslim, antara yang utama perlu mendokong tanggungjawab bagi menyemarakkan kefahaman ini.

Apabila masyarakat Muslim umumnya memahami dan menyedari suasana runcing yang mereka hadapi, diharapkan tenaga dan masa mereka tidak lagi dihabiskan untuk berpecah sesama sendiri seperti yang sedang berlangsung sekarang. Sebaliknya mereka akan memberikan tumpuan penuh bagi memperkukuhkan jati diri keislaman serta perpaduan bagi mendepani malapetaka besar yang sedang berada di hadapan mereka.

Oleh itu, dalam kerangka pemulihan ummah bagi memperoleh kekuatan, dua aspek utama perlu diberikan perhatian segera oleh seluruh umat Islam, iaitu agenda memperkukuhkan pegangan akidah Islam dan agenda penguasaan ilmu dalam kalangan umat Islam. Kedua-dua agenda ini, apabila dijayakan dengan sempurna, akan dapat membekalkan kekuatan asas kepada umat Islam untuk kemudiannya menguasai aspek-aspek lain yang diperlukan seperti politik, ekonomi serta teknologi yang kelihatannya, menjadi prasyarat kepada kehebatan sesebuah tamadun masa kini.

Justeru, umat Islam semasa perlu segera memerah keringat dan buah fikiran bagi merangka strategi untuk menjayakan dua agenda ini. Tetapi, apakah pendekatan terbaik bagi menjayakan proses pengukuhan akidah ummah, dan bagaimana pula bentuk penguasaan ilmu yang perlu diketengahkan bagi membekalkan kekuatan?

Sesungguhnya, aspek peneguhan akidah dengan tumpuan kepada satu kerangka dan bentuk akidah yang tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran Islam akan dapat menyediakan kekuatan kepada ummah paling kurang dalam tiga dimensi iaitu: Pertama, memaksikan daya tahan dalam diri untuk menangkis sebarang bentuk ideologi dan pemikiran yang menyeleweng. Kedua, menjadi asas dan titik temu bagi melahirkan keseragaman dan perpaduan ummah. Ketiga, berupaya menjana kelahiran ummah yang berakhlak mulia, iaitu jenis manusia yang dikuasai dengan baik oleh kawalan metafizik yang disediakan misalnya Rukun Iman.

Proses penguasaan ilmu berdasarkan kepada orientasi dan paradigma keislaman yang berpaksikan pendekatan tauhid pula akan merubah pendekatan semasa dalam proses pencarian ilmu sogokan falsafah kebendaan Barat. Pencarian ilmu berpaksikan tauhid bersama dengan penanaman semangat cintakan ilmu kerana penguasan ilmu itu sendiri merupakan tuntutan daripada ajaran agama akan tidak hanya menyemarakkan usaha perolehan ilmu menerusi penyelidikan mendalam, tetapi juga ilmu yang diperoleh tersebut dapat diterjemahkan kepada kelahiran tamadun yang berkualiti tinggi. Semua ini disebabkan segalanya bertolak daripada paksi tauhid yang berpusat pada Allah SWT itu sendiri sebagai Maha Pencipta yang Maha Tahu akan keperluan makhluk ciptaan-Nya, di mana dalam konteks ini paling khususnya adalah makhluk manusia.

Dua projek asas dan utama berkait dengan pengukuhan akidah dan penguasaan ilmu ini mestilah dijayakan oleh umat Islam serata dunia, mungkin boleh digerakkan di peringkat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) misalnya. Ia pastinya kelihatan amat sukar bagaikan suatu misi mustahil, namun umat Islam nampaknya tidak ada pilihan lain jika mereka mahu terus wujud di planet bumi ini sebagai satu ummah yang bermaruah dan disegani serta tidak terus-menerus dipermainkan oleh pihak lain.

Perlu diambil ingatan bahawa umat Islam telah berjaya melakukan perkara ini satu masa dahulu. Apakah umat Islam semasa tidak berupaya mengulanginya sekali lagi? Perlulah difahami bahawa di sinilah sesungguhnya terletak jihad utama ummah masa kini!

MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *