Home » Persuasif » Jubah vs baju kurung

Jubah vs baju kurung

Rupa-rupanya ada juga isu yang timbul tentang pemakaian jubah sehingga keluar pernyataan yang sekarang sukar untuk mendapatkan baju kurung di pasaran kerana kaum wanita khususnya lebih memilih untuk memakai jubah sama ada untuk pakaian sehari atau untuk dikenakan di hari raya. Mengaitkan hal memakai jubah dan proses Arabisasi boleh diterima tapi sudah tentu ada pencerahan yang jelas tentang pernyataan tersebut.

Jujurnya,  penulis tergelak sendiri. Penulis yakin pernyataannya sudah tentu tentang jubah wanita kerana kerisauan peniaga tersebut terarah kepada pasaran baju kurung yang dikatakan menguncup. Hairan pun ada kerana baharu sahaja minggu lepas penulis berkunjung ke Jalan Tunku Abdul Rahman dan melihat betapa banyaknya baju kurung pelbagai warna dan corak yang dijual sama ada di kedai-kedai atau di bazar-bazar.

Menurut Kamus Dewan Bahasa jubah itu maksudnya adalah pakaian baju panjang cara Arab (yang dipakai oleh haji dan hakim). Ia sering dikaitkan dengan orang Arab dan masyarakat Timur Tengah. Sejarah telah membuktikan bagaimana berlakunya asimilasi budaya di Tanah Melayu apabila Islam mula tersebar ke wilayah ini melalui pedagang dan pelaut Arab pada abad ke-7 Masihi.

Jubah diterima di kalangan masyarakat di Asia kerana ia bertepatan dengan syariat yang telah digariskan dalam Islam. Malah Islam sendiri memperakui pakaian, bahasa dan kesenian sesuatu bangsa selagi tidak menyanggahi nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Rasulullah SAW turut meraikan kebiasaan sesuatu kaum contohnya dalam amalan berpakaian selagi ia tidak melanggari batas syariah dan nilai kesopanan yang harus diangkat oleh setiap orang Islam.

Dalam berpakaian, Baginda SAW menggalakkan warna putih namun tetap mengenakan warna-warna lain. Baginda dikatakan memakai pelbagai pakaian dari berbagai negeri seperti Najran, Yaman dan Mesir. Dalam hadis dari al-Mughirah bin Su’bah, yang bermaksud:

“Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain).

Penulis penggemar baju kurung. Tetapi sesekali penulis suka memakai jubah kerana ia mudah dan ringkas. Kalau bercerita tentang trend terkini, memang benar jubah menjadi pilihan utama kerana jubah sekarang telah didatangkan dengan pelbagai warna yang menarik dan gaya yang lebih mengikut peredaran fesyen semasa.

Malah, kita boleh melihat banyaknya kedai yang menjual jubah dan gaun yang patuh syariah. Contohnya, seperti Zawara, Hana Bella, Suci By Yatt Hamzah dan Imaan Boutique dengan pelbagai nama, rekaan, material kain dan memudahkan juga untuk para ibu yang menyusukan bayi dan untuk berwuduk. Sebab itulah, permintaannya sangat tinggi ketika ini. Selain menutup aurat, para wanita boleh bergaya dengan penuh yakin.

Saya juga memilih untuk memakai jubah pada hari raya nanti. Hari-hari lain saya akan mengenakan baju kurung apabila menziarahi saudara-mara. Saya dan kawan-kawan wanita saya memakai jubah bukan terpengaruh dengan budaya Arab. Kalau dikatakan terpengaruh dengan trend dan fesyen semasa itu boleh diterima. Seingat penulis, dahulu hanya warna hitam dan gelap banyak dijual berbanding sekarang. Di samping rekaannya yang tidak bervariasi membuatkan penulis tidak berminat untuk mengenakannya dalam sebagai pakaian harian. Cuma boleh dikatakan sewaktu zaman belajar di universiti, jubah adalah pakaian paling mudah. Disarung dan terus ke kafe kolej untuk bersahur.

Kini, jubah telah melalui evolusi yang sangat hebat sehinggakan para pereka fesyen tempatan juga seperti Rizalman Ibrahim dan Jovian Mandagie memperkenalkan rekaan jubah mengikut kreativiti mereka. Ini adalah disebabkan oleh wujudnya permintaan dan juga mengikut musim. Sama seperti musim orang sibuk mencari tudung Mawi selepas penyanyi itu menang salah satu pertandingan nyanyian realiti sepuluh tahun lalu dan tudung Adijuma.

Saya tidak nampak yang budaya Melayu itu akan terjejas disebabkan kecenderungan para wanita masa kini terhadap jubah. Kebudayaan Melayu itu amat luas dan bukan sekadar boleh dibahaskan dari sudut pemakaian sahaja. Tidak masuk akal kalau mengatakan yang baju kurung akan menjadi lapuk apabila jubah yang menjadi pilihan.

Kalau mahu bimbangkan runtuhnya budaya Melayu, sangat elok sekiranya kita memperhalusi adab sopan orang Melayu itu sendiri. Saya bersetuju kalau ramai yang mengatakan Melayu sekarang sudah lupa untuk menundukkan badan apabila berjalan di hadapan orang tua, bercakap dengan suara perlahan dengan orang yang lebih tua, mendahulukan orang tua sebelum makan, makan dengan tangan, makan dengan tertib di meja makan dan bukan di hadapan televisyen sebagaimana kebanyakan orang sedang lakukan sekarang ini. Malah berbuka juga di hadapan televisyen kerana tidak mahu terlepas adegan dalam drama yang diminati.

Saya kira pandangan tentang kesukaran melihat baju kurung teluk belanga, cekak musang, Kedah, Melaka dan Pahang dipakai wanita disebabkan oleh proses Arabisasi itu, hanya bersifat pendapat seorang lelaki yang kurang tahu.

Ini adalah kerana kesemua pakaian tradisional ini masih dipakai tetapi perlu mengikut kesesuaian majlis yang dihadiri. Sebagai contoh, baju kebaya lebih sesuai dipakai ketika majlis perkahwinan, keraian dan majlis rasmi. Baju kebaya ini kurang sesuai dipakai untuk ke pejabat kerana potongannya yang ketat dan mengikut bentuk badan. Ia memang tidak bertepatan dengan kod etika pemakaian ke pejabat. Sebab itu kita jarang dapat melihat orang memakainya dalam tugasan seharian.

Baju kurung Kedah pula asalnya adalah dari material kain kapas dan dipakai dengan kain batik. Kebanyakan orang-orang tua amat selesa mengenakan kurung Kedah untuk dipakai di rumah. Cuma, ia telah melalui perubahan apabila ia boleh dijahit dengan apa-apa sahaja jenis kain. Manakala lengan dan kaki baju yang asalnya dahulu pendek telah dilabuhkan sedikit sebagai syarat untuk patuh syariah.

Sebenarnya, masih ramai lagi sebenarnya yang memilih untuk berbaju kurung. Baju kurung biasa, baju kurung Pahang dan Teluk Belanga adalah antara pilihan khususnya untuk ke pejabat kerana ia lebih selesa dan ringkas.

Selain itu, apalah salahnya menggunakan perkataan iftar, du’a dan solat? Kita sebagai orang Islam memang digalakkan untuk mempelajari bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran. Bagus juga sekurang-kurangnya anak-anak kecil dan orang muda didedahkan dengan perkataan-perkatan tersebut. Dan menyebutnya mungkin lebih ringkas berbanding berbuka puasa dan sembahyang.

Walaupun masih tertanya-tanya dari peniaga manakah diperolehi maklumat tentang kekurangan baju kurung itu, saya kira tidak mengapalah kalau itu yang mahu dipercayai. Kepada para wanita, selamat membeli belah baju kurung sempena Aidilfitri yang bakal menjelang. Jangan bimbang kerana anda mempunyai banyak pilihan.

Editor

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *